Category: ATTRACTION

  • Allianz Motorcycle Plus lindungi penunggang motosikal

    Allianz Motorcycle Plus lindungi penunggang motosikal

    ALLIANZ General Insurance Company (Malaysia) Bhd, cabang insurans am Allianz Malaysia Bhd, melancarkan insurans motosikal yang pertama bagi motosikal di bawah 245cc, Allianz Motorcycle Plus, meliputi perlindungan ke atas motosikal dan penunggang bermula Mei tahun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, perlindungan insurans itu terdiri daripada dua kategori iaitu Allianz Motorcycle Plus (komprehensif) dan Allianz Motorcycle Plus (pihak ketiga sahaja).

    Allianz Motorcycle Plus menawarkan perlindungan meliputi kemalangan sebanyak RM5,000 bagi kematian dan hilang upaya kekal, pendapatan hospital sebanyak RM50 sehari sehingga 60 hari serta perlindungan insurans khas jumlah penuh bagi semua keadaan bahaya seperti banjir dan tanah runtuh.

    Manakala Allianz Motorcycle Plus pula menawarkan perlindungan kemalangan sebanyak RM5,000 bagi kematian dan hilang upaya kekal serta pendapatan hospital sebanyak RM50 sehari sehingga 60 hari tanpa sebarang premium tambahan.

    “Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan tidak boleh dikawal dan disediakan hanya untuk pengukuhan jenama, ia perlu berguna dan memenuhi tujuan melindungi serta memenuhi kehendak pelanggan.

    “Menurut Statistik Keselamatan Jalan Raya JKJR 2018 menunjukkan kira-kira 13.6 juta motosikal berada di jalan raya pada tahun lalu dan menjadi punca utama kemalangan maut. Jadi adalah penting untuk mereka dilindungi insurans.

    “Setakat ini, insurans motosikal di negara ini hanya melindungi kenderaan, bukan penunggang,” katanya pada sidang media semasa majlis pelancaran mudah Allianz Motorcycle Plus di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



    Sumber

  • Cara berkesan memujuk pasangan merajuk

    Cara berkesan memujuk pasangan merajuk

    BILA hati tertusuk sembilu geram dan benci kesannya akan membuatkan seseorang itu merajuk. Bukan hanya wanita boleh merajuk lelaki juga tidak kurang hebatnya dalam bab merajuk. Masing-masing ada ego yang ingin dipertahankan dan tidak ada lagi istilah pujuk memujuk. Akhirnya rajuk itu hilang dengan sendiri dan rumah tangga kembali berseri kembali.

    Namun harus diingat tidak semua orang boleh hilang dan padamkan perasaan benci dan marah itu sebegitu sahaja, walau kata maaf sudah dilafazkan. Untuk itu, cubalah memujuk pasangan dengan cara ini.

    Reka ayat kemaafan paling indah

    Ingat kembali saat romantik anda. Apa salahnya memujuk isteri, banyak keistimewaan yang boleh anda dapat. Pujuk dengan ayat kemaafan yang paling indah. Hati perempuan ada yang lembut. Ada juga yang keras.Malah lebih keras dari batu pun ada. Reka satu ayat maaf yang paling indah untuk diucapkan.Kalau boleh ucap dengan nada yang jelas dan yakin.

    Hadiah paling bermakna

    Sesekali memujuk isteri dengan memberikan hadiah kepadanya pasti dia akan seronok. Cukup bermakna jika anda dapat memberikan hadiah yang sangat diingini oleh isteri ketika itu. Jika kena pada apa yang anda berikan pasti isteri akan tersenyum manja dan hilang segala rajuk. Anda pula tidak akan terasa di hati apabila layanan isteri begitu istimewa, anda terasa seperti raja.

    Layan kehendak isteri

    Ada ketikanya topik pergaduhan itu tidak seberapa tetapi mungkin disebabkan anda sentiasa sibuk dengan kerja sehingga mengabaikan keluarga. Rajuk isteri dan anda yang mula menyampah dengan situasi itu membuatkan hubungan bertambah kronik. Perbaiki hubungan itu dengan melayan isteri anda. Mungkin dengan teman dia membeli belah atau belanja dirinya ke spa. Cara ini menghapuskan rajuk isteri kerana kebaikan mampu mengatasi keburukan.

