Category: ATTRACTION

  • Mahu rambut bergaya perlu ikut cara ini

    Mahu rambut bergaya perlu ikut cara ini

    LELAKI turut perlu mendapatkan penjagaan rambut. Sama ada rambut anda panjang, pendek, lurus atau kerinting. Rutin penjagaan rambut ini sama seperti wanita. Jika rambut anda sihat, gaya rambut yang ditampilkan akan bertahan lebih lama dan kelihatan lebih baik.

    Antara rutin penjagaan boleh diamalkan;

    1. Elak klorin

    Air yang mengandungi klorin contohnya kolam renang, akan membuatkan rambut anda kering, rapuh dan berkelumumur. Jadi jika anda mandi di kolam renang bersihkan rambut dengan air bersih atau penutup kepala sebagai alternatif ketika mandi.

    2. Pilih syampu ‘clarifying’

    Apabila rambut anda kusam dan tidak bermaya. Dapatkan syampu yang boleh mengembalikan sinar rambut atau ‘clarifying’. Selain anda boleh gunakan cuka putih untuk membilas rambut. Cuka ini dapat mengimbangi tahap pH rambut.

    3. Hadkan membasuh rambut

    Jangan cuci rambut terlalu kerap dalam masa seminggu. Mungkin dua atau tiga kali seminggu. Ini bagi memastikan rambut tidak kehilangan minyak penting daripada kulit kepala.

    4. Jangan terlampau guna produk rambut

    Jangan guna terlalu banyak gel rambut, semburan dan produk rambut. Ia akan membuatkan rambut anda kelihatan sarat dan tidak sihat. Minimakan penggunaan produk ini dalam sehari.

    5. Elak pakai topi ketat

    Jangan pakai topi terlampau ketat. Ia boleh menyebabkan keguguran rambut, kehilangan rambut dan rambut anda juga akan berbau.

    6. Jangan sikat rambut tutup kawasan botak

    Rambut yang sikit sehingga menampakkan kawsan botak. Anda malu dan mula menyikat rambut untuk menutup kawasan yang botak. Jangan berbuat demikian lebih elok anda dapatkan potongan rambut yang sesuai dengan penampilan rambut yang nipis itu.

    7. Keringkan rambut perlahan-lahan

    Rambut yang basah mudah untuk terdedah kepada kerosakan. Untuk itu selepas mandi jangan menggosok rambut basah menggunakan tuala dengan kuat. Ia boleh merosakkan rambut. Untuk mengeringkannya anda hanya menekap rambut secara perlahan-lahan bagi mengelakkan memberi tekanan pada kulit kepala.

    8. Perapi telur

    Cara berkesan untuk menyejukkan rambut dan menguatkan akar rambut. Ini kerana telur mengandungi protein dan mineral yang diperlukan oleh rambut.

    9. Basuh rambut dengan air sejuk

    Mandian air sejuk dapat menghalang kapilari darah pada kulit kepala. Kapilari darah ini berperanan membawa nutrien penting dan aktif bagi memberi kesan optimum dan menghalang membawa kesan buruk kepada kesihatan rambut.



    Sumber

  • Tarawih menyingkir dosa silam

    Tarawih menyingkir dosa silam

    HISYAM AHMAD bekerja dalam sektor swasta. Kerjayanya itu menuntut beliau bekerja secara syif.

    Apabila tibanya bulan Ramadan, Hisyam, 28, berniat mahu melakukan solat tarawih berterusan tanpa satu hari yang tertinggal. Namun, kekangan kerjanya itu dilihat telah menjadi penghalang kepadanya meneruskan niat suci itu.

    Benar, walaupun solat tarawih hanya solat sunat sahaja tetapi lelaki itu berasa sangat rugi jika beliau mengendahkannya begitu sahaja.

    “Bukannya setiap hari solat tarawih ada tetapi sebulan sekali sahaja iaitu dalam bulan Ramadan. Tambahan pula, banyak pula kelebihan jika kita menunaikan solat tarawih ini,” ceritanya dengan raut wajah penuh kekesalan.

    Pernah terdetik, untuk mencuri masa melakukan solat tarawih di pejabat. Namun, beliau rasa serba salah.

    “Jika saya berbuat demikian, saya akan akan lambat menghabiskan kerja-kerja hakiki. Hakikatnya, ia juga akan mengganggu kerja-kerja pekerja di jabatan lain juga,” katanya.

    Hisyam tidak berhenti bercerita. Ujarnya, sekitar pukul 3 pagi beliau akan sampai ke rumah dan pada waktu itulah masa yang terbaik untuk tidur. Kawan-kawannya sudah lama lena dibuai mimpi.

    Fikirannya menerawang seketika dan kemudian bertanya.

    “Adakah saya boleh menunaikan solat tarawih selepas habis bekerja? Adakah solat tarawih ada waktu-waktu tertentu?,” soalnya bersungguh.

    Waktu panjang

    IMAM MUDA ARAN

    IMAM MUDA ARAN

    Soalan itu kemudian Sinar Islam panjangkan kepada pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran.

    Jelas agamawan itu, waktu tarawih sebenarnya bermula daripada solat Isyak hinggalah sebelum Subuh.

    Ini bermakna, katanya, tidak salah jika Hisyam mahu melakukan solat tarawih selepas beliau pulang daripada kerja meskipun pada lewat pagi.

