Rasanya jarang benar kita berdoa sebaik sahaja bangun daripada tidur apatah lagi, jika sudah terlambat dan tergesa-gesa mahu ke tempat kerja.
Malah, ada yang celik-celik mata sahaja, telefon bimbit menjadi
Sumber
Rasanya jarang benar kita berdoa sebaik sahaja bangun daripada tidur apatah lagi, jika sudah terlambat dan tergesa-gesa mahu ke tempat kerja.
Malah, ada yang celik-celik mata sahaja, telefon bimbit menjadi
Sumber

KESEDARAN ibu bapa terhadap kepatuhan menyediakan kerusi keselamatan untuk anak di dalam kenderaan masih rendah sehingga meningkatkan risiko kemalangan maut.
Sehubungan itu, Perodua berazam untuk bergiat agresif dalam kempen penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan sebelum penguatkuasaannya bermula pada tahun 2020.
Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim berkata, kesedaran dan pematuhan yang masih kurang terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kalangan pengguna jalan raya Malaysia amat membimbangkan.
“Sedangkan kanak-kanaklah yang paling terdedah kepada bahaya ketika berada di dalam kenderaan yang bergerak,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Sebelum ini iaitu pada Oktober 2017, Perodua telah melancarkan kempen keselamatan jangka panjang mengenai kepentingan menggunakan tanda isyarat dan memakai tali pinggang keledar. Selain tidak menggunakan peranti mudah alih semasa memandu dan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.
Turut dilancarkan pada ketika itu ialah kerusi keselamatan kanak-kanak ISOFIX GearUp dalam dua model iaitu bayi (berat sehingga 13 kilogram (kg) yang berwarna merah dan kelabu) dan kanak-kanak (dengan berat di antara sembilan hingga 36kg berwarna merah atau hitam).
“Sepanjang Ramadan ini, Perodua akan menjalankan kempen untuk mendidik, memberi kesedaran serta mempromosikan kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, terutama semasa perjalanan balik kampung untuk berhari raya,” kata Ahmad Suhaimi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Perodua.
Justeru, bermula 13 Mei hingga 30 Jun depan, Perodua akan menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak ISOFIX GearUp pada harga promosi RM660 (bayi) dan RM780 (kanak-kanak).
Penasihat Jualan dan Aervis di cawangan Perodua akan menjelaskan penggunaan dan manfaat kerusi keselamatan kanak-kanak ISOFIX GearUp serta cara pemasangan yang betul kepada pembeli.
Perodua juga mengalu-alukan orang ramai untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kempen selepas jualan terkininya. Ia menawarkan diskaun caj buruh sebanyak 50 peratus apabila pengguna berbelanja RM170 dan ke atas, sebelum cukai dan diskaun dalam satu resit.

KEMATIAN itu sudah pasti bagi setiap makhluk ALLAH yang bernyawa.
Namun, bila dan bagaimana cara kematian itu, hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.
Adakah kita dibolehkan untuk berdoa untuk kematian?
Sebenarnya, berdoa untuk kematian adalah perkara yang tidak disukai dalam Islam.
Makruh hukumnya lebih-lebih lagi apabila ia disebabkan oleh perkara-perkara yang bersifat duniawi.
Sabda Rasulullah SAW: “Janganlah salah seorang daripada kalian sekali-kali mengharapkan kematian disebabkan kerana bahaya yang menimpanya. Apabila mahu juga mengharapkan kematian, maka hendaklah dia berdoa: ‘Ya ALLAH, hidupkanlah aku selama hidup itu lebih baik untukku dan wafatkanlah aku apabila kematian itu lebih baik untukku’.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam Syarah Sahih Muslim, Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis itu, terdapat penjelasan tentang dimakruhkan mengharapkan kematian kerana ada bahaya yang menimpa dirinya seperti penyakit, kemiskinan, cubaan hidup ataupun yang sejenisnya daripada ujian dunia.”
Bagaimanapun, berdoa untuk kematian adalah sunah sekiranya berada dalam situasi berikut:
1. Seseorang yang khuatir kelangsungan agamanya kerana fitnah.
Rasulullah SAW bersabda: “Dua hal yang dibenci oleh manusia iaitu kematian, padahal kematian itu lebih baik bagi orang mukmin daripada fitnah dan membenci sedikitnya harta, padahal sedikitnya harta itu lebih ringan untuk hisab.” (Musnad Ahmad)
2. Seseorang yang mengharapkan mati syahid dalam jihad di jalan ALLAH SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang meminta mati syahid kepada ALLAH dengan sungguh-sungguh, maka ALLAH akan mengangkat darjatnya sehingga ke darjat para syuhada walaupun dia mati di atas tempat tidurnya.” (Riwayat Muslim)
Apapun, jangan sesekali kita meminta kematian disebabkan hal-hal dunia.
Marilah sama-sama kita tingkatkan bekalan amalan kita untuk saham akhirat nanti.
(Sumber: Mustafar Mohd Suki)