    Tawar diri melakukan kerja rumah

    Salah satu punca tidak seronok dalam jiwa para isteri dan menimbulkan perasaan tidak puas hati ini, kerana mereka melakukan semua aktiviti di rumah. Dari soal memasak, mengemas rumah dan melayan kerenah anak-anak. Sebelum isteri anda merajuk lebih lama dan merajuk untuk melakukan kerja rumah, apa kata anda mengambil hati dengan melakukan kerja rumah yang dibuat oleh isteri anda. Biarkan isteri anda santai dan menonton televisyen.

    Bawa keluarga menjamu selera

    Sesekali bawa keluarga anda menjamu selera. Sebaik-baiknya bawa sekali ibu bapa kedua belah pihak. Jika mampu jemput sekali anak-anak yatim makan di restoran. Tujuannya agar perasaan merajuk isteri akan hilang melihat kesungguhan anda membawa kebahagiaan kepada orang sekeliling. Anda akan turut merasa bahagia memberi makan anak-anak yatim. Niat yang baik Allah akan bantu hambanya melalui kebahagian rumah tangga.

    Nasihat Datuk Fadzilah Kamsah mengatasi merajuk

    • Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.
    • Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) pasangan
    • Tidak mengejar kebendaan semata-mata.
    • Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.
    • Mengubah diri untuk merangsang perubahan kepada pasangan.



    Sumber

  • Berdoa dan mohon kepada ALLAH untuk membina takwa yang sebenar-benarnya

    Berdoa dan mohon kepada ALLAH untuk membina takwa yang sebenar-benarnya

    TAKWA memang mudah disebut, namun untuk mempraktikkannya bukan mudah.

    Apatah lagi, untuk menggapai takwa ini, banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi.

    Sebenarnya, di manakah letaknya takwa?

    Dalam hal itu, Rasulullah SAW bersabda: “Takwa itu terletak di sini, sambil baginda menunjuk ke dada/hati baginda tiga kali.” (Riwayat Muslim)

    Disebabkan tempatnya di hati, maka sukarlah untuk dilaksanakan kecuali mereka yang dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

    Benar, soal hati tiada siapa yang tahu dan hanya ALLAH sahaja yang dapat menguasainya.

    Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata, “Ketahuilah, sesungguhnya seorang hamba hanya mampu melalui tahap-tahap perjalanan menuju (reda) ALLAH dengan hati dan keinginannya yang kuat, bukan (cuma sekadar) dengan (perbuatan) anggota badannya.

    “Dan takwa yang hakiki adalah takwa (dalam) hati dan bukan takwa (pada) anggota badan (saja),” kata beliau.

    Cuba tanya pada diri kita, sudahkah kita menjadi insan bertakwa?

    Jika jawapannya ya, sejauhmanakah takwa kita kepada ALLAH?

    Jika tidak, bermakna iman kita belum mencapai tahap ‘cemerlang’ dalam mengabdikan diri kepada Sang Pencipta.

    Ramai yang menganggap takwa hanya menunaikan hak ALLAH SWT sahaja, sedangkan ia juga merangkumi akhlak yang baik.

    Apabila baik akhlak seseorang itu, maka, dia akan dapat menunaikan hukum dan hak ALLAH SWT.

    Mana mungkin orang yang berakhlak buruk akan melaksanakan hak-hak terhadap ALLAH, bukan?

    Justeru, pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan bulan menggapai takwa ini, apa kata kita mohonlah kepada ALLAH SWT supaya kita mampu membina takwa yang sebenar-benarnya.

    Sesugguhnya, takwa itu mudah andai ALLAH sentiasa di sisi untuk membantu.

    (Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



    Sumber

  • Hyundai lancar Elantra baharu

    Hyundai lancar Elantra baharu

    HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) melancarkan model sedan segmen-C, Hyundai Elantra baharu yang ditawarkan pada harga RM109,888.

    Hanya satu varian ditawarkan bagi model ini iaitu 2.0L Executive dengan enjin 2.0 liter sama seperti digunakan untuk model terdahulu dengan kuasa 152 PS pada 6,200 rpm dan tork 192Nm pada 4,000 rpm. Model paling laris Hyundai di Malaysia sejak diperkenalkan pada 2012 itu tampil dengan rekaan dalam dan luaran berwajah baharu yang lebih sporty serta elegan.

    Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung berkata, syarikat menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan dalam segmen kenderaan penumpang bersaiz sederhana.

    “Elantra sentiasa menjadi pesaing hebat dalam segmen-C menerusi rekaan, prestasi enjin dan fungsi termaju,” katanya pada majlis pelancaran yang berlangsung di Jalan Klang lama, baru-baru ini.

    Elantra baharu direka lebih panjang 70 milimeter (mm) dengan 4,620mm, tetapi jarak rodanya masih lagi kekal sama seperti sebelum ini.

    Perbezaan lain yang boleh dilihat menerusi lampu utama hadapan, belakang dan kabus dengan reka bentuk segi tiga, selain padanan jeriji baharu sporty. Ia juga boleh dibezakan dengan bampar belakang dua tona serta posisi nombor pendaftaran berada di bahagian bawah bampar.

    Elantra juga dilengkapkan ciri terkini seperti Sistem Bantuan Parkir Belakang, kamera pandang belakang dengan Panduan Parkir Dinamik dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar serta kunci pintar dengan punat penghidup tekan (start-stop). Sistem infotainmen memuatkan skrin sentuh LCD 7 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Juga fungsi konektiviti auksiliari, USB, Blueetooth dengan pengecaman suara.

    Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Polar, Metal Fluid, Merah Fiery, Biru Teal dan Hitam Phantom dengan lima tahun waranti atau 300,000 kilometer.



    Sumber

  • Cara Rasulullah SAW menzahirkan cinta

    Cara Rasulullah SAW menzahirkan cinta

    Ramai orang sebenarnya baik, namun sedih sekali ramai juga yang tidak pandai menzahirkannya kebaikannya. Ramai pasangan yang saling mencintai antara satu sama lain tetapi tidak pandai menzahirkan cintanya. Seolah-olah cinta mereka dibungkus rapi dan dikuburkan dalam sudut hati yang paling dalam.

    Sehingga natijahnya kedua-dua insan yang menyayangi menderita, bersedih, menangis dan meraung kerana akhirnya semakin jauh dan terpisah. Saling mencintai malah teramat cinta telah bertukar menjadi membenci sebegitu benci sehingga tidak nampak walaupun satu kebaikan lagi.

    Gambar hiasan

    Gambar hiasan

    Kebencian itu telah menjadi hijab untuk melihat kebaikan pasangan. Yang ternampak hanya kelemahan demi kelemahan sedangkan manusia mana yang tiada kelemahan. Kebencian itu menular menjadi barah yang memakan percintaan seterusnya menjadikan diri semakin mati dalam melayari bahtera percintaan. Hanya menunggu sedikit pukulan ombak maka karamlah bahtera perkahwinan di tengah pelayaran sebelum sampai ke destinasi yang ingin digapai.

    Masalah ini berpunca daripada diri kita yang tidak mencintai Nabi SAW dengan hakikat sebenarnya. Orang yang teramat cinta kepada Nabi SAW maka seluruh kehidupannya sentiasa mencontohi akhlak Nabi SAW.

    Akhlak Nabi SAW sebagai suami yang boleh dicontohi;

    1. Paling baik kepada keluarganya

    Nabi SAW membuat segala kerja rumah ketika berada di rumah. Nabi SAW merupakan orang yang paling rajin ketika berada di rumah. Hinggakan baju dan kasut yang koyak beliau jahit sendiri.

    2. Sentiasa makan berjemaah

    Minum dari tempat isterinya minum. Makan sebekas dan sehingga licin. Sangat menghargai makanan anugerah tuhan. Membuat hati orang yang memasak menjadi gembira, tidak mengkritik makanan walau terjumpa rambut dalam makanan.

    3. Ketika isteri Nabi SAW membuatnya marah

    Baginda tetap boleh melihat dan menyebut kebaikan isterinya. Kadangkala hanya berdiam, mendoakan dan memanggil isterinya dengan panggilan yang mulia dan disukai oleh isterinya.

    4. Menerima kekurangan pada isteri

    Walaupun baginda SAW manusia paling sempurna dan tiada manusia sepertinya. Baginda SAW sentiasa memaafkan itulah sifat kekasih Allah SWT. Baginda SAW manusia yang paling sempurna.