    Malah, jelasnya, sepanjang malam Ramadan merupakan waktu afdal tarawih. Bahkan, Rasulullah SAW dan para sahabat mengerjakan solat tarawih sepanjang malam dan hampir Subuh barulah mereka berhenti. Itulah istimewanya Ramadan.

    “Paling penting, tarawih mesti kita mulakan selepas solat fardu Isyak. Tak boleh tunaikan solat tarawih selagi seseorang itu tidak menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.

    “Jika tidak, maka, tidak diterima amalannya (solat tarawih yang ditunaikan) itu. Mana boleh kita dahulukan yang sunat dulu tetapi kita tinggalkan yang wajib,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Mengulas tentang rakaat solat tarawih, Imam Muda Aran menjelaskan, ulama berselisih pendapat dalam hal ini kerana ada banyak riwayat.

    Jelas beliau, Nabi Muhammad SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat solat tarawih yang perlu dilakukan.

    “Cuma, jika hendak ikut cara Rasulullah SAW, baginda melakukan lapan rakaat solat tarawih. Ada ulama berpendapat, kalau kita hendak memperbanyakkan atau mengurangkan rakaat itu, ia bergantung kepada panjang atau pendeknya solat itu.

    “Contohnya, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, walaupun jumlah rakaat adalah pendek iaitu lapan rakaat tetapi baginda berdiri lama. Ketika itu, satu rakaat, boleh habis dalam tiga surah panjang iaitu Surah al-Baqarah, Ali ‘Imran dan al-Nisa’ iaitu lima juzuk al-Quran.

    “Sementara itu, dalam mazhab Syafie, pendapat yang dipakai adalah solat tarawih 20 rakaat dan lapan rakaat,” kata beliau.

    Pohon keampunan

    Jelas beliau, antara kelebihan solat tarawih ialah mengharapkan keampunan daripada ALLAH SWT.

    Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

    Menurut Imam Muda Aran, hadis itu menggalakkan supaya umat Islam melakukan ibadah dalam bulan Ramadan termasuk mengerjakan solat tarawih pada waktu malam.

    Istimewanya, pendakwah itu berkata, mereka yang melakukan solat tarawih secara berjemaah dan mengikut imam sehingga selesai solat akan memperoleh ganjaran seumpama seseorang itu menunaikan ibadah sepanjang malam!

    “Pernahkah kita jumpa orang beribadah sepanjang malam? Mungkin tidak, bukan? Kebanyakan mereka akan tidur kerana penat bekerja dan sebagainya.

    “Kepada mereka yang memang menunaikan solat Isyak di masjid atau surau, maka, teruslah mengikut imam melakukan solat tarawih.

    “Untuk mendapatkan ganjaran seperti beribadah sepanjang malam, kita perlu mengikut imam sehingga beliau selesai solat. Katakan kita ikut imam solat tarawih sampai lapan rakaat, kemudian, imam bangun untuk sambung tiga rakaat solat witir tetapi kita tidak ikut, maka, kita tidak akan peroleh kelebihan tersebut,” jelas beliau.

    Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW, sabda baginda: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” (Riwayat al-Tirmizi)

    Imam Muda Aran turut menegur sikap segelintir jemaah yang kadangkala meninggalkan solat witir bersama imam. Kebanyakan mereka menggunakan alasan untuk bangun malam sekitar pukul 3 pagi dan kembali melakukan solat sunat.

    “Ya, memang benar witir merupakan penutup kepada solat sunat. Dalam hal ini, sekiranya kita mengikut imam sehingga selesai solat witir, tiada masalah untuk kita bangun solat malam di rumah tetapi tidak perlu mengulang semula witir tersebut.

    “Satu lagi cara, kita boleh ikut imam sepenuhnya ketika tarawih. Namun, ketika imam niat melakukan solat witir, kita kena ikut juga tetapi niatkan kita melakukan solat sunat dua rakaat. Bila imam beri salam pada solat witir satu rakaat, kita bangun tambah lagi satu rakaat bagi cukupkan dua rakaat dan satu salam,” jelasnya.

    Bagaimana kita hendak istiqamah dan kekal bertenaga melakukan tarawih? Dalam hal itu, agamawan tersebut berkongsi tip Nabi Muhammad SAW ketika berbuka.

    Jelas beliau, dalam satu riwayat, pada 10 malam Ramadan yang terakhir, baginda SAW berbuka puasa dengan makanan yang sedikit. Makanan yang sepatutnya untuk berbuka puasa, baginda SAW bawa ke waktu sahur.

    “Contohnya, makanan ruji kita adalah nasi. Sepatutnya kita buka puasa dengan makan nasi tetapi kita tangguhkan makan nasi ke waktu sahur seperti mana dilakukan baginda SAW,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut mengingatkan kepada umat Islam agar berhati-hati dengan hadis palsu tentang perincian fadilat solat tarawih pada malam pertama hingga akhir Ramadan.

    “Itu palsu dan Nabi Muhammad SAW tak pernah ajar atau sebut. Siapa yang mereka (hadis itu), tidak tahulah. Matlamatnya (fadilat itu disampaikan) baik untuk mengajak ajar orang buat tarawih tetapi caranya tak kena sebab ia hanya mengada-adakan. Bahaya itu.

    “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang Rasulullah tidak pernah cakap dan sebut, maka, bersedialah tempat di dalam neraka!,” tegasnya.