SELALU kita dengar orang kata, syurga isteri terletak pada suami.
Bagaimana caranya golongan wanita boleh meraih syurga ALLAH ini?
Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, ada disebutkan empat ciri-ciri wanita idaman syurga.
Sabda baginda SAW: “Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang isteri-isteri kamu yang termasuk dalam penghuni syurga? Iaitu wanita yang mencintai suami, mempunyai anak yang ramai dan selalu meminta maaf kepada suaminya. Sekiranya dia menyakiti ataupun disakiti, dia segera berjumpa suaminya dan memegang tangannya lalu berkata, ‘Demi ALLAH, aku tidak akan tidur sebelum engkau reda kepadaku’.” (Riwayat an-Nasai’)
Subhanallah, betapa tingginya kedudukan isteri yang solehah iaitu wanita yang menjaga sisi kehidupan suami dan keluarganya dengan cermat serta taat.
Namun, ketaatan itu mestilah dalam perkara makruf, bukannya mungkar.
Isteri solehah juga ialah isteri yang menyenangkan dan menghiburkan hati suami sama ada di dalam mahupun di luar rumah.
Sebaiknya, jadilah kawan, teman, sahabat dan pelengkap buat suami yang berada dalam kesenangan mahupun ketika susah.
Contohilah kisah cinta Saidatina Fatimah dan Saidina Ali RA yang cukup masyhur untuk dijadikan teladan buat kita.
Suatu hari, Saidatina Fatimah berkata kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, semalam aku bergurau dengan Ali. Tanpa sengaja, aku telah mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaannya. Setelah itu, aku mendapati mukanya merah menahan marah.
“Bila aku melihat wajahnya begitu, aku berasa sungguh menyesal atas ketelanjuran berkata begitu. Lalu aku segera memohon maaf kepadanya.
“Aku mengelilingi dan merayu kepadanya sebanyak 70 kali sehingga dia reda. Dia akhirnya tertawa melihatku. Walaupun suamiku telah reda, namun aku masih berasa takut kepada ALLAH SWT,” kata Saidatina Fatimah.
Lalu baginda SAW berkata: “Wahai anakku, demi Dia yang telah mengutusku sebagai nabi dengan agama yang benar. Sesungguhnya jika engkau meninggal dunia sebelum Ali meredaimu, maka aku tidak akan melakukan solat jenazah buatmu.”
Daripada kisah itu, dapat kita lihat bahawa Nabi Muhammad SAW begitu tegas kepada puterinya tentang kepentingan mendapat reda suami dalam kehidupan berumah tangga.
Kepada mereka yang sudah berumah tangga, semaikanlah kasih sayang di dalam keluarga dan jagalah hati pasangan sebaiknya.
Semoga rumah tangga kita kekal harmoni buat selamanya.
(Sumber: Fatin Nor Izzati)