    5. Sentiasa berbaring di atas ribaan isteri

    Nabi SAW tidur bersama dalam selimut ketika isteri didatangi haid dan membersihkan darah haid isteri yang menitik di lantai. Akhlak seperti ini benar-benar membuatkan hati isteri rasa tersentuh dan dapat merasai benar-benar dihargai.

    6. Sentiasa meminta maaf kepada isterinya

    Walaupun baginda tidak melakukan kesalahan dan sentiasa dengan sabar menerangkan sebab segala tindakannya. Baginda SAW tidak perlu berbuat begitu kerana baginda adalah seorang Rasul. Baginda pernah berkata ini salah saya kepada isterinya walaupun Baginda SAW tidak mungkin salah.

    7. Sentiasa menghiasi wajah dengan senyuman

    Abdullah ibnu Haris ra berkata aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak senyum berbanding Nabi Muhammad SAW.

    8. Nabi SAW saat bersalam

    Atau pegang tangan tidak akan menarik tangan sehingga orang itu lepaskan. Tidak akan mengalihkan telinga sehingga orang itu habis bercakap. Yakni Baginda seorang pendengar yang teramat baik. Baginda tidak akan biarkan orang itu berlalu tanpa Baginda SAW dapat membantu menyelesaikan.

    Amalan paling utama ialah kedua-dua pasangan sentisa menjaga solat. Rasulullah SAW apabila mendengar azan tanpa berlengah akan terus ke masjid. Utamakan Allah dan Rasul serta perjuangan agama dalam segala urusan. Allah SWT pasti akan memelihara sesebuah keluarga itu. Reda Allah SWT pasti akan menjadikan segalanya menjadi sempurna dan baik.



    Sumber

  • Perlukah anak mengqada puasa ibu bapa yang telah meninggal dunia?

    Perlukah anak mengqada puasa ibu bapa yang telah meninggal dunia?

    BERPUASA pada bulan Ramadan ialah ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam kerana ia merupakan perintah ALLAH SWT.

    Meskipun begitu, ada keringanan atau rukhsah diberikan kepada mereka yang tidak mampu menunaikannya seperti orang sakit, wanita dalam pantang dan musafir.

    Bagaimana pula jika ada ibu bapa yang meninggal dunia tanpa sempat individu itu menggantikan puasa yang ditinggalkannya?

    Adakah anak atau warisnya perlu mengqada puasa ibu bapanya?

    Menjawab persoalan itu, sekiranya si mati tidak mengqada puasanya kerana uzur yang berterusan dan tiada ruang yang memungkinkannya menggantikan puasa itu seperti sakit, musafir, nifas, hamil dan uzur itu berterusan sehingga meninggal dunia, maka, tidak wajib warisnya mengqada puasa atau membayar fidyah untuknya.

    Bagaimanapun, jika si mati berkemungkinan boleh qada puasa yang ditinggalkan dan ada ruang untuknya berbuat demikan, tetapi ia tidak melakukannya kerana uzur atau sengaja sehinggalah dia meninggal dunia, wali atau warisnya boleh memilih sama ada mengqada puasa yang ditinggalkan oleh si mati atau membayar fidyah.

    Kadar fidyah ialah satu cupak beras bagi satu hari puasa yang ditinggalkan.

    (Sumber: Portal Rasmi Kemusykilan Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)



    Sumber

  • Iriz dan Persona 2019

    Iriz dan Persona 2019

    PROTON Holdings Bhd melancarkan dua model baharu iaitu Proton Iriz dan Persona 2019, yang mana sebelum ini pernah membuat penampilan sulungnya di Pameran Auto Malaysia di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

    Proton mengumumkan harga atas jalan (OTR) model baharu Iriz bermula pada RM36,700 manakala OTR bagi unit 2019 Persona bermula RM42,600.

    










Iriz 2019 tampil baharu bersama bampar hadapan dan gril yang direka lebih menarik.

    Iriz 2019 tampil baharu bersama bampar hadapan dan gril yang direka lebih menarik.

    Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, model hatchback dan sedan keluarga segmen-B Proton itu ditambah baik secara menyeluruh membabitkan lebih 300 bahagian serta pengenalan ciri-ciri pintar pertama dalam kelasnya.