    Pengertian tarawih

    IMAM MUDA FAKHRUL

    IMAM MUDA FAKHRUL

    Sementara itu, seorang lagi pendakwah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul berkata, tarawih sebenarnya berasal daripada perkataan tarwihah yang bermaksud kerehatan.

    “Jika dilakukan dalam keadaan kelam-kabut dan memaksa diri, sudah hilang maksud sebenar tarawih,” jelasnya.

    Menurut agamawan itu, jika kita ‘tersepit’ dengan kekangan tugasan yang merupakan perkara sangat penting, maka, utamakanlah urusan kerja itu.

    “Pada masa yang sama, solatlah tarawih seringkas yang mungkin (secara) bersendirian. Ini kerana Rasulullah SAW mengikut sirahnya, tidak sentiasa berjamaah tarawih di masjid. Ada waktunya, Nabi Muhammad SAW solat tarawih di rumah.

    “Cadangan saya, jika terdesak antara tugasan dan tarawih dalam keadaan tugasan itu teramat penting, maka, lakukan tugasan tersebut dan carilah masa untuk turut bertarawih sama ada mencelah ketika tarawih atau setelah selesai tugasan.

    “Jika tugasan boleh ditangguhkan, maka, tangguhkanlah kerana tarawih hanya ada di bulan Ramadan ini dan pahalanya tersangatlah besar,” ujar beliau.

    Kepada satu soalan, Imam Muda Fakhrul berkata: “Berniaga ketika solat tarawih hukumnya harus tetapi jika, kita fokus pada solat tarawih maka, ia adalah lebih baik,” katanya mengulas tentang galakan Kerajaan Negeri Kelantan untuk menutup kedai makan ketika waktu tarawih.

    Apapun, beliau mengucapkan tahniah kepada negeri itu kerana mengambil berat tentang ibadah rakyatnya walaupun pelbagai pihak mengeluarkan pandangan susulan tindakan mereka. “Saya difahamkan pekeliling tersebut telah di ubah daripada diwajibkan kepada digalakkan. Bagi saya, itulah yang terbaik kerana solat tarawih berbeza dengan solat Jumaat. Solat Jumaat adalah fardu dan ada pekeliling khas di dalam al-Quran.

    “Sementara, solat tarawih merupakan solat sunat yang tergantung kepada situasi sesorang untuk melaksanakannya sama ada berjamaah atau tidak dan lapan rakaat atau 20 rakaat. Malah, waktunya juga luas jika hendak dibandingkan dengan solat Jumaat,” ujarnya.

    Imam Muda Fakhrul turut memberikan pandangannya tentang solat tarawih pada kadar sangat pantas yang dilakukan di sebuah masjid di Bandung, Indonesia bagi menggalakkan anak muda melakukan solat sunat itu.

    “Bagi saya, alasannya adalah baik tetapi cara pelaksanaannya tidak menepati maksud tarawih itu sendiri.

    “Tarawih bermaksud rehat. Bagaimana mungkin solat sebegitu suatu kerehatan? Ada banyak lagi cara untuk menarik golongan muda ke masjid selain dari bersolat cepat sehingga meninggalkan kewajipan-kewajipan di dalam solat seperti tamakninah dan khusyuk,” jelasnya.



    Sumber

  • Konvoi Melaka Jelajah Utara Malaysia 2019

    Konvoi Melaka Jelajah Utara Malaysia 2019

    ON the bike! Itulah istilah yang sering digunakan oleh bikes sebagai tanda persediaan supaya peserta berada bersama jentera masing-masing untuk memulakan konvoi.

    Itu difahami peserta-peserta gabungan Fast Bikes Club (FBC) dan Reappear MC Malaysia (RMC), yang baru-baru ini (10 hingga 13 April) mengambil bahagian dalam konvoi “Melaka Jelajah Utara Malaysia 2019”.

    Program itu adalah sebahagian daripada agenda mempromosi Tahun Melawat Melaka 2019 yang kini giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri Melaka selain usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua-dua kelab tersebut. Konvoi membabitkan penyertaan 35 pemilik pacuan dua roda berkuasa tinggi dari empat negara iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura. Mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

    Perlepasan konvoi diadakan di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, menuju ke Tambun, Perak. Di situ, peserta berkesempatan mengunjungi dan berehat di Taman Tema Sunway Lost World of Tambun yang terkenal dengan kolam air panasnya.

    Promosi tempat menarik Ekspedisi diteruskan keesokannya ke Perlis pula. Singgah di negeri Indera Kayangan itu, peserta berpeluang mengunjungi tempat-tempat menarik dan bersejarah serta mengenali seni dan kebudayaan di sekitar negeri tersebut.

    Pengerusi Fast Bikes yang juga penganjur utama konvoi, Fadzlaini Ibrahim atau lebih mesra disapa Nini berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran untuk menjayakan acara ini, namun tidak menghalang penyertaan legasi dari tiga negara jiran iaitu Singapura, Indonesia dan Brunei.

    Nini

    Nini

    “Selaku ‘duta’ kecil yang mewakili Jabatan Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, kami berharap apa yang telah kami laksanakan dan dilalui oleh peserta sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan negeri Melaka menjayakan Tahun Melawat Melaka 2019, selain mempromosi negeri-negeri yang kami singgah kepada peserta terlibat.