SEMPENA sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia menganjurkan peraduan 4Sure Best Raya.
Seramai 10 pemenang bertuah akan berpeluang menjamu selera dengan selebriti Malaysia, Izzue Islam dan Amyra Rosli.
Untuk menyertai peraduan itu, orang ramai hanya perlu memandu uji mana-mana model Mitsubishi di cawangan pusat edaran berhampiran.
Pertandingan 4Sure Best Raya sedang berlangsung hingga 2 Jun ini. Untuk mengambil bahagian, hanya perlu mengisi borang ujian dalam talian di laman web MMM http://mitsubishi-motors.com.my/events.
Peniaga sah Mitsubishi Motors akan mengaturkan jadual uji pandu.
Peserta perlu melengkapkan uji pandu mana-mana model Mitsubishi Motors untuk menang.
Pemenang akan diumumkan pada 10 Jun depan melalui halaman rasmi Facebook MMM selain dimaklumkan melalui panggilan telefon.
Makan malam akan diadakan pada 22 Jun depan dan tempatnya akan diumumkan kelak.
MMM kini juga sedang mengadakan promosi raya termasuk menawarkan rebat tunai sebanyak RM6,000 bagi Outlander, sehingga RM12,000 untuk ASX dan RM6,000 untuk pikap Triton.

MAHU bersenam tetapi malas untuk keluar rumah. Anda juga berkira-kira dari segi bajet bagi membeli peralatan senaman.
Jika jawapannya ya, apa kata anda membuat pelaburan sedikit dengan membeli tali skipping.
Peralatan ini bukan sahaja dijual pada harga mampu milik, ia juga sesuai digunakan seisi keluarga, ringan dan mudah alih.
Bukan itu sahaja, penggunaan tali skipping terbukti bagus untuk kesihatan jatung. Ia juga dapat memperkuatkan bahagian atas dan bawah badan serta membakar kalori dalam masa yang singkat.
Tahukah anda, aktiviti tali skipping bermula sejak tahun 1600 sebelum masihi apabila orang Mesir menggunakan pokok anggur untuk melompat.
Apakah kelebihan lain tali skipping ini? Sila baca huraian ini.
1. Apabila anda melompat, tubuh akan mengeluarkan endorphin yang memainkan peranan sebagai pencegah kesakitan. Ia juga membuatkan tubuh berasa lebih santai.
2. Meningkatkan pengaliran darah serta memberikan lebih banyak nutrien kepada kulit.
3. Memperkuatkan organ dalaman agar dapat berfungsi dengan lebih baik.
4. Dapat meningkatkan pengaliran darah serta memberikan lebih banyak nutrien kepada kulit.
5. Penggunaan tali skipping selama 15 hingga 20 minit membantu membakar keseluruhan kalori daripada sekeping bar coklat.
6. Boleh membuka liang roma dan mengeluarkan toksin dalam badan melalui peluh.
7. Ketika anda melakukan lompatan berulang kali, tubuh badan akan membakar sebanyak 800 hingga 1000 kalori dalam masa satu jam berbanding 200 hingga 300 kalori terbakar ketika berjalan dalam jumlah yang sama.

