Category: ATTRACTION

  • Al-Sajdah formula bentuk Keluarga Malaysia: Mufti

    Al-Sajdah formula bentuk Keluarga Malaysia: Mufti

    TASEK GELUGOR – Surah Al-Sajdah dipilih untuk dibaca oleh lebih 500 peserta yang hadir ke Malaysia #QuranHour Peringkat Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Masjid Jamek Tasek Gelugor di sini pada Selasa.

    Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, surah tersebut dipilih kerana ia mengandungi formula istimewa dalam membentuk Keluarga Malaysia yang teguh bersama melalui sujud dan infak.

    Menurutnya, pemilihan Surah Al-Sajdah adalah bersesuaian sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 yang akan disambut seluruh negara pada Rabu.

    “Selari dengan tema Hari Kebangsaan 2022 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, surah ini mempunyai formula dalam membentuk mukmin sejati melalui sujud dan infak.

    “Formula ini mampu menjadi panduan dan solusi dalam membina sebuah keluarga, organisasi dan negara berbudi serta penyayang yang diredai ALLAH SWT,” katanya selepas merasmikan Malaysia #QuranHour Peringkat Pulau Pinang 2022 di sini pada Rabu.

    Program tersebut melibatkan tazkirah, bacaan doa, sujud sejadah serta bacaan Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan Surah Al-Sajdah ayat 1 hingga 30 yang diketuai oleh Imam Surau Al-Muhsinin Taman Sepadu, Mohd Hanif Abdullah.

    Wan Salim berkata, pembentukan mukmin sejati yang berakidah mampu membentuk sebuah negara yang kuat dan dikagumi.

    “Jika negara kita kuat, maka tiada lagi yang akan merendahkan dan menghina Islam dan Rasul kita. Dalam erti kata lain, kitalah yang akan mengembalikan keagungan dan kegemilangan umat Islam di Malaysia.

    “Dalam surah ini juga menekankan empat perkara utama yang perlu kita sebagai umat Islam lakukan menjadi seorang mukmin sejati iaitu membaca al-Quran, bersujud, mendirikan solat tahajud dan berinfak di jalan yang diredai ALLAH SWT,” katanya.

    Surah Al-Sajdah dipilih untuk dibaca dalam Malaysia #QuranHour Peringkat Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Masjid Jamek Tasek Gelugor.

    Surah Al-Sajdah dipilih untuk dibaca dalam Malaysia #QuranHour Peringkat Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Masjid Jamek Tasek Gelugor.

    Beliau berkata, empat perkara itu perlu dilakukan dengan istiqamah oleh umat Islam sekiranya ingin kebahagiaan di dunia dan pahala terbaik disisi-Nya.

    Dalam pada itu, Wan Salim berharap agar semua umat Islam memberi perhatian terhadap budaya membaca al-Quran dengan adanya program ilmiah seperti Malaysia #QuranHour.

    “Program pada hari ini amat disokong yang mana ia menunjukkan umat Islam semakin memberi perhatian kepada kitab suci al-Quran. Dari perspektif Islam, al-Quran merupakan satu-satunya wahyu ALLAH SWT yang masih kekal.

    “Al-Quran juga sentiasa relevan dengan perkembangan zaman. Oleh itu, saya mengharapkan umat Islam memberi perhatian terhadap al-Quran dalam kehidupan seharian agar menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

    Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufek Abdul Rahman berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila ramai yang menyertai program selama satu jam setengah itu walaupun ia diadakan pada hari bekerja.

    “Syukur apabila ramai yang hadir kerana mengikut sasaran, hanya 200 sahaja yang hadir kerana kali ini, Malaysia #QuranHour diadakan pada hari bekerja. Bagaimanapun, jumlah yang hadir pada hari ini lebih daripada yang disasarkan iaitu melebihi 500 orang.

    “Program kali ini kita tidak terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang terlalu ketat seperti tahun sebelum ini, namun peserta masih diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang majlis berlangsung,” katanya.