    










Lima warna ditawarkan termasuk Jet Grey, Snow White, Ruby Red, Rosewood Maroon dan Armour Silver.

    Lima warna ditawarkan termasuk Jet Grey, Snow White, Ruby Red, Rosewood Maroon dan Armour Silver.

    “Teknologi pintar yang diterapkan dalam Iriz dan Persona 2019 ini adalah usaha Proton membawakan kereta pintar pada harga mampu milik di pasaran yang bukan hanya memiliki teknologi tinggi tetapi juga keseronokan dalam pemanduan. “Selepas rekod pencapaian X70 pada awal tahun, kami mengharapkan Iriz dan Persona menjadi satu lagi pemangkin melonjakkan jualan untuk mencapai pelan pemulihan syarikat,” katanya pada majlis pelancaran model itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Selasa lalu.

    Reka bentuk baharu

    Untuk membezakannya daripada model terdahulu, kumpulan Reka Bentuk Proton telah memberikan kelainan yang komprehensif pada reka bentuk luar dua model ini. Perubahan paling ketara boleh dilihat menerusi model Iriz. Ia dilengkapi dengan gambaran baharu syarikat iaitu gril hadapan Ethereal Bow yang mula diperkenalkan pada model Proton X70.

    Iriz 2019 hadir dengan lima varian iaitu Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT. Varian tertinggi Premium 1.6L CVT ditawarkan pada harga RM50,700. Reka bentuk pada Proton Persona 2019 tidak begitu ketara, tetapi menampilkan corak Ethereal Bow dan Infinite Weave yang menjadi trademark baharu Proton.

    Turut dipadankan pada model sedan keluarga ini adalah spoiler baharu pada but, reka bentuk bampar hadapan dan belakang baharu serta reka bentuk roda aloi yang lebih menarik tetapi tidak menjejaskan ciri-ciri praktikal yang menjadi kegemaran dalam kalangan pembeli kereta Malaysia.

    Ciri-ciri pintar

    Kedua-dua model boleh didapati dalam varian Premium 1.6AT. Ia menggunakan kad eSIM yang membolehkan pengguna untuk kekal bersambung ke internet. Sistem tersebut turut menawarkan aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara yang boleh diakses melalui skrin sentuh 7-inci dengan paparan warna penuh serta memori dalaman 16GB.

    Untuk kemudahan tambahan, sistem ini juga mempunyai kemampuan pencerminan bagi telefon pintar Android. Sama seperti SUV pertama Proton iaitu Proton X70, aplikasi pengecaman suara diaktifkan melalui kata kunci Hi Proton! Pengguna kemudiannya, boleh mengakses pelbagai pilihan yang ada menggunakan arahan suara ini. Ini membolehkan pemandu kekal fokus memandang ke arah jalan raya sambil membuat carian kompleks untuk ke mana-mana destinasi atau memilih lagu.

    Sistem ini juga akan menerima kemas kini Over The Air (OTA) secara berkala apabila terdapat aplikasi-aplikasi baharu.


    Sumber

  • Dua sahabat baik membuka studio Sarang Suara untuk menyumbang muzik industri seni

    Dua sahabat baik membuka studio Sarang Suara untuk menyumbang muzik industri seni

    DUA sahabat baik ini mudah untuk memberi kerjasama. Sebaik penulis menghubungi Mohd Najib Mohd. Nor, 39, atau mahu disapa Najib, beliau terus mengajak penulis ke studio muzik, Sarang Suara di Seri Kembangan, Selangor.

    Sarang Suara umpama rumah kedua lelaki ini bersama teman yang juga rakan seperjuangannya, Ahmad Nuredzuan Zaizi atau Wan.

    “Di sini tempat kami mencurahkan idea muzik kami. Muzik ibarat perumpamaan isi dan kuku, memang kami tak boleh berpisah dengan muzik,” kata Najib penuh kesungguhan.

    Bicara kami pada petang itu terus rancak. Rupa-rupanya ada banyak kisah yang dileraikan oleh kedua-dua personaliti pada minggu ini.

    Penulis memulakan kisah Najib terlebih dulu. Menariknya tentang lelaki graduan jurusan Fotografi dari Universiti Teknologi MARA ini, beliau langsung tiada asas dalam bidang muzik. Ironinya, minat telah mengatasi segala-galanya.