SHAH ALAM – Berbaki kurang empat hari sahaja lagi sebelum Ramadan berlalu, umat Islam diseru tidak melepaskan peluang untuk memburu malam-malam terakhir Ramadan terutama malam Lailatul Qadar.
Penceramah Bebas, Isfadiah Mohd Dasuki berkata, pemburuan itu juga perlu dilihat pada usaha individu tersebut, sama ada mencari Lailatul Qadar atau menanti sahaja.
“Malam Lailatul Qadar adalah malam penentu, kerana apa yang berlaku dalam kehidupan kita akan ditentukan oleh ALLAH pada malam tersebut.
“Maka mana yang lebih baik antara mencari dengan menanti malam tersebut? Jawapannya lebih baik bagi yang mencarinya kerana bagi yang mencari pastinya usaha mereka akan lebih berbanding hanya menanti,” katanya pada slot Ihya Ramadan dengan tajuk Lailatul Qadar: Mencari atau Menanti di Dewan Karangkraf semalam.
Menurutnya, bukan sahaja umat Islam biasa yang mencari malam Lailatul Qadar ini, tetapi para ulama dan Nabi Muhammad SAW sendiri juga turut memburu malam tersebut.
“Malam yang akan digandakan amalan seperti 83 tahun melakukan amal kebaikan dan dipadam segala amalan salah.
“Maka ia amat dicari-cari oleh mereka yang beriman dengan sentiasa menggandakan amalan yang juga amat diseru oleh Nabi SAW untuk memburunya,” katanya.
Justeru kata Isfadiah, rebutlah peluang yang ada itu untuk bersama-sama melakukan sehabis baik pada malam-malam terakhir ini dengan amalan kebaikan dan kalau sebolehnya tidak melepaskan kesempatan ini.
“Kerana kita tidak pasti sama ada, tahun hadapan dapat lagi kita bertemu dengan Lailatul Qadar yang penuh dengan pahala ganjaran,” katanya.
Tambahnya, mencari dan menanti juga boleh dikiaskan dengan kedudukan tangan bawah bagi yang menanti dan tangan atas bagi yang mencari, yang mana lebih baik dan banyak usaha akan dilakukan.
“Jadi jika dilihat tangan yang mencari pastinya tangan di atas kerana boleh bagi sesuatu. Manakala tangan menerima kurang usaha untuk mendapatkan sesuatu.
“Namun untuk menjadi orang yang memberi atau mencari itu, pastinya diri perlu dididik jiwanya dengan penuh amalan sebelum mampu memberi,” katanya.
Selain itu, sebagai hamba yang bertaqwa, malam-malam mereka bukan hanya beribadat dengan bersungguh pada malam Lailatul Qadar sahaja, mereka yang penuh keimanan itu pastinya melakukan amalan setiap waktu untuk menunjukkan syukur dan bertaubat atas segala perlakuan demi redha ALLAH.

SEMPENA menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dan ulang tahun ke-60 tali pinggang keselamatan kenderaan, Volvo Car Malaysia (VCM) telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya #SafeDrive bersama Volvo Car Malaysia.
Pengarah Urusan VCM, Nalin Jain berkata, kempen itu dilancarkan bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran pentingnya penggunaan alat berkenaan bagi semua penumpang dalam kenderaan.
“Semua teknologi termaju dalam kenderaan kini tidak akan menjadi berkesan sekiranya tali pinggang keselamatan tidak digunakan. “Tanggapan bahawa beg udara, struktur kerangka dan sistem keselamatan aktif yang lain semata-mata mampu memberi perlindungan sememangnya tidak tepat,” jelasnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Menyedari kepentingan tali pinggang keselamatan, Volvo membuka paten alatan berkenaan untuk kegunaan syarikat-syarikat lain. Berdasarkan rekod data dalaman Volvo sejak 1960an, kira-kira sejuta nyawa telah berjaya diselamatkan oleh alat yang ringkas itu.
“Volvo terus memperkenalkan inovasi keselamatan termaju tetapi teknologi paling asas inilah yang akan memastikan keberkesanan ciri yang lain. “Kempen yang dilancarkan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu diharapkan dapat meningkatkan penggunaan tali keledar dalam kalangan pengguna Malaysia sekali gus membantu mengurangkan kes kecederaan dan maut akibat kemalangan,” tambah Jain
Berdasarkan data MIROS pada 2017, purata 16 kemalangan maut dicatatkan sehari sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, satu angka yang membimbangkan. Satu cara paling berkesan untuk menurunkan angka itu adalah dengan memastikan semua penumpang dalam kenderaan menggunakan tali pinggang keselamatan yang tersedia.