    Sumber

  • ‘Belanja harta ke jalan ALLAH mampu hakis sikap sombong’

    ‘Belanja harta ke jalan ALLAH mampu hakis sikap sombong’

    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

    PUTRAJAYA – Membelanjakan ‘harta’ pinjaman ALLAH SWT ke jalan yang diredai merupakan salah satu cara untuk menghakis sikap sombong seseorang individu.

    Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar berkata, harta yang dimaksudkan itu bukan sahaja melibatkan wang ringgit, tetapi juga merangkumi kepakaran atau tenaga yang boleh memberi manfaat kepada pihak lain.

    “Marilah kita bersihkan sifat sombong ini dengan cara kita bersujud kepada ALLAH SWT dan menunaikan segala suruhan. Kita juga perlu menjaga diri daripada melakukan perkara yang dilarang.

    “Salah satu cara untuk kita hakis atau bersihkan diri daripada sifat sombong ini adalah membelanjakan harta pinjaman daripada ALLAH SWT dengan cara yang betul,” katanya ketika berucap dalam sesi Pesan Tokoh bertajuk ‘Sujud dan Sedekah’ pada program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.

    Zakaria berkata, umat Islam juga diseru supaya ‘membersihkan’ segala sumber atau harta yang diperoleh serta ke arah mana ia digunakan supaya tidak terjebak dalam perkara yang dilarang ALLAH SWT.

    “Satu pesanan penting yang saya ingin sampaikan bahawa bersihkanlah harta yang kita peroleh itu sama ada daripada segi punca atau pelaksanaannya supaya tidak mengambil atau memberikan harga kepada perkara yang tidak sepatutnya.

    “Sebagai umat Islam, kita perlu sedar bahawa mengambil atau memberi harta (untuk tujuan rasuah) adalah amat dilarang sekali dan balasan ALLAH SWT sangat dahsyat,” katanya.

    Malaysia #QuranHour kali kelapan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang berlangsung pada Selasa membawa solusi dari Surah Al-Sajdah dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

    Penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya akan bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.


    Sumber

  • 500 jayakan #QuranHour sempena Hari Kebangsaan 2022

    500 jayakan #QuranHour sempena Hari Kebangsaan 2022

    Dr. Muhammad Arif (tengah) bersama sebahagian peserta yang menyertai #QuranHour di Masjid Al Sultan Abdulla, Masjid Tanah pada Selasa.

    Dr. Muhammad Arif (tengah) bersama sebahagian peserta yang menyertai #QuranHour di Masjid Al Sultan Abdulla, Masjid Tanah pada Selasa.

    ALOR GAJAH – Masjid Al -Sultan Abdullah menjadi saksi bergema ayat suci al-Quran sempena Malaysia #QuranHour pada Selasa.

    Penyelaras Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka, Nur Atikah Amir berkata, program kali kelapan dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dijayakan bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), pihak masjid, peserta Rumah Ngaji Melaka dan penduduk setempat bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada 2022.

    Menurutnya, menyasarkan kira-kira 350 peserta yang akan hadir, namun mendapat sambutan positif sekali gus melebihi sasaran sehingga mencecah 500 orang yang datang dari sekitar negeri ini termasuk daerah Jasin dan Melaka Tengah.

    “Bertemakan Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama kita dapat berkumpul dalam program yang murni sebagai salah satu pengisian sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022.

    Che Shukri (tiga,kiri) memegang plakad Malaysia #QuranHour selepas tamat program di Masjid Tanah pada Selasa.

    Che Shukri (tiga,kiri) memegang plakad Malaysia #QuranHour selepas tamat program di Masjid Tanah pada Selasa.

    “Pada awalnya kita menyasarkan 350 peserta sahaja namun walaupun hari bekerja tetapi lebih 500 yang hadir untuk turut serta menyemarakkan program ini dan satu sambutan yang akan baik,” katanya ketika ditemui pada #QuranHour peringkat negeri di Masjid Tanah.

    Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat.

    Program yang bermula seawal jam jam 9.30 pagi dimulakan dengan bacaan Yasiin dan diserikan dengan sesi Motivasi al Quran, bertajuk Apa Matlamat Hidupmu? oleh pengasas Akademi Jiwa Hamba, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor.