    “Kami bukan melakukan jelajah saja-saja, sebenarnya program empat hari tiga malam itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk melawat tempat bersejarah seperti di Gua Kelam, ladang harumanis Bukit Bintang dan berpeluang melihat sendiri belacan madu diproses di negeri Perlis,” kata Nini.

    




Mengenali sejarah dan keunikan Gua Kelam.

    Mengenali sejarah dan keunikan Gua Kelam.

    Untuk info, Gua Kelam ialah gua batu kapur yang dinamakan sempena dengan kedudukannya di kaki bukit dan suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua itu. Untuk merentasi ke dalam gua ini, disediakan sebuah jambatan gantung untuk pelawat.

    Belacan madu pula dibuat sendiri oleh usahawan tempatan Perlis. Belacan yang dihasilkan itu menggunakan udang biasa yang ditangkap di sekitar pantai Kuala Perlis.

    




Peserta berpeluang melihat belacan madu diproses.

    Peserta berpeluang melihat belacan madu diproses.

    Harumanis, tentunya negeri Perlis sinonim dengan buah mempelam itu. Mangga harumanis merupakan sumber kekayaan baharu negeri Perlis.

    




Ariffin Mohamad peserta Malaysia, teruja menikmati juadah mangga harumanis dengan pulut.

    Ariffin Mohamad peserta Malaysia, teruja menikmati juadah mangga harumanis dengan pulut.

    Menurut Nini, mereka juga berpeluang singgah di Pusat Jagaan Orang Tua Darul Hanan di Pulau Pinang dan menyerahkan sumbangan wang tunai yang dikumpulkan sendiri oleh peserta konvoi.

    “Jarang kita dapat lihat peserta yang pada asalnya tidak mengenali antara satu sama lain boleh melakukan aktiviti bersama serta memberi layanan mesra buat penghuni Darul Hanan tanpa mengira agama, bangsa dan negara. Tapi kami telah membuktikannya bahawa ia tidak mustahil,” kata Nini.

    Sesungguhnya konvoi yang mengambil jarak hampir 1,200 kilometer tersebut menjadi tanda mula kepada penganjuran seterusnya.

    "Fast Bikes Club dan Reappear MC Malaysia akan mengadakan lebih banyak lagi aktiviti seumpama ini dengan melibatkan lebih ramai penyertaan dari seluruh negara dan membantu golongan sasaran," katanya.

    




Berhenti rehat melakukan senaman regangan di hentian rehat dan rawat.

    Berhenti rehat melakukan senaman regangan di hentian rehat dan rawat.


    Sumber

  • Kegilaan terhadap game online ada faedah tak?

    Kegilaan terhadap game online ada faedah tak?

    BUKAN mudah untuk mengatakan tidak atau berhenti apabila terlalu asyik dengan game online atau permainan video. Keseronokan yang dinikmati dan mengejar matlamat dalam permainan yang belum sampai membuatkan pemain tidak sedar masa berlalu. Akhirnya perkara yang perlu diselesaikan dan menjadi kewajipan ketika itu terbengkalai.

    Laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) amat mengejutkan, apabila mengklasifikasikan ketagihan permainan video online atau ‘gaming disorder’ sebagai penyakit mental dalam manual penyakit 2018. Dalam draf kedua kemas kini ke-11 Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11) WHO, ketagihan permainan video telah dimasukkan dalam kategori ‘gangguan mental, tingkah laku atau perkembangan otak.’

    Seteruk itulah kesan kepada mereka yang terlalu obses terhadap permainan online ini. Apakah game online ini tidak dapat dikawal oleh seseorang itu apabila mula bermain. Dan apakah sebenarnya yang dicari oleh kaki game ini dalam menikmati permainan atas talian?. Oh! Lelaki membincangkan topik menarik ini dengan menemu bual mereka yang terlalu obses pada permainan ini.

    Perlu ada jadi diri

    Permainan video tidak asing bagi Amir Azareen Omar, yang lahir era 80-an iaitu pada awal kemunculan ‘video game’. Pentadbir Kanan Sistem di Pos Digicert Sdn Bhd itu berkata, dia bermula dengan permainan video Snes, Sega Genesis, playstation, ps2, ps3, ps4 dan komputer. Pelbagai genre game dikuasai, namun kini dia lebih fokus kepada permainan berbentuk sukan atau PVP (Player-Versus-Player).

    AMIR

    AMIR

    **

    Game yang menjadi fokus adalah PES. Daripada hobinya ini jangan terkejut Amir telah dilantik sebagai pro-gaming, berfokuskan PES (Pro Evolution Soccer) bersama rakan sepasukannya yang diberi nama Degasa Malaysia dalam sukan elektronik (eSport).

    Bagi Amir, menentang sekerasnya permainan video ini boleh membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan. Semua itu bergantung kepada seseorang itu cukup kuat untuk berhadapan dengan apa yang dibuatnya. Ujarnya, tidak perlu berbicara tentang game, aplikasi WhatsApp sahaja sudah mampu merosakkan jika seseorang itu tidak ada jati diri.

    “Saya kerap mendengar tentang masalah ini dan game (permainan) dipersalahkan. Ini sama sekali seperti situasi, ‘lain bengkak, yang lain menanah’. Game sering dijadikan alasan sedangkan kendiri seseorang itu tidak cukup kuat. Apabila anda bermain game jika tanpa kawalan ia sama seperti anda hidup di alam yang lain,” kata Amir beremosi.