    Najib

    Najib

    “Saya memang tidak belajar tentang not muzik ataupun sebarang peralatan dari mana-mana institusi awam atau swasta di negara. Namun, kecintaan saya terhadap gema muzik lahir sejak kecil.

    “Pada zaman remaja, saya suka main muzik dan sering menyertai kugiran band. Ketika itu, saya dan kawan-kawan seperti Wan dan Faris Aydeen telah tubuhkan band kami sendiri. Sejak dulu, kami bertiga memang ada pasang impian untuk membuka sebuah studio,” ujar Najib sambil Wan mengiakan pernyataan daripada sahabatnya itu.

    Pun demikian, manusia hanya merancang, ALLAH yang menentukan. Seperti yang disuratkan, Faris meninggal dunia pada tahun 2009.

    Enggan menoleh ke belakang, Najib dan Wan tetap meneruskan hasrat itu dan niat membuka studio muzik itu berjaya direalisasikan pada tahun 2017.

    Bagaimana pula dengan cerita Wan? Wan sedikit berbeza kerana ilmu tentang muzik penuh di dadanya.

    Ahmad Nuredzuan Zaizi/wan

    Ahmad Nuredzuan Zaizi/wan

    Lelaki berusia 39 tahun ini yang pernah mengikuti program Komposisi Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

    Kolaborasi kebolehan Najib dan Wan barangkali berupaya menyuntik suasana yang lebih segar dan luar biasa dalam dunia seni tanah air.

    Sarang Suara

    Studio milik Najib dinamakan Sarang Suara. Kenapa memilih nama berkenaan?

    Menjawab pertanyaan itu, Najib memberitahu, beliau mahu menjadikan studio itu sebagai payung yang menyatukan vokalis, peminat muzik termasuk sesiapa sahaja yang mahu bermain alat muzik atau istilah lebih mudah, jamming.

    Sarang Suara juga menyediakan servis seperti lagu terbitan iklan, mempakej lagu baharu, klip video termasuk menerbitkan lagu untuk individu dan kumpulan.

    Studio berkenaan juga lengkap dengan segala peralatan muzik. Antaranya gitar, dram, piano, set lengkap rakaman lagu, pembesar suara, Digital Audio Workstation dan banyak lagi. Keluasan bilik studio juga memuaskan dengan kedap bunyi.

    Kedua-dua berkebolehan bermain kesemua instrumen muzik kecuali jenis tiupan. “Sarang Suara dibuka hingga lewat malam kerana kami memahami rata-rata penggemar muzik suka jamming pada waktu begini,” kata Wan.

    Kepada anda yang berkebolehan membuat lagu tanpa reti bermain instrumen, Najib dan Wan sedia membantu.

    Kerjasama berdua hasilkan muzik yang menarik

    Kerjasama berdua hasilkan muzik yang menarik

    “Ada di antara klien kami, dalam kepala mereka dah ada melodi lagu termasuk lirik tetapi tak pandai bermain (muzik), kami telah menolong dengan menterjemahkan idea mereka ke dalam susunan muzik yang menarik. Jadi, mereka yang mempunyai hasrat untuk buat lagu sendiri, jom ke Sarang Suara,” katanya.

    Nampaknya, Sarang Suara berpotensi untuk maju ke hadapan.

    Masakan tidak, setakat artikel ini ditulis, kedua-dua lelaki ini telah mengeluarkan 50 buah lagu atas permintaan klien mereka.

    Bantu artis

    Najib dan Wan memberitahu Oh! Lelaki, Sarang Suara sebenarnya telah berjaya menghasilkan mini album untuk lima artis malar segar iaitu Mac Rahayu, Azie atau Roeziah Mustapha, Haslinda, Norlie Tamam dan Adilla yang bakal membuat comeback tidak lama lagi.

    “Kami memainkan peranan sebagai penyusun muzik dan rakaman sepenuhnya dibuat Sarang Suara.

    “Jadi kepada semua artis tidak kira baharu atau lama, mari bertandang ke studio kami. Kami bersedia membantu menghasilkan lagu, melodi, lirik dan sebagainya. Studio kami juga boleh membuat live recording.