    Manakala bacaan surah Al-Sajdah dipimpin Bahagian Dakwah JAIM, Muhammad Khairi Maidin sementara Pentadabbur oleh Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr.Muhammad Arif Musa.


    Sumber

  • Alunan bacaan Syeikh Osama bergema di Perak

    Alunan bacaan Syeikh Osama bergema di Perak

    Penganjuran program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah berjaya menarik kehadiran 500 peserta. Gambar kecil: Normah Hanum

    Penganjuran program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah berjaya menarik kehadiran 500 peserta. Gambar kecil: Normah Hanum

    IPOH – Alunan bacaan Surah Al-Sajdah oleh Guru Al-Quran di Masjidil Haram, Syeikh Osama Mohamad Iqbal memukau kira-kira 500 peserta Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Selasa.

    Tokoh tersebut merupakan salah seorang qari jemputan bagi memperdengarkan bacaan Surah Al-Sajdah bersama-sama sembilan qari yang lain.

    Tadabbur surah berkenaan disempurnakan oleh Pensyarah Bahasa Arab, Pusat Bahasa dan Pengajian Asasi Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Muhammad Saiful Ammar Ismail serta Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan.

    Segmen Pesan Kemerdekaan pula dibacakan oleh Pengetua Institut Tadbiran Islam Perak, Firdaus Salleh sebelum diikuti Ikrar Quran yang diketuai Muazzin Masjid Sultan Azlan Shah, Muhamad Aiman Daniel Badrul Hisham.

    Sementara itu, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, penganjuran program Malaysia #QuranHour di Perak mendapat kerjasama baik daripada pelbagai pihak.

    Sebahagian 500 peserta yang hadir ke program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah pada Selasa.

    Sebahagian 500 peserta yang hadir ke program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah pada Selasa.

    Menurutnya, pemilihan Surah Al-Sajdah itu amat penting dalam menjadikan umat Islam di negara ini sentiasa bersujud kepada ALLAH SWT dan tidak sombong.

    “Apapun jawatan yang kita pegang, kita adalah hamba ALLAH SWT dan kita mesti sentiasa mengingati bahawa kita semua sama sahaja, hanya amalan sahaja yang membezakan kita.

    “Oleh sebab kesedaran itu, saya yakin Surah Al-Sajdah ini akan membina ummah yang baik di Malaysia ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas tamah program berkenaan.

    Pada program berkenaan, sebanyak 500 naskhah al-Quran turut diberikan secara percuma kepada semua peserta yang hadir.

    Turut hadir bagi mengimarahkan program tersebut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.


    Sumber

  • 150 perpustakaan di Selangor sertai Malaysia #QuranHour

    150 perpustakaan di Selangor sertai Malaysia #QuranHour

    Kira-kira lebih 40 peserta menyertai program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda pada Selasa.

    Kira-kira lebih 40 peserta menyertai program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda pada Selasa.

    SHAH ALAM – Sebanyak 150 perpustakaan di bawah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyertai Malaysia #QuranHour 2022 secara serentak pada Selasa.

    Ketua Gerakan Membaca PPAS, Mohamed Fadzil Mohd Fauzi berkata, pihak perpustakaan di kawasan masing-masing diberi kelonggaran untuk menyertai program tersebut mengikut kesesuaian.

    “Ada pihak perpustakaan yang menyertainya bersama penduduk tempatan atau agensi kerajaan dan ada juga dibuat secara dalam talian menerusi Facebook Live.

    “Kami juga menguar-uarkan kepada agensi-agensi di bawah PPAS supaya ia menjadi satu acara tahunan,” katanya selepas program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini pada Selasa.

    Lebih 40 peserta menyertai Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda yang bermula pada jam 11.30 pagi.

    Program yang berlangsung selama sejam itu mengalunkan bacaan Surah Al-Sajdah yang diketuai oleh Muhd Azhim Bahrudin dari ayat 1 hingga 15 dan Saef El Taufiq Samiaun (ayat 16 hingga 30).

    Sebanyak dua kali sesi tadabbur dilakukan yang disampaikan oleh ustaz jemputan, Umar Abdul Aziz.

    Umar ketika sesi tadabbur dalam program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda pada Selasa.

    Umar ketika sesi tadabbur dalam program Malaysia #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda pada Selasa.