    Amir memperuntukkan masa antara tiga jam sehari untuk bermain permainan video. Tiada isu perbezaan masa antara pemain luar negara, kerana setiap permainan itu ditadbir penuh oleh pembekal game tersebut.

    Menurutnya, mereka akan meletakkan pelayan di setiap rantau, contohnya Asia Tenggara, pelayan (game server) terletak di Singapura dan di situ hanya pemain dari rantau Asia Tenggara akan ‘berjumpa’ secara maya. Namun konfigurasi setiap game berbeza dan pemain untuk sesuatu game harus tahu tentang ini.

    Amir berkongsi kesan positif kepada pemain yang bermain secara betul. Antaranya memberi kemahiran kognitif, koordinasi tangan-mata. Pemain game mempunyai tindakan refleks yang bagus daripada permainan yang memerlukan sesuatu tindakan cepat dan tepat.

    Game ini juga memberi manfaat dari segi kemahiran berkomunikasi. Contohnya dalam permainan, memerlukan pergerakan sebagai satu pasukan, komunikasi memainkan peranan besar di mana mereka memerlukan untuk berkomunikasi dengan jelas dan ringkas bagi membuahkan pasukan mereka kemenangan.

    “Selain rakan-rakan yang dibina melalui rangkaian permainan, boleh menjadi rakan dalam dunia realiti. Menguatkan silaturahim dan tali persahabatan dengan mereka yang tidak dikenali,” kata Amir.

    Namun semua itu kata Amir, memerlukan pemain itu ada disiplin yang tinggi, nilai etika yang betul dan ilmu yang cukup apabila terlibat dengan game online ini.

    Mungkin tuah buat Amir yang mana hobinya suka bermain permainan video ini dilantik sebagai pro-gaming dalam sukan elektronik. Semua itu tidak mustahil berlaku kepada pemain video lain jika serius dalam sesuatu permainan.

    “Terdapat pertandingan secara kecil-kecilan atau besar-besaran di dalam komuniti anda, dan jika anda berani cubalah. Setiap pasukan eSport akan mencari prospek dalam pertandingan ini. Mungkin ini akan menjadi tanda permulaan karier eSport anda,” kata Amir yang menentang konsep taruhan dan judi.

    Sepanjang dirinya dalam arena eSport Malaysia, tiada unsur taruhan pernah muncul di depan matanya. Jika ada pun mereka akan diboikot oleh ‘gamer’ Malaysia.

    Perlu ada had masa bermain

    Bagi juruteknik Anon Sukphasin tidak merasakan permainan video mempengaruhi kerjanya. Ini kerana baginya sebagai orang dewasa seseorang itu harus tahu yang mana perkara penting menyumbang kepada kewangan dan hobi masa lapang.

    ANON

    ANON

    Dia yang mula bermain game semenjak usia 13 mengatakan game itu hanya untuk mengisi masa lapang dan hari minggu sahaja. Apabila bekerja Anon mempunyai prinsip tidak akan menyentuh permainan itu. Jika teringin untuk bermain pada hari bekerja dia akan main selepas waktu kerja.

    “Saya tidak pernah berhadapan dengan masalah kehadiran walau suka bermain game online ini. Saya memang ada kumpulan apabila bermain. Namun kumpulan itu hanya bermain untuk berseronok dan waktu untuk kami luangkan masa bersama.

    “Memang tidak dinafikan perbezaan zone apabila kita melibatkan pemain seluruh negara. Biasanya mereka bermain 24 jam dan mereka buat duit melalui permainan itu. Saya tidak terlibat dalam permainan sebegini.

    “Jika ada pun rasanya tidak ada masalah bagi pemain kerana pemain dari luar negara ini pun tahu masa kita. Mereka sudah tetapkan waktu dan pemain memilih masa yang sesuai dengan mereka jika mahu bermain,” kata Anon.

    Menurut Anon, pemain boleh buat duit melalui permainan online. Mereka akan menjual barang ‘rare’ atau ‘legend’ kepada pemain lain yang memerlukan barang itu untuk menambah kuasa permainan mereka.

    Harga barangan itu boleh mencecah ribuan ringgit untuk satu barang. Namun tidak semua permainan video ini boleh dijual antaranya seperti CS: Go dan Dota 2.

    Tidak dinafikan juga kata Anon, ada orang menggunakan permainan ini untuk berjudi. Namun nasihat Anon sebaiknya tidak dibuat. Ini kerana jika hal ini diketahui oleh pihak developer, pemain boleh ditutup akaunnya.

    Menurut Anon dia mula terjebak dalam permainan video ini daripada pengaruh rakan-rakannya. Sehingga sekarang Anon masih aktif bermain, antara permainan yang disukainya seperti Worked 3, Dota Allstar, yang sekarang ini telah menjadi Dota 2, dan Counter Strike Zero.

    Bagi Anon, dia masih boleh mengawal hobinya itu dan tidak akan obses dengan permainan online ini. Dia lebih suka bermain di kafe siber yang ada konsol dan selalunya akan habiskan masa selama enam jam. Jika di rumah dia menggunakan telefon bimbit.



