Category: ATTRACTION

  • World #QuranHour bina rasa cinta kepada al-Quran

    World #QuranHour bina rasa cinta kepada al-Quran

    KUALA LUMPUR – Program World #QuranHour merupakan titik tolak bagi membina rasa cinta terhadap al- Quran dalam kalangan masyarakat Islam seluruh dunia

    Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, ramai kalangan umat Islam masa kini tidak menjadikan kalam suci itu sebagai panduan dalam kehidupan.

    “World #QuranHour bukan semata-mata sebuah program keagamaan tetapi sebuah gerakan dan kempen berskala besar yang mengajak umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

    “Kita mahu wujudkan gelombang yang terdiri daripada umat Islam seluruh dunia (untuk) berhimpun dalam satu masa, satu jam dan meraikan al-Quran sekali gus menjadi momentum solidariti untuk tingkatkan bacaan, kefahaman dan amalan,” katanya pada sidang akhbar selepas program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah pada Selasa.

    Datuk Hussamuddin Yaacob

    Datuk Hussamuddin Yaacob

    Mengulas lanjut Hussamuddin berkata, penganjuran program tersebut turut membuka ruang kepada umat Islam untuk menjadikan al-Quran sebagai pembentuk karakter, cara fikir serta amalan dalam kehidupan seharian.

    “Misi kita adalah untuk ‘mengqurankan’ bangsa yang apabila ada al-Quran dalam hati, jiwa dan minda, kita dapat lihat perubahan besar (berlaku) kerana banyak ajaran dalam kalam suci itu sudah ‘unlocked’.

    “Justeru program yang dilakukan setiap tahun sejak 2015 ini bukan hanya kejayaan terhadap program, tetapi bagaimana mempertingkatkan mutu Islam,” ujarnya.

    Dalam pada itu Hussamuddin turut menjelaskan, pemilihan tarikh program pada 24 Ramadan bertujuan untuk mengimarahkan suasana 10 hari terakhir bulan mulia itu.

    Katanya, sepanjang 10 hari itu merupakan kemuncak perjuangan ibadah bagi setiap umat Islam yang mengharapkan keredaan ALLAH atas setiap amal dilakukan.

    World #QuranHour yang berlangsung di Studio TV Alhijrah turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli menyertai bacaan surah Al-Sajdah.



    Sumber

  • World #QuranHour di Masjid Albukhary meriah

    World #QuranHour di Masjid Albukhary meriah

    ALOR SETAR – Lokasi utama penganjuran World #QuranHour 2022 di Masjid Albukhary, Jalan Langgar, di sini meriah dengan kehadiran kira- kira 400 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.

    Wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa berkata, World #QuranHour di negeri ini diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Katanya, program terbabit turut melibatkan kerjasama daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan beberapa buah sekolah.

    “Ini adalah tahun pertama kita dapat berkumpul semula dalam majlis sebegini setelah dua tahun dianjurkan secara dalam talian akibat penularan pandemik Covid-19.

    “Alhamdulillah sambutan sangat meriah, mungkin ramai yang merindukan suasana bertadabbur bersama-sama dalam majlis seperti ini,”katanya ketika ditemui di Program World #QuranHour 2022 di Masjid Albukhary, Jalan Langgar, di sini pada Selasa.

    Menurutnya, mereka turut menjemput pelajar AIU daripada pelbagai negara untuk mengetuai bacaan surah As-Sajdah dalam program terbabit.

    “Kita juga menjemput 20 pelajar asnaf daripada sekolah berdekatan untuk turut serta dalam program ini dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bekas Penuntut dan Guru Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah, Datin Che Zamilah Ibrahim berkata, dia sangat bersyukur kerana berpeluang mengikuti program terbabit bersama 50 ahli persatuan yang lain.

    “Kami mendapat info mengenai program keagamaan ini melalui Rumah Ngaji Kedah, dan bila saya suarakan kepada rakan-rakan lain mereka pun berminat untuk turut serta,” katanya.