    Umar berkata, pemilihan Surah Al-Sajdah bertepatan dengan tema sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 yang bakal disambut pada Rabu.

    Katanya, Surah Al-Sajdah membawakan mesej kepada manusia supaya tidak sombong dan sentiasa sujud kepada ALLAH SWT sebagai seorang hamba-Nya.

    “Maksud merdeka dalam konteks semasa ia diisytiharkan dulu adalah merdeka mengikut Rasul dan kehendak ALLAH SWT.

    “Orang yang sombong akan mengikut kehendak diri serta mengabaikan mengikut ajaran ALLAH SWT dan Rasul.

    “Maka kemerdekaan yang sebenar terletak dalam surah tersebut iaitu tidak sombong, sabar, memperbanyakkan sedekah dan sujud (kepada ALLAH SWT),” katanya.

    Malaysia #QuranHour kali kelapan yang berlangsung di lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Selasa mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

    Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan sempena Hari Kebangsaan 2022 secara serentak di seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

    Sebanyak 1,826 lokasi didaftarkan untuk penganjuran Malaysia #QuranHour di dalam negara dan satu lokasi di luar negara iaitu Brunei.


    Sumber

  • ‘Jadikan surah Al-Sajdah panduan bina negara’

    ‘Jadikan surah Al-Sajdah panduan bina negara’

    Depan dari kanan, Md Abdu, Muhammad Uwais Qarni, Dr Zulkifle,Mohd Khalil dan Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak bersama para peserta Program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Pahang di Masjid MTNP pada Selasa.

    Depan dari kanan, Md Abdu, Muhammad Uwais Qarni, Dr Zulkifle,Mohd Khalil dan Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak bersama para peserta Program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Pahang di Masjid MTNP pada Selasa.

    KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Program Malaysia#QuranHour Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Masjid Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 700 peserta.

    Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak berkata, program sempena bulan kemerdekaan itu dijayakan dengan sokongan kerajaan negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan MTNP selaku tuan rumah.

    Menurutnya, selain lokasi utama di Masjid MTNP, Malaysia #QuranHour turut diadakan di beberapa lokasi lain di seluruh negeri.

    “Sesuai dengan temanya ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ solusi daripada surah Al-Sajdah ayat satu hingga 30 yang dibacakan, kita dapat memahami bahawa rakyat yang berakhlak menjadi penentu kepada kemakmuran sesebuah negara.

    “Pada masa sama, erti di sebalik ayat-ayat yang dibacakan boleh menjadi panduan ke arah membina negara yang dirahmati dan diredhai ALLAH,” katanya ketika ditemui selepas program itu di Masjid MTNP pada Selasa

    Program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Pahang dirasmikan Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali mewakili Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

    Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Khalil Mohd Zari dan Mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ribat Al Mustafa dan Ribat Az Zahra, Muhammad Uwais Qarni Abdul Wahab selaku pentadabbur.

    Md Abdu berkata, surah Al- Sajdah mengajar umat Islam supaya tidak sombong sebaliknya sentiasa sujud kepada ALLAH untuk menggugurkan sifat buruk itu.

    “Pada masa sama, kita juga disuruh supaya sentiasa bersedekah dan bersabar dengan ujian ALLAH kerana perbuatan itu mampu membina akhlak yang lebih baik.

    “Sebagai rakyat berakhlak dan melaksanakan syariat, Insya-ALLAH negara kita juga akan dipandu menjadi sebuah negara yang maju dengan rezeki melimpah,” katanya.

    “Insya-ALLAH bila rakyat berakhlak, negara akan dirahmati dan inilah yang kita semua harapkan,” katanya.

    Sumber

  • 200 peserta jayakan Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Hijrah

    200 peserta jayakan Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Hijrah

    KUALA TERENGGANU – Lebih 200 peserta hadir ke Masjid Al-Hijrah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini bagi mengalunkan bacaan Surah Al-Sajdah sempena program Malaysia #QuranHour yang berlangsung secara serentak di seluruh negara pada Selasa.