    Sumber

  • Jangan buruk sangka individu tidak bertarawih di masjid

    Jangan buruk sangka individu tidak bertarawih di masjid

    ANTARA hikmah terbesar diturunkan solat tarawih pada bulan mulia ini adalah untuk memberitahu tentang keistimewaan Ramadan, kata pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.

    Beliau berkata, tarawih merupakan satu-satunya solat sunat yang datang setahun sekali pada bulan Ramadan.

    “Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga mahu memberikan keampunan kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang beriman (dalam bulan Ramadan).

    “Sesiapa yang mengerjakan tarawih, maka diampunkan dosa-dosanya bukan sekadar pada malam itu tetapi juga dosa-dosa terdahulu pun akan diampunkan,” katanya kepada Sinar Islam.

    Ujar beliau, dengan mengerjakan solat tarawih, ia sebenarnya menggalakkan umat Islam supaya bersatu padu pada malam bulan Ramadan.

    “Ramai yang akan ke masjid atau surau. Pelbagai orang yang datang sama ada orang kaya, miskin dan ada juga yang sakit turut datang bertarawih. Pada masa itulah kita akan kenal sesama kita. Kita tahu ada orang susah, sakit dan sebagainya.

    “Kita juga digalakkan untuk melakukan sedekah kerana disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW bahawa sedekah pada bulan Ramadan merupakan sebaik-baik sedekah,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Ustaz Fauzi berpesan agar umat Islam tidak berburuk sangka dengan orang yang tidak melakukan solat tarawih di masjid kerana ia perbuatan dosa yang disebut di dalam al-Quran.

    “Barangkali ada orang solat di rumah atau solat di masjid lain. Ingatlah bahawa solat tarawih tidak wajib secara berjemaah, buat secara sendirian pun boleh, buat dengan keluarga juga boleh dan tak semestinya ditunaikan di masjid. Malah, tunaikanlah di pejabat, kilang atau pasar raya sekalipun,” katanya.

    DAI FUAD

    DAI FUAD

    Sementara itu, seorang lagi tokoh agama, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dai Fuad mengingatkan agar kita menjaga rukun dan syarat sah solat ketika mengerjakan solat tarawih.

    “Pastikan bacaan Surah al-Fatihah betul sebutannya dan lancar. Lagi satu, kena pastikan ada tamakninah,” jelasnya yang turut menegur masjid di Bandung, Indonesia yang melakukan solat tarawih 23 rakaat dalam masa tujuh minit.

    Hakikatnya, kata Dai Fuad, solat sebegitu pantas bukanlah menarik orang muda tetapi ia seolah-olah mempermainkan agama.

    “Saya dapati video tular yang memaparkan imam membaca surah al-Fatihah adalah tidak jelas. Bahaya kalau anak muda pandang begitu dan mereka akan fikir, tiada masalah sekiranya mereka membaca dalam nada begitu ketika solat.

    “Boleh buat daya penarik untuk anak muda solat tarawih tetapi jangan sampai ia melanggar syariat yang telah ditetapkan,” ujarnya.

    Dai Fuad turut mencadangkan cara anak muda untuk bertarawih secara berjemaah di masjid atau surau antaranya dengan mengetengahkan golongan itu ke hadapan jika mereka mampu untuk menjadi imam.

    “Selain itu, boleh juga wujudkan liga imam di mana kita mempelbagaikan imam yang boleh membaca seperti mana amalan orang Syria dan Mesir. Walaupun imam itu berbangsa Melayu, ia akan membuatkan golongan belia teruja,” katanya.



    Sumber

  • Ini sebabnya mengapa lelaki asyik main game

    Ini sebabnya mengapa lelaki asyik main game

    Mungkin ada sebab mengapa seseorang itu terlalu asyik dengan game online ini. Sukar sekali untuk mereka stop apabila bermain game.Pandangan pakar mengenai kegilaan bermain game online mungkin menjawab persoalan obses game ini..

    Pensyarah Pembangunan Game, Management and Science University, Faizal Md Fadzil berkata, permainan video ini ada pro dan kontranya. Paling penting katanya, pembangunan daripada game ini telah membuatkan kerajaan memperkenalkan sukan elektronik atau e-Sport.

    Pensyarah Pembangunan Game, MSU, Faizal Md Fadzil

    Pensyarah Pembangunan Game, MSU, Faizal Md Fadzil

    E-Sport ini menjurus kepada sukan elektronik dan atletnya dalam kalangan mereka yang suka bermain game dalam skop yang lebih besar. Contohnya, pasukan Malaysia menang dalam pertandingan game Dota dan telah membawa pulang USD500,000 (RM2,041,368.43).

    Selain itu, kata Faizal, permainan video ini turut dijadikan wadah permainan untuk seseorang itu membuat duit sampingan.

    Mereka boleh menjual barangan rare dalam permainan kepada pemain yang lain di alam maya. Contohnya, barangan senjata yang mana pemain tidak mahu menjalani proses yang lama dalam permainan mereka, akan membeli untuk menambah kuasa permainan mereka. Harga barangan itu boleh menjadi tinggi bergantung kepada legend atau rare barang itu.

    Beliau juga berpendapat, permainan video ini juga dijadikan pilihan kepada mereka yang hendak lari daripada kehidupan sebenar.

    Di alam permainan video ini mereka boleh ada keluarga juga boleh setkan temu janji.

    “Mungkin kehidupan mereka sebenar teruk. Jadi, mereka tumpukan pada game yang boleh membahagiakan mereka. Ini mungkin salah satu sebab mereka tidak boleh berhenti dan hanya berehat sekejap bagi membolehkan mereka terus ‘hidup’ di alam maya,” kata Faizal yang menjelaskan bahawa game popular kini ialah Mobile Legends, 4J dan Dota. Pun demikian, katanya, game online boleh mendatangkan kesan negatif, namun ia bergantung kepada diri seseorang pemain itu.

    Gambar hiasan

    Gambar hiasan

    “Mereka perlu mengawal diri untuk tidak terlibat dengan unsur keganasan yang terdapat dalam permainan itu. Pemain juga perlu menghindarkan diri membeli game yang dirasakan memberi unsur negatif kepada diri.

    “Setiap pemain yang ingin terlibat dalam permainan video ini harus tahu had kehidupan mereka. Mereka harus bijak mengurus masa dengan baik jika mahu terlibat dalam game online ini,” ujar beliau.



    Sumber

  • Hukum puasa apabila mandi wajib selepas azan Subuh

    Hukum puasa apabila mandi wajib selepas azan Subuh

    BAGI mereka yang berhadas besar, perlu mandi wajib untuk berpuasa, apatah lagi jika mahu menunaikan solat.

    Namun, bagaimana jika seseorang itu mandi wajib selepas azan Subuh? Sah ke puasanya?

    Dalam hal itu, mandi hadas (mandi wajib) perlu disegerakan kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah melambat-lambatkan mandi wajib sehingga terlepas waktu solat.

    Walaupun demikian, puasa seseorang yang mandi hadas besar selepas waktu Subuh ialah sah.

    Namun, jika individu sengaja melambat-lambatkan sehingga luput waktu solat subuh, maka dia berdosa.

    Ada dua kesalahan yang dilakukan iaitu sengaja melambatkan mandi hadas dan tidak solat subuh.

    Pada asasnya, mandi hadas tidak termasuk dalam syarat sah puasa.

    Syarat sah puasa ialah Islam, baligh, suci daripada haid dan nifas serta dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.

    Bagi wanita yang datang haid atau nifas, maka tidak sah puasa mereka pada hari datangnya haid atau nifas.

    Sekiranya haid atau nifas datang pada waktu siang hari, maka batallah puasanya pada hari itu.

    Jika wanita itu bersih daripada haid atau nifas pada waktu malam, wajib ke atasnya berpuasa keesokannya, sekalipun dia belum sempat mandi hadas (mandi wajib).

    Kesimpulannya, sah puasa walaupun mandi wajib dilakukan selepas waktu subuh.

    Meskipun, sah puasa kita, janganlah kita memandang remeh hal itu kerana ia berkaitan soal ibadah kita.

    (Sumber: Portal Rasmi Kemusykilan Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)



    Sumber

  • Toyo Proxex TR1 kini di Malayisa

    Toyo Proxex TR1 kini di Malayisa

    TOYO Tyre melancarkan tayar Toyo Proxes TR1 untuk pasaran Malaysia secara rasmi baru-baru ini.

    Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales And Marketing Malaysia Sdn Bhd, Tan Song Chye berkata, Proxes TR1 adalah versi terbaharu daripada siri tayar prestasi Sporty Ultra yang disasarkan untuk menyampaikan pengalaman menyeronokkan bagi peminat permotoran dan pemilik kereta sedan sports.

    Proxes TR1 merupakan versi terkini dalam siri tayar prestasi Ultra Sporty Toyo yang direka khusus bagi mereka yang mahukan pengalaman pemanduan menarik, sama ada di litar lumba mahupun jalan raya biasa.

    “Di Malaysia, tayar-tayar ini boleh didapati dalam 24 saiz, merangkumi 15 hingga 19 inci diameter rim dengan harga pasaran antara RM199 hingga RM800 seunit, bergantung kepada saiz tayar,” katanya.

    Binaan tayar ini terdiri daripada tiga ciri iaitu lapisan atas yang bergulung bagi menyokong kestabilan ketika pengendalian permukaan basah dan kering. Lapisan keluli berketegaran tinggi pula untuk meningkatkan pengendalian dan kestabilan arah.

    Sementara lapisan terakhir bahan manik berkepadatan tinggi bagi memberikan tindak balas linear lebih baik dan tahan lama.

    Menurut Song Chye lagi, bersempena dengan pelancaran Proxes TR1, pengguna akan dihadiahkan sebuah beg Targus bernilai RM109 dengan setiap pembelian satu set tayar Proxes TR1 (empat biji tayar) sepanjang Mei ini sementara stok masih ada. Toyo Tires di Malaysia diniagakan di bawah nama Toyo Tyre Sales And Marketing Malaysia Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kepada Toyo Tire Corporation Jepun.



    Sumber

  • Pengasas cosmetik lelaki berjaya meletakkan jenama Anas Cosmetic di 33 outlet Sasa Malaysia dan Fashion Valet.

    Pengasas cosmetik lelaki berjaya meletakkan jenama Anas Cosmetic di 33 outlet Sasa Malaysia dan Fashion Valet.

    MEMAHAMI bahawa golongan wanita di negara ini yang sentiasa mahu tampil menawan, seorang jejaka iaitu Mohamad Anas Zahrin Atan atau Anas telah mencipta produk kecantikan yang dinamakan Anas Cosmetic.

    Beliau yang bertindak sebagai Pengarah Urusan dan Pengasas Anas Cosmetics telah mengeluarkan produk baharu iaitu Ultra Madness Super Volume Mascara dan Concealers.

    Secara keseluruhannya, terdapat 20 jenis produk termasuk gincu, pembayang mata, maskara, penutup cela, pemerah pipi dan bedak asas.

    Antara produk Anas Cosmetic

    Antara produk Anas Cosmetic

    Walaupun baru setahun jagung dalam dunia kosmetik, lelaki ini berbangga apabila produknya boleh didapati 33 outlet Sasa Malaysia dan di Fashion Valet.

    Percaya atau tidak, Anas Cosmetic sudah menjengah pasaran antarabangsa apabila peruncit kosmetik terkemuka Hong Kong telah membeli produk Anas. Kini jenama Anas Cosmetics diletakkan sebaris dengan jenama premium lain.

    Susulan itu, lelaki itu meraikan kejayaannya dalam satu program khas di Flora Terrace, Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu.

    Pada majlis itu juga, Ayda Jebat diumumkan sebagai duta baharu Anas selain Rozita Che Wan sebagai duta maskara. Selain itu, penyampai berita TV9, Hawa Rizwana dan model muslimah, Intan Liana sebagai wajah penghias Anas Cosmetic.

    Ujarnya, pelantikan beberapa wajah baharu ini adalah simbolik dalam meraikan dan memperjuangkan hak wanita yang berani, bebas, moden dan indah.

    “Kerjasama ini diharapkan dapat memperluaskan dan menemui para pengguna baharu jenama ini,” katanya.

    Permulaan Anas Cosmetic

    Kejayaan yang dikecapi oleh Anas ini bertitik tolak kesungguhan dirinya yang mahu mengubah nasib keluarga yang dibesarkan sebagai anak petani. Zaman kanak-kanaknya membesar dalam suasana serba kekurangan. Dengan adik beradik yang ramai memerlukan dia berusaha mengejar impian dirinya.

    “Minat suka berniaga sememangnya sudah diterap daripada kecil. Bapa mengajar kami untuk tidak malu mencari duit sendiri dengan berniaga. Masa itu dapat upah RM2 sehari pun saya sudah gembira.”cerita Anas menyatakan duit upah itu begitu bernilai buat dirinya.

    Sejak itu Anas nekad mengubah kehidupan keluarga dengan menimba ilmu sebanyak mungkin.

    Mengimbau detik awal, tamat persekolahan, beliau terus mengorak langkah menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi dengan mengambil jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan dan seterusnya Sarjana Muda Pengajian Pemasaran di Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) dan selepas itu, menimba ilmu “Short Course” di London Fashion School selama tiga bulan pada 2013, dengan tajaan sendiri

    Ayda Jebat diumumkan sebagai duta baharu Anas

    Ayda Jebat diumumkan sebagai duta baharu Anas

    Jangan tidak tahu Anas ini turut mempunyai bakat fotografi. Bakat ini telah digunakan oleh dirinya semasa berada di universiti untuk membuat duit poket dengan mengambil upah merakamkan potret menarik.

    Dia dikenali sebagai Annas Easkey telah menggunakan kamera yang dipinjam dan telah membuat duit poket sehingga mencecah RM4,000 ke RM5,000.Tamat pelajaran Anas telah membuka studio dan banyak berkolaborasi dengan rakan-rakan artis di samping aktif di media sosial.

    Kenalan artis popular dan rakan media massa ini membantu Anas mendaki cita-cita dirinya melebarkan sayap dalam bidang kosmetik.

    Kejayaan yang ditempa kini menunjukkan tidak mustahil untuk seorang lelaki berjaya dalam bidang yang dimonopoli oleh wanita. Bak kata perpatah Melayu ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.



    Sumber

  • Empat golongan yang dihalang masuk ke syurga

    Empat golongan yang dihalang masuk ke syurga

    DALAM kita sibuk mengejar urusan di dunia, jangan sampai mengabaikan bekalan di hari akhirat nanti.

    Sebab itulah, kita selalu dengar orang berpesan supaya berwaspada, berjaga-jaga, berhati-hati dan berpada-padalah ketika melakukan sesuatu perkara.

    Bukannya apa, bimbang jika apa yang dilakukan itu tidak seperti yang diharapkan.

    Lebih membimbangkan lagi apabila syurga ALLAH yang kita harapkan semakin menjauh, sebaliknya neraka pula yang menanti. Nauzubillah, mintalah dijauhkan.

    Dalam sebuah hadis, ada dinyatakan tentang empat golongan yang dihalang daripada memasuki syurga.

    Rasulullah SAW bersabda: “Ada empat golongan manusia yang menjadi hak ALLAH untuk tidak memasukkan mereka itu ke dalam syurga dan tidak akan diberi rasa kenikmatan syurga iaitu orang yang mengekalkan minum minuman keras, memakan riba, memakan harta anak-anak yatim tanpa hak dan berani melawan kedua orang tua.” (Riwayat Hakim dan al-Baihaqi)

    Justeru, berjaga-jagalah, jangan sehingga terleka akibat hanyut dengan urusan duniawi.

    Maklumlah, iman kita memang ada pasang surutnya.

    Jagalah diri kita daripada hasutan-hasutan jahat yang boleh memakan diri.

    Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan tadi.

    (Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



    Sumber