    Dalam pada itu, sambutan World #QuranHour 2022 di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah turut meriah dengan penglibatan seramai 500 peserta secara bersemuka dan juga dalam talian.

    Sumber

  • Hampir 600 jayakan World #QuranHour di Masjid Al-Alami

    Hampir 600 jayakan World #QuranHour di Masjid Al-Alami

    MELAKA – Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh, di sini, menjadi saksi bergemanya alunan surah Al-Sajdah bersempena World #QuranHour yang berlangsung pada Selasa.

    Penyelaras program, Murad Amat berkata, Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersama isteri hadir bagi memeriahkan program yang dimulakan dengan sesi tadarus al-Quran diikuti khatam al-Quran dan World #QuranHour.

    Menurutnya, program diadakan setiap tahun pada 24 Ramadan itu disertai hampir 600 peserta termasuk sahabat-sahabat Rumah Ngaji, kakitangan kerajaan dan orang awam.

    Katanya, program lebih meriah apabila pemimpin negeri turut serta dalam program berkenaan.

    Sebahagian peserta terdiri pelbagai latar belakang menjayakan program itu.

    Sebahagian peserta terdiri pelbagai latar belakang menjayakan program itu.

    “Setelah dua tahun kita tidak dapat laksanakan #QuranHour secara bersemuka kerana pandemik Covid-19, tahun ini Yang di-Pertua bersetuju hadir.

    “Alhamdulillah ini satu permulaan yang begitu mengembirakan buat kami kerana sebelum ini kita tidak pernah ada tetamu kehormat seperti Yang di-Pertua Negeri bersama dalam program yang serentak diadakan di seluruh negeri,” katanya.

    Tambahnya, seramai 500 bertadarus dengan dibimbingi Imam Besar Masjid Al- Azim, Datuk Muhammad Hashim Al-Hafiz.

    “Menerusi penganjuran ini umat Islam dapat menyuburkan tabiat membaca dan mengamalkan ajatan al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya

    Sumber

  • Peserta khatam al-Quran sertai World #QuranHour

    Peserta khatam al-Quran sertai World #QuranHour

    SHAH ALAM – Program World #QuranHour mendapat sokongan dan penyertaan lebih daripada 100 orang di Masjid Mu’adz Bin Jabal, Setiawangsa pada tahun ini.

    Pengerusi Biro Dakwah dan Pendidikan Masjid Mu’adz Bin Jabal, Datuk Azli Halim berkata, program tersebut dilakukan secara serentak dengan Program Khatam Quran Perdana yang akan berlangsung selepas World #QuranHour.

    “Ini merupakan kali ketiga Program Khatam Quran ini diadakan sempena dengan World #QuranHour.

    “Tahun ini kita ada lebih kurang 100 orang peserta untuk khatam al-Quran yang terdiri daripada golongan dewasa dan remaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

    Mengulas lanjut, Azli berkata, barisan qariah turut menyokong program World #QuranHour yang berlangsung pada jam 12 tengah hari.

    Majlis tersebut dimulakan dengan aktiviti tadabbur al-Quran pada jam 11 tengah hari yang dipimpin oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Lukman Ibrahim sebagai pentadabbur.

    Kakitangan Prolintas cawangan Lebuhraya SILK yang menyertai World #QuranHour

    Kakitangan Prolintas cawangan Lebuhraya SILK yang menyertai World #QuranHour

    Sementara itu, seramai 150 kakitangan Prolintas memberi sokongan dengan menyertai program World #QuranHour pada Selasa.

    Jumlah tersebut merangkumi kakitangan daripada anak syarikat Prolintas termasuk dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Kajang SILK (SILK), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA).

    Pembacaan Surah Al-Sajdah oleh kakitangan Prolintas itu dilakukan secara dalam talian di pejabat masing-masing.

    Kakitangan Prolintas seluruh cawangan yang menyertai World #QuranHour

    Kakitangan Prolintas seluruh cawangan yang menyertai World #QuranHour

    Sumber

  • Bangsa berjaya berjaga malam, bekerja siang

    Bangsa berjaya berjaga malam, bekerja siang

    KUALA LUMPUR – Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang berjaga pada waktu malam dan bekerja di siang harinya, kata Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

    Beliau berkata, kombinasi antara dua perkara itu penting untuk mencipta kekayaan agar dapat berbahagi rezeki bersama insan yang memerlukan.

    “Itulah sebenarnya, kurangkan tidur dan banyakkan kerja-kerja siang (untuk) mencipta kekayaan supaya kita dapat berinfaq.

    “Tidak boleh bayar zakat yang lebih jika tidak ada harta,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program World #QuranHour 2022 di Studio TV AlHijrah pada Selasa.

    Menurutnya, masyarakat kini cenderung membincangkan soal pengagihan harta, tetapi kurang memberi fokus bagaimana mahu menjana pendapatan itu sendiri.

    “Nak agih mudah tetapi nak bina kekayaan dan cipta ekonomi baharu dalam masyarakat, itu yang mencabar,” ujarnya.

    Mohd Daud berkata, umat Islam harus berusaha mengumpul kekayaan untuk mencipta kehidupan yang lebih baik di dunia mahupun di akhirat.

    “Jadi, (jika) kita nak mencipta kekayaan, al-Quran selalu mengatakan lepas solat Jumaat keluar, jangan duduk di masjid, pergi cari rezeki dan meneroka.

    “Itulah bahasa al-Quran, bukan bahasa akhirat, tetapi bahasa dunia. Al-Quran turun untuk bina kehidupan di dunia sebelum di akhirat.

    “Kita nak wacana al-Quran supaya bina kehidupan di dunia dahulu sebelum di akhirat, ini misi yang kita mahukan,” katanya.



    Sumber

  • World #QuranHour terap budaya al-Quran

    World #QuranHour terap budaya al-Quran

    CYBERJAYA – Pengajuran World #QuranHour memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya warga kerja Kumpulan Malakat Eco mengenai peri pentingnya menerapkan budaya al-Quran dalam kehidupan.

    Ketua Pegawai Eksklusifnya, Hilmi Ismail berkata, pihaknya menggalakkan semua kakitangan membaca dan memahami al-Quran dengan membuka kelas al-Quran.

    “Jika ada yang kadang-kadang membacanya atau langsung tidak tahu membaca, inilah peluangnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas program World #QuranHour di pusat membeli-belah itu, pada Selasa.

    Menurutnya, surah Al-Sajdah yang diangkat sebagai surah pilihan pada pengajuran kali ini memberi peringatan kepada seluruh umat Islam.

    “Terima kasih kepada Kumpulan Media Karangkraf dan sebagai sebuah pusat membeli-belah yang diwujudkan dengan ekosistem Islam, sudah tentu Malakat Eco menyokong dan mengambil kesempatan terhadap peluang ini,” katanya.

    Sebelum itu, Hilmi menyerahkan lebih 100 naskhah al-Quran kepada kakitangan, operator kedai dan pengunjung pusat membeli-belah.

    Program kemudiannya diakhiri dengan tadabbur al-Quran dan sesi bergambar.

    Penganjuran World #QuranHour di Malakat Mall meriah.

    Penganjuran World #QuranHour di Malakat Mall meriah.

    World #QuranHour bertemakan ‘Dunia Bersujud’ tahun ini memilih surah As-Sajadah sebagai surah pilihan yang dibacakan secara serentak di seluruh dunia.

    Sementara itu, Penasihat Media Malakat Mall, Norden Mohamed ditemui berkata, walaupun kali pertama pusat membeli-belah itu menyertai World #QuranHour, pihaknya komited untuk meneruskannya setiap tahun.

    “Segala-galanya berjalan lancar dan sudah tentu Malakat Mall akan menyertainya tahun hadapan,” katanya.



    Sumber

  • Kesinambungan rancangan My #QuranTime

    Kesinambungan rancangan My #QuranTime

    KUALA LUMPUR – Program World #QuranHour merupakan kesinambungan rancangan harian My #QuranTime yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah.

    Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, kewujudan rancangan bacaan al-Quran yang bersiaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu diilhamkan daripada keadaan semasa ketika itu.

    Namanzee

    Namanzee

    “Sejarah My #QuranTime bermula setelah melihat keresahan orang ramai terhadap keadaan semasa (penularan Covid-19) dan cara yang terbaik mengatasi keadaan itu adalah dengan memartabatkan al-Quran.

    “Kita menghasilkan program tersebut setiap hari dengan bertaddabur dan beriman dengan al-Quran bersama-sama secara perlahan-lahan.

    “Kaedah untuk memahami al-Quran adalah dengan cara tertib dan teratur agar pemahaman terhadapnya jelas selain dapat disampaikan dengan baik,” katanya pada sidang akhbar selepas program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah pada Selasa.

    Program World #QuranHour disiarkan secara langsung di TV Alhijrah dan semua platform digital Sinar Harian pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang.

    Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli hadir ke program berkenaan bagi menyertai bacaan Surah Al-Sajdah.

    Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli hadir ke program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah.

    Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli hadir ke program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah.

    Dalam pada itu Namanzee menjelaskan, konsep program My #QuranTime turut diterapkan pada program tahunan World #QuranHour dengan melibatkan enam qari yang membaca surah Al-Sajdah bersama tiga pentaddabur.

    “Bacaan dan taddabur surah Al-Sajdah yang disampaikan hari ini disifatkan sebagai bacaan al-Quran yang bukan sekadar bacaan, tetapi memahami isi kandungannya supaya umat Islam dapat mempelajari sesuatu daripadanya,” ujarnya.



    Sumber

  • Hayati erti sujud melalui World #QuranHour

    Hayati erti sujud melalui World #QuranHour

    KUANTAN – Surah Al-Sajdah yang diangkat sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour kali ini amat sesuai dalam membawa penghayatan umat Islam kepada erti sujud kepada ALLAH.

    Timbalan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Dr Hasbullah Mohamad berkata, sujud itu sendiri berkait rapat dengan solat yang menjadi satu kewajipan bagi orang Islam.

    Menurutnya, penghayatan kepada nilai sujud itu mampu membuang ego dan kesombongan seseorang malah mereka akan sentiasa bersikap lebih merendah diri dalam kehidupan seharian.

    “Sesuai dengan tema utama surah Al-Sajdah ‘dunia bersujud’ World #QuranHour kali ini memberi makna tersendiri dalam mengajak umat Islam untuk sentiasa ‘bersujud’.

    “Biarpun sambutan agak sederhana, paling penting penyertaan dalam World #QuranHour tahun ini dapat diteruskan dengan mesej tersendiri,” katanya ketika ditemui selepas Program World”QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM Kuantan di sini pada Selasa.

    Turut hadir, Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Dr Azmi Md Nor.

    Dr Hasbullah berkata, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan tidak melepas peluang mengambil bahagian dalam program itu setiap tahun.

    “Bagaimanapun tahun ini kita menjadi antara hos Program Iktikaf Perdana Peringkat Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Mufti Pahang jadi slot World #QuranHour menjadi sebahagian pengisiannya.

    “Allhamdulillah hari ini kita bersama-sama menyertai dan menjayakan program ini melibatkan peserta Program Iktikaf Perdana, wakil pelajar UIAM, pelajar tahfiz dan wakil beberapa agensi kerajaan.

    “Bacaan surah Al-Sajdah disampaikan qari jemputan manakala pentadabur, Pegawai Syariah Pusat Perubatan Sultan Haji Ahmad Shah, Abdul Rahman Al-Azmi,” katanya.



    Sumber

  • Al-Quran menepati ciri perjalanan ummah

    Al-Quran menepati ciri perjalanan ummah

    KUALA LUMPUR – Kitab suci al-Quran perlu dijadikan sebagai panduan lengkap perjalanan kehidupan umat Islam.

    Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Datuk Dr Mohmed Razip Hassan berkata, al-Quran sendiri banyak menceritakan tentang perjalanan, pengembaraan dan penemuan yang boleh dijadikan satu proses pembelajaran.

    “Dalam konteks pelancongan, kami melihat apabila kita berkolaborasi dengan program ini, sebenarnya ia menepati ciri perjalanan itu sendiri.

    “Apabila seseorang itu membuat perjalanan, umpama sekarang selepas dibuka sempadan negara, ramai ke luar negara dan ramai juga yang datang ke negara kita hanya untuk melihat apakah kelainan satu-satu destinasi.

    “Jadi ini amat bertepatan dengan apa yang kita ingin sampaikan kepada dunia bahawa apabila kita bersama dengan al-Quran, ia adalah satu perjalanan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program World #QuranHour 2022 di Studio TV AlHijrah pada Selasa.

    Mengulas lanjut, Mohmed Razip berkata, individu yang luas perjalanannya cenderung mengubah perspektif hidup mereka ke arah lebih baik.

    Katanya, ia sebenarnya memberikan satu refleksi bagaimana untuk menjadi umat Islam dan komuniti yang terbaik.

    “Apabila seseorang, sesuatu komuniti atau kumpulan bebas membuat perjalanan, mereka akan berubah selepas melihat keunikan ciptaan ALLAH SWT misalnya gunung, pantai, cara hidup orang Islam, sejarah dan tamadun.

    “Insya-ALLAH, ini juga akan membawa penekanan kepada kepimpinan individu sama ada di peringkat keluarga atau organisasi.

    “Inilah apa yang kita ingin capai bersama-sama dalam program World #QuranHour 2022,” jelasnya.



    Sumber

  • Anggota PGA, Baiduri bergabung laksana World #QuranHour

    Anggota PGA, Baiduri bergabung laksana World #QuranHour

    IPOH – Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Badan Amal dan Usaha Isteri negeri Perak (Baiduri) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) bergabung tenaga menjayakan World #QuranHour di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Kem PGA, Ulu Kinta di sini pada Selasa.

    Pada majlis itu dianggarkan seramai lebih 300 peserta hadir memeriahkan penganjuran program tersebut.

    Pengerusi PPANPk, Jamilah Zakaria berkata, gabungan penganjur kali ini lebih mantap dengan penglibatan lebih ramai peserta berbanding tahun sebelumnya.

    “Walaupun satu jam, World #QuranHour ini merupakan satu yang amat baik untuk dilaksanakan untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran.

    “Kita akan terus memberikan komitmen terhadap penganjuran World #QuranHour pada masa akan datang. PPANPk akan mengangkat al-Quran sebagai bahan bacaan yang popular dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Kem PGA Ulu Kinta di sini pada Selasa.

    Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Aezer Zubin.

    Pusat Latihan PGA bersama Baiduri dengan kerjasama PPANPk bergabung tenaga menjayakan World #QuranHour di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Kem PGA, Ulu Kinta di sini pada Selasa.

    Pusat Latihan PGA bersama Baiduri dengan kerjasama PPANPk bergabung tenaga menjayakan World #QuranHour di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Kem PGA, Ulu Kinta di sini pada Selasa.

    Beliau berkata, melalui World #QuranHour mendekatkan masyarakat dengan al-Quran seterusnya memberi kefahaman terhadap isi kandungan kitab suci itu.

    Sementara itu, Komandan Pusat Latihan Pasukan, Superintendan Mohammad Hafiz Kadir menjelaskan pihaknya sangat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada program tersebut.

    Menurutnya, seramai 250 anggota termasuk pegawai hadir menyokong dan memeriahkan program tersebut.

    Program tersebut bermula seawal jam 10.30 pagi dengan ceramah yang disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzillah Abdul Halim.

    Program kemudiannya diteruskan dengan gimik perasmian World #QuranHour oleh Aezer dan diikuti dengan penyampaian cenderahati.

    Seterusnya, bacaan tadarus Al-Quran Surah Al-Sajdah diperdengarkan oleh semua peserta yang hadir sebelum tadabbur ayat bagi surah berkenaan disampaikan.

    Sumber