    Masjid Al-Hijrah yang dipilih sebagai lokasi utama program Malaysia #QuranHour di Terengganu mula dipenuhi peserta terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, Sahabat Quran Terengganu, pengusaha dan pelajar rumah ngaji serta orang awam pada jam 11.45 pagi.

    Setiausaha Pertubuhan RumahNgaji Negeri Terengganu, Wan Nur Aziemah Wan Mohd Azmi berkata, pada majlis itu, bacaan surah Al-Sajdah diketuai oleh Qari Abdul Hadi Che Abdul Halim manakala Mohammad Amir Kholis Lukman yang merupakan pengasas Hilwan Madani bertindak sebagai pentadabbur.

    “Alhamdulillah, kehadiran hari ini mencapai sasaran dan kita berterima kasih kepada semua pihak atas kerjasama terutama rakan sinergi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor yang turut memberi sokongan.

    “Kali ini, kita memilih Masjid Al-Hijrah sebagai lokasi utama bagi memberi tumpuan kepada penduduk setempat dengan membawa solusi dari surah Al-Sajdah dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya di sini pada Selasa.

    Menurut Wan Nur Aziemah, Malaysia #QuranHour turut mendapat sokongan beberapa pihak lain seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Abdul Malek, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman 2, SK Tok Jembal, SK Al-Amin, Dungun dan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) yang mengadakan bacaan selama sejam di lokasi masing-masing.

    Beliau berkata, kolaborasi pelbagai pihak itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha menghidupkan budaya Al-Quran dalam diri masyarakat terutama golongan muda sekaligus melahirkan generasi berakhlak baik dan positif.

    Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Hijrah berjaya menarik penyertaan lebih 200 orang.

    Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Hijrah berjaya menarik penyertaan lebih 200 orang.

    “Selepas selesainya Malaysia #QuranHour, Pertubuhan RumahNgaji Negeri Terengganu akan memberi perhatian kepada penganjuran program World #QuranHour pula yang dijangka berlangsung pada tahun depan.

    “Kita mahu libatkan pelbagai agensi supaya kehebatan dan keindahan Al-Quran dapat disampaikan kepada lebih ramai orang melalui kempen #QuranHour,” katanya.

    Tahun ini, Malaysia #QuranHour bertemakan ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, acara itu menghadirkan solusi daripada Surah Al-Sajdah yang menyajikan formula bagi membentuk mukmin sejati melalui sujud dan infak.

    Selain itu, ianya diadakan bersempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 dalam usaha menghayati surah Al-Sajdah sekali gus membina negara Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur (negara baik yang mendapat keampunan Allah SWT) serta membentuk Keluarga Malaysia yang Teguh Bersama melalui formula sujud dan infak.

    Sumber

  • Malaysia #QuranHour dorong umat Islam kembali kepada al-Quran

    Malaysia #QuranHour dorong umat Islam kembali kepada al-Quran

    PUTRAJAYA – Program Malaysia #QuranHour berupaya mencetuskan atau mendorong umat Islam kembali kepada al-Quran sebagai penyelesaian kepada kemelut hidup yang melanda ketika ini.

    Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias berkata, kitab suci umat Islam itu berperanan sebagai petunjuk atau ubat kepada jiwa dan pemikiran masyarakat untuk kembali bersatu.

    “Kita dapat lihat hari berlaku pelbagai bentuk persengketaan, perbalahan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat di negara kita (membabitkan krisis politik dan sebagainya) yang tidak tidak diketahui bila akan berakhir atau berdamai.

    “Jadi, kita melihat penyatuan ini dapat dilakukan sekiranya semua pihak kembali kepada al-Quran yang merupakan petunjuk kepada kita semua,” katanya ketika ditemui pada program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.

    Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kembali menjadi lokasi perdana buat kali keempat yang mana kali pertama masjid ini menjadi tuan rumah pada tahun 2016.

    Malaysia #QuranHour 2022 mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dalam membina ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’

    Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang diadakan serentak secara fizikal di seluruh negara bermula 12 hingga 1 tengah hari.

    Sementara itu, ditanya mengenai pemilihan masjid ini sebagai lokasi perdana buat kali keempat, Nor Azamir menyifatkan ia sebagai satu penghargaan besar buat seluruh pengurusan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

    Katanya, program ini juga selari dengan usaha pengurusan masjid untuk mengimarahkan tempat ibadat umat Islam itu dengan aktiviti bacaan al-Quran dan aktiviti keagamaan lain.

    “Mewakili pengurusan masjid, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan pihak yang terlibat kerana sekali lagi memilih tempat kami.

    “Insya-ALLAH, masjid kami sedia dan terbuka sekiranya program ini ingin memilih Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sebagai lokasi perdana pada tahun-tahun akan datang,” katanya.


    Sumber

  • Nenek teruja pertama kali sertai #QuranHour

    Nenek teruja pertama kali sertai #QuranHour

    Mariam teruja pertama kali dapat sertai Malaysia #QuranHour.

    Mariam teruja pertama kali dapat sertai Malaysia #QuranHour.

    TAIPING – “Syukur sangat-sangat, dapat juga saya sertai program #QuranHour, selalu tu tengok kat televisyen dan dengar di radio saja.”

    Demikian perasaan teruja Mariam Ahmad, 72, apabila berpeluang menyertai Malaysia #QuranHour di Laman Toh Puan Halimah Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama di sini pada Selasa.

    Nenek kepada sembilan cucu itu mengakui, sudah lama menyimpan hasrat untuk turut hadir menyemarakkan bacaan al-Quran secara beramai-ramai.

    Bagaimanapun menurutnya, faktor usia dan kesihatan sedikit menghalang untuknya hadir sebelum ini.

    “Ini pertama kali saya datang, kawan-kawan yang ajak. Memang seronok dan suasana lain daripada hanya menonton di televisyen.

    “Di sini selain dapat baca al-Quran, kita dapat ilmu terjemahan dan mesej yang disampaikan daripada surah yang dibaca,” katanya.

    Sebahagian daripada 400 peserta yang mengikuti Malaysia #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Taiping bersama Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama.

    Sebahagian daripada 400 peserta yang mengikuti Malaysia #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Taiping bersama Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama.

    Mariam dari Changkat Jering antara 400 peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Taiping bersama Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama.

    Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan sempena Hari Kebangsaan 2022 secara serentak di seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

    Malaysia #QuranHour 2022 mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dalam membina Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

    Sementara itu, Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama, Datuk Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali berbesar hati menjadi tuan rumah bagi penganjuran kali ini dan berhasrat untuk meneruskannya sebagai acara tahunan di situ.

    “Program sebegini perlu sokongan semua pihak supaya dapat disebar luas dan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat merasai manfaat daripada bacaan al-Quran,” katanya.


    Sumber

  • ‘Pemimpin tolonglah hayati surah Al-Sajdah’

    ‘Pemimpin tolonglah hayati surah Al-Sajdah’

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub sebak ketika menyampaikan pesanannya pada program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub sebak ketika menyampaikan pesanannya pada program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.

    PUTRAJAYA – Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berharap pemimpin dapat menghayati surah Al-Sajdah dan menjadi khalifah yang sebenar.

    Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf mengalirkan air mata ketika bercakap mengenai soal pemimpin yang tidak amanah dan gemar meminta habuan selain gaji yang diterimanya setiap bulan.

    “Bila kita terima amanah kita dibayar gaji, itu merupakan tanggungjawab dan dianggap sebagai ibadah, jadi harus benar-benar memahami surah Al-Sajdah ini supaya kalau kita mahu bawa seluruh ahli keluarga kita ke syurga perkara ini harus dijadikan panduan.

    “Lagi besar jawatan, lagi besar tanggungjawab kita, jadi marilah kita ambil momen sempena kemerdekaan ini untuk membebaskan diri kita dari belenggu selama ini dan masukkanlah tanggungjawab itu sebagai tugas utama kita.

    “Jadi harapan saya kepada pemimpin tolonglah hayati baca surah Al-Sajdah ini, masukkanlah dalam kerangka diri dan bawalah keluar dari kepayahan ini dan jadilah khalifah sebenar,” katanya ketika menyampaikan pesanan pada program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.

    Hussamuddin turut terharu dan amat sedih dengan apa yang berlaku terhadap negara dan umat Islam seluruh dunia.

    Sumber