    “Sudah semestinya juga harga kami amat berpatutan berbanding yang ditawarkan oleh syarikat muzik yang lain,” kata Najib.

    Selain itu, menariknya tentang dua pemuzik ini, selain orang perseorangan, mereka berdua juga telah mencipta lagu untuk beberapa syarikat pengiklanan, organisasi kementerian yang mahukan sebuah lagu mengikut keperluan masing-masing.

    “Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki daripada ALLAH SWT. Kami harap dapat menyumbang sesuatu yang bermanfaat dalam industri muzik negara,” kata mereka senada.

    Semoga Najib dan Wan akan terus berjaya. Mana tahu suatu hari nanti mereka memiliki artis di bawah label Sarang Suara!

    Kepada yang mahu mengikuti perkembangan kedua-dua lelaki ini dan Sarang Suara, boleh layari Instagram @sarangsuara.



    Sumber

  • Jauhkan diri daripada bermain mercun

    Jauhkan diri daripada bermain mercun

    BERMAIN mercun seolah menjadi kemestian tatkala hampir musim perayaan.

    Meskipun diharamkan oleh kerajaan, namun, masih ada yang enggan mengambil pusing soal itu.

    Bagaimana pula pandangan dari sudut agama terhadap mercun?

    Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa Islam secara prinsipnya membenarkan umatnya untuk berhibur tetapi dalam batasan yang meraikan maslahat dan menjarakkan ‘mafsadah’.

    Berdasarkan kepada banyak nas, hukum mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam.

    Lebih-lebih lagi yang bersifat membahayakan.

    Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

    Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

    Sebenarnya ada banyak kemudaratan bermain mercun antaranya berlaku banyak pembaziran, mengganggu jiran tetangga, menyusahkan orang ramai dan pencemaran bunyi.

    Malah kerajaan juga mengharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak ketika musim perayaan.

    Sudah sampai masanya semua pihak berganding bahu dan mengukuhkan kerjasama yang erat untuk membasmi budaya mercun.

    Sepatutnya, isilah malam-malam Ramadan yang penuh keberkatan ini dengan acara ibadah dan ketaatan kepada Ilahi.

    Islam mengajar kita saling nasihat menasihati.

    Sama-samalah kita ambil iktibar dan membendung budaya yang tidak sihat ini.

    (Sumber: Bayan Linnas, Mercun: Budaya Bahaya, Laman Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



    Sumber

  • Perodua kekal momentum jualan

    Perodua kekal momentum jualan

    MOMENTUM jualan Perodua untuk empat bulan pertama tahun 2019 kekal kukuh dengan peningkatan 9.5 peratus kepada 82,700 unit dari Januari hingga akhir April, berbanding dengan 75,500 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun 2018.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, ini merupakan pencapaian jualan terbaik bagi empat bulan pertama dalam sejarah Perodua. Angka jualan dalaman menunjukkan sokongan padu yang berterusan terhadap syarikat.

    “Kami bersama-sama dengan ekosistem automotif negara yang kebanyakannya terdiri daripada pembekal dan pengedar sah, berterima kasih atas pengiktirafan ini. “Sementara Perodua menantikan angka rasmi jumlah keseluruhan industri (TIV) daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami percaya pegangan pasaran Perodua melebihi 43 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi domestik secara keseluruhan,” katanya.

    Tambah Zainal Abidin lagi, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua telah membelanjakan RM1.8 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal automotif tempatan dan optimis dapat memenuhi komitmen syarikat untuk membeli RM5.4 bilion komponen pada tahun ini.

    Perodua akan terus berusaha memenuhi komitmennya untuk membeli daripada pembekal komponen automotif domestik pada tahun-tahun yang akan datang, walaupun menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.

    “Walaupun terlalu awal untuk menetapkan sasaran selepas 2019, kami yakin Perodua akan terus berkembang pada tahun 2020, seterusnya memberi manfaat kepada pembekal dan pengedar tempatan,” katanya.

    Model Perodua, yang kesemuanya mempunyai lebih daripada 90 peratus kandungan tempatan, menyaksikan angka pendaftaran yang tinggi pada bulan April dengan jualan lebih 7,700 Myvi, 5,900 Axia, 4,200 Bezza dan 1,100 Alza.



    Sumber