SUDAH banyak duit dikeluarkan untuk membeli makanan kesihatan. Namun, ia tetap tidak membantu anda mendapatkan kesihatan yang baik.
Seperkara yang tidak enak, anda selalu terkena serangan penyakit. Kenapa boleh jadi begitu? Ia terjadi kerana badan memiliki sistem keimunan yang lemah bagi melawan virus.
Apa perlu anda buat? Jawapannya, anda harus meningkatkan sistem imun dalam diri.Caranya ialah mengambil makanan yang mampu memberikan rangsangan tambahan kepada sistem keimunan antaranya:
1.Bawang putih
Seulas bawang putih sudah cukup untuk bertindak sebagai antibakteria. Bawang putih dianggap sebagai bahan kimia bioaktif yang dipanggil allicin. Ia mampu melawan penyakit yang dibawa oleh virus Salmonella, Escherichia Coli dan Staphylococcus Aureus.
2.Bluberi
Buah yang kaya dengan polifenol, serat yang tinggi, vitamin C dan rendah kalori. Kehebatan buah ini mampu menjadi perangsang keimunan dan antioksidan yang kuat.
3.Teh hijau
Minum satu hingga dua cawan teh hijau sehari sudah cukup untuk mendapatkan manfaat. Teh hijau mampu menggalakkan sistem keimunan. Ini kerana kandungan antioksidan polifenol boleh mengurangkan risiko penyakit kanser, paru-paru, kolon, perut dan pankres.
4.Tiram
Sumber zink yang ada pada tiram bertindak sebagai sel darah bagi menentang penyakit atau dipanggil T-limfosit. Selain itu, ketam, bijirin sarapan gandum turut boleh membantu anda mendapatkan khasiat zink.
5.Ubi keledek
Sumber vitamin A. Ubi keledek mempunyai keupayaan merangsang sistem keimunan yang kuat. Selain itu, mampu mengekalkan kesihatan dan sebagai perlindungan semula jadi daripada kuman.
6.Madu
Kandungan gula yang tinggi, keasidan dan pelbagai fitokimia adalah komponen yang membantu melawan bakteria seperti Escherichia Coli dan Staphylococcus Aureus. Ambil 1 hingga 5 sudu besar sehari madu asli untuk mendapatkan manfaat.
7.Yogurt
Sarat dengan bakteria baik dikenali sebagai Probiotik. Mikroorganisma ini meningkatkan keupayaan badan untuk melawan sebarang jangkitan penyakit dan mengurangkan pertumbuhan bakteria berbahaya di dalam usus. Ambil 4 auns hingga 6 auns yogurt sehari untuk menikmati khasiatnya.

KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Pepatah itu sering diungkapkan jika mulut atau lidah kita terlanjur daripada membutirkan kata-kata yang boleh menyusahkan diri sendiri.
Bukan sahaja masyarakat tidak suka, bahkan agama Islam turut melarang umatnya berkelakuan sedemikian.
Sesungguhnya, agama Islam merupakan sebuah agama yang amat meniktikberatkan perihal akhlak.
Disebabkan itulah Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia untuk menyempurnakan keindahan akhlak.
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Riwayat Ahmad)
Dalam perihal mulut pula, sememangnya terdapat hadis yang menceritakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya ketika hidup di dunia.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga.
Baginda SAW menjawab: “Takwa kepada ALLAH dan baik akhlaknya.” Lalu baginda ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Menurut Syeikh Abdullah al-Talidi, hadis itu membicarakan berkaitan sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.
Adapun, berkaitan maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga dan berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya.
Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.
Sementara itu, Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan, makna mulut di dalam hadis berkenaan adalah menjaga lidahnya kerana ia boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketakwaan.
Memang agak sukar untuk kita menjaga mulut namun, sebaiknya marilah kita sama-sama cuba menjadi seorang muslim yang baik.
Jika dirasakan tiada apa yang perlu dikatakan, maka berdiam diri adalah lebih baik.
(Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-374: Mulut Punca ke Neraka, Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan)