Category: ATTRACTION

  • Kajian UF diperluas libatkan sumber air masin, payau

    Kajian UF diperluas libatkan sumber air masin, payau

    PENYELIDIKAN sistem UF lebih keterhadapan melibatkan sumber air masin dan payau di negara ini.

    PENYELIDIKAN sistem UF lebih keterhadapan melibatkan sumber air masin dan payau di negara ini.

    PENYELIDIKAN lebih keterhadapan melibatkan sumber air masin dan payau di negara ini sedang dirangka.

    Melibatkan sistem teknologi ultrafiltrasi (UF), Saintis Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Mohd Azlan Hussain berkata, usaha itu membabitkan penyelidikan, pembaharuan dan inovasi baharu.

    “Jika ketika ini hanya tertumpu kepada sumber air sungai, bawah tanah, telaga dan air sisa perindustrian, kami mahu mengembangkan potensi sistem UF sedia ada ke sumber lebih jauh lagi.

    “Kalau boleh, kami mahu merawat air masin dan payau untuk dijadikan bekalan air bersih perkampungan pedalaman yang memerlukan pada masa akan datang,” katanya.

    DR MOHD AZLAN HUSSAIN

    DR MOHD AZLAN HUSSAIN

    Pihaknya juga berharap dapat menaiktaraf keperluan lain seperti penggunaan dua kepada tiga papan tenaga solar bagi menjimatkan kos.

    “Jika sekarang ini unit sedia ada menggunakan pelbagai sumber tenaga untuk menjana sistem UF, kami mahu merangka cara mudah pengoperasian dengan hanya tenaga solar semata-mata.

    “Ciri-ciri itu menjadikan unit UF kami menarik dan sangat kompetitif di pasaran. Pelan masa depan, kami juga mahu menghasilkan unit pelbagai saiz dan kapasiti bagi memenuhi keperluan ramai,” jelasnya.

    Bagi projek akan datang, beberapa unit UF lagi akan dipasang di sekolah terpencil bermula Mac ini secara berperingkat.

    Bercakap mengenai kekangan yang dihadapi sepanjang pelaksanaan projek, Dr Azlan tidak menafikan kesesuaian sumber air menjadi faktor utama sama ada pemasangan sistem UF boleh diteruskan atau sebaliknya.

    “Selain berdepan masalah lokasi yang sangat jauh, kami juga perlu membuat kajian terhadap sumber air yang ada di kawasan yang diperlukan sama ada sesuai dan selamat digunakan,” katanya.

    Difahamkan, ketua komuniti atau pihak pengurusan sekolah yang menerima sistem UF itu juga diberi latihan menyelenggarakan UF. Hal ini supaya wakil kawasan berkaitan dapat membantu kelangsungan hayat sistem tersebut lebih tahan lama.


    Sumber

  • Bolehkah berwuduk di dalam tandas?

    Bolehkah berwuduk di dalam tandas?

    BAGI mereka yang berwuduk di dalam tandas, memadailah membaca basmalah di dalam hati tanpa dilafazkan.

    BAGI mereka yang berwuduk di dalam tandas, memadailah membaca basmalah di dalam hati tanpa dilafazkan.

    KEBANYAKAN rumah kita pada masa ini, rata-ratanya mempunyai kemudahan tandas dan bilik air di dalam kediaman.

    Malah, bilik air tersebut kadangkala digabungkan dengan tandas sekali gus.

    Ia tidak seperti zaman ibu bapa dan nenek moyang kita yang mana binaan tandas dan bilik air mereka berasingan dan masing-masing ditempatkan di luar kediaman.

    Persoalannya, apakah hukum berwuduk di dalam tandas?

    Bolehkah kita menyebut perkataan basmalah ketika berwuduk di dalam bilik air yang ada tandas tadi?

    Menjawab persoalan tentang hukum berwuduk di dalam tandas, ia adalah harus.

    Sebahagian ulama cenderung menjadikan dalil hadis Aisyah RA yang mana Nabi Muhammad SAW mandi junub dan berwuduk di tempat yang sama iaitu di dalam bilik air seperti dinyatakan dalam riwayat al-Bukhari.

    Namun, ia berserta syarat iaitu yakin tiada najis yang merecik dari tempat qada hajat atau terkena badan.

    Sebahahgian ulama pula berhati-hati dan memakruhkan berwuduk di dalam bilik mandi seperti pandangan ulama Hanafiyyah dan Malikiyyah.

    Namun, ia agak kurang praktikal di Malaysia memandangkan kebanyakan rumah menggabungkan tandas dan bilik mandi sekali gus.

    Hukum membaca bismillah atau menyebut nama ALLAH SWT di dalam tandas atau bilik mandi pula telah menjadi perselisihan para ulama.

    Ada yang membenarkannya seperti Imam an-Nakhaie, Ibnu Sirin dan Malik.

    Sementara itu, Imam ‘Atha dan al-Sya’bi memakruhkannya kerana Nabi Muhammad SAW tidak menjawab ketika sahabat RA memberi salam sepertimana yang diriwayatkan dalam hadis sahih Muslim.

    Sebahagian ulama lebih cenderung mengatakan basmalah hanya dibaca di dalam hati tanpa dilafazkan ketika mengambil wuduk di dalam tandas.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Samsung Galaxy A A71, A51 tembusi pasaran negara

    Samsung Galaxy A A71, A51 tembusi pasaran negara

    CIRI baharu iaitu paparan kamera Infinity-O yang diperkenalkan juga memberikan peminat jenama keluaran Korea Selatan itu pengalaman visual tanpa sebarang gangguan.

    CIRI baharu iaitu paparan kamera Infinity-O yang diperkenalkan juga memberikan peminat jenama keluaran Korea Selatan itu pengalaman visual tanpa sebarang gangguan.

    LEBIH tahan lama dan kualiti kamera pintar dipertingkatkan. Itu pembaharuan spesifikasi varian Samsung Galaxy A terbaharu, A71 dan A51 untuk pasaran Malaysia.

    Menariknya, ciri baharu iaitu paparan kamera Infinity-O yang diperkenalkan juga memberikan peminat jenama keluaran Korea Selatan itu pengalaman visual tanpa sebarang gangguan.

    Menurut Naib Presiden yang juga Ketua Kumpulan Perancangan Produk Inovatif dan Perniagaan Komunikasi Mobile Samsung Electronics, Yeon Jeong Kim, pihaknya teruja membina portfolio baharu Galaxy A71 dan A51.

    “Siri Galaxy A terbukti menjadi salah satu rangkaian telefon pintar yang paling disukai secara global. Dengan varian terbaharu, diharapkan dapat meneruskan kegemilangan Samsung.

    “Pada masa sama, A71 dan A51 akan terus menawarkan inovasi baharu buat peminat setia dengan peranti lebih baik, tahan lama dan memenuhi kehendak pengguna,” ujarnya dalam kenyataan media baru-baru ini.

    REKA bentuk kamera belakang berbentuk segi empat kamera dengan susunan seperti huruf L. Bahagian hadapan pula dipadankan dengan kamera swafoto Infinity-O.

    REKA bentuk kamera belakang berbentuk segi empat kamera dengan susunan seperti huruf L. Bahagian hadapan pula dipadankan dengan kamera swafoto Infinity-O.

    Jika diperhalusi, kedua peranti pintar didatangkan dengan reka bentuk kamera belakang berbentuk segi empat kamera dengan susunan seperti huruf L. Bahagian hadapan pula dipadankan dengan kamera swafoto Infinity-O.

    Varian terbaharu keluaran syarikat konglomerat multinasional itu dilengkapi skrin penuh Super AMOLED dengan sistem Android 10 melalui antara muka One UI 2.

    Dengan empat pilihan warna menarik, Galaxy A51 dan Galaxy A71 juga lebih pantas dalam aspek sistem pengecasan dengan kapasiti 4,000 mili ampere per jam (mAh) hingga 4,500mAh keupayaan 25 watt (W) dan 15W.

    SPESIFIKASI lain A51:

    • Samsung Exynos 9611
    • 6GB RAM + 128GB storan
    • Kamera belakang: 48MP+12MP+5MP+5MP
    • Kamera depan: 32MP
    • 4,000mAh cas pantas 15W
    • Bluetooth 5.0, pengimbas cap jari dalam skrin, dwi-SIM, microSD sehingga 512GB

    Spesifikasi Galaxy A71

    • Qualcomm Snapdragon 730
    • 8GB RAM + 128GB storan
    • Kamera belakang: 64MP+12MP+5MP+5MP
    • Kamera depan: 32MP
    • 4500mAh cas pantas 25W
    • Bluetooth 5.0
    • Pengimbas cap jari dalam skrin, dwi-SIM, microSD sehingga 512GB


    Sumber

  • Hukum tegur kesalahan orang dengan cara menyindir

    Hukum tegur kesalahan orang dengan cara menyindir

    MENASIHATKAN seseorang dengan cara menyindir adalah kurang baik kerana dikhuatiri nasihat yang ingin disampaikan disalah faham.

    MENASIHATKAN seseorang dengan cara menyindir adalah kurang baik kerana dikhuatiri nasihat yang ingin disampaikan disalah faham.

    SEGELINTIR orang gemar menggunakan kaedah sindiran untuk menegur kesalahan orang lain.

    Benar, niatnya baik untuk menegur kesalahan orang di sekeliling terutama kenalan rapat dalam usaha menyedarkan mereka.

    Namun, apakah boleh menegur orang dengan cara menyindir?

    Adakah ia dikira berdosa dalam Islam jika kita berbuat demikian?

    Dalam hal ini, perlu difahami bahawa Islam adalah agama nasihat-menasihati berdasarkan hadis sahih al-Bukhari Nabi Muhammad SAW bersabda: “Agama itu adalah nasihat.”

    Imam Ibnu Athir menyatakan, ia adalah nasihat bagi umat Islam iaitu memberikan tunjuk ajar untuk kebaikan mereka.

    Namun, memberi nasihat dengan cara menyindir adalah kurang baik dilakukan.

    Ini kerana maksud sebenar teguran atau nasihat yang ingin disampaikan boleh disalah faham sekali gus menjadikan suatu perkara bertambah rumit.

    Oleh itu, gunakanlah ayat-ayat yang mudah difahami di samping terus memberikan nasihat dan teguran.

    Seseorang itu juga janganlah berputus asa dalam menegur atau menasihati orang lain agar memperoleh kebaikan bersama.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • ‘Kami bukan mat rempit’ – Sinar Harian

    ‘Kami bukan mat rempit’ – Sinar Harian

    SEBUT sahaja mat motor, ramai yang mengaitkannya dengan aktiviti kurang bermoral seperti lumba haram, mat rempit dan seumpamanya yang kurang enak didengar pada halwa telinga.

    Hakikatnya, banyak aktiviti berfaedah dapat dilakukan dengan jentera dua roda itu. Peningkatan trend bermotosikal di Malaysia sebenarnya secara tidak langsung mewujudkan kelab atau kelompok motosikal dalam kalangan pemilik kenderaan dua roda itu.

    Selain dapat beramah mesra dan melakukan aktiviti motosikal bersama, kewujudan banyak kelab motosikal membuktikan perkembangan positif industri permotoran tempatan.

    Republic of Team Shell (ROTS) Malaysia contohnya, adalah antara kelab yang sering melakukan perjumpaan bertujuan mengeratkan silaturahim sesama ahli. ROTS yang dahulunya dikenali sebagai Team Shell kini memiliki pengikut melebihi 4,700 di Facebook dan Instagram.

    Aktif mempromosikan pelbagai aktiviti menjadikan kelab itu semakin dikenali, malah jumlah keahlian rasmi meningkat kepada lebih 6,000 sejak ditubuhkan sekitar tahun 1996.

    Presiden ROTS, Mohd Noor Maula, 33, berkata, aktiviti kelabnya semakin mendapat sambutan dalam kalangan ahli selain bilangan ahli baharu sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

    “Tujuan asal penubuhan kelab ini adalah untuk berkumpul dan melakukan aktiviti positif dalam kalangan pencinta jentera dua roda selain membincangkan hal berkaitan teknikal.

    “Aktiviti kelab ini nampaknya semakin berkembang dengan penganjuran program tanggungjawab sosial yang sekali gus memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan setia kawan antara satu sama lain,” ujarnya.

    Jiwa pada motosikal

    Menurut Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Mamat, jiwa muda dan dunia permotoran sangat berkait rapat. Mana tidaknya, hampir kebanyakan remaja terutama lelaki memiliki motosikal seawal usia 16 tahun.

    Beliau tidak menolak, situasi itu menyebabkan ada yang terlalu taasub dengan motosikal hingga terjebak melakukan aktiviti tidak berfaedah. Menghabiskan masa melepak, mengubah suai motosikal tidak mengikut undang-undang selain lumba haram, katanya, lazim dilakukan untuk ‘memenuhi masa’ yang ada.

    Tanpa bimbingan, keadaan itu semestinya mengundang pandangan serong masyarakat yang melabel golongan terbabit sebagai mat rempit atau remaja yang tiada masa depan, ujar Mohd Noor.

    Hakikatnya tidak semua remaja yang menunggang motosikal adalah mat rempit. Bukan semua juga terbabit dalam aktiviti tidak bermanfaat kerana pokok pangkalnya adalah daripada hati remaja itu sendiri.

    MOHD Noor Maula

    MOHD Noor Maula

    “Kami di ROTS Malaysia sentiasa memantau aktiviti ahli kumpulan kami. Kami mahu membentuk satu komuniti yang sihat serta disenangi oleh semua masyarakat melalui aktiviti permotoran seperti melakukan program amal.

    “Kami harap hobi menunggang sambil beramal ini memberi contoh kepada masyarakat luar bahawa tidak semua mat motor memberi masalah kepada orang ramai,” katanya.

    BIARPUN santai, aktiviti berjaya mengeratkan ukhuwah sesama ahli.

    BIARPUN santai, aktiviti berjaya mengeratkan ukhuwah sesama ahli.

    Terbaharu, ROTS Malaysia baru selesai acara berkonvoi di Batu Buruk, Terengganu yang membabitkan lebih 600 buah motosikal pelbagai jenama.

    “Asalkan namanya dua roda, kami terima dengan hati terbuka. Yang penting, objektif mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli melalui aktiviti sebegini tercapai,” tuturnya.

    ROTS Malaysia juga berhasrat meneruskan aktiviti tradisi seperti konvoi sambutan Ambang Merdeka, Tahun Baru dan Hari Buruh pada setiap tahun.

    Selain itu, banyak lagi aktiviti yang telah dirancang ahli kelab untuk dilaksanakan mengikut negeri.

    ROTS mampu mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli melalui aktiviti yang dianjurkan.

    ROTS mampu mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli melalui aktiviti yang dianjurkan.

    ROTS Malaysia juga mempunyai barisan ahli jawatankuasa dan exco yang amat komited dengan setiap aktiviti yang dijalankan walaupun dibuat secara sukarela.

    Mengakhiri perbualan, Mamat berkata, ROTS Malaysia tidak mengehadkan penyertaan ahlinya. Mereka yang meminati jentera dua roda sangat dialu-alukan menyertai ROTS Malaysia.

    Sumber

  • Kongsi perihal rumah tangga di media sosial

    Kongsi perihal rumah tangga di media sosial

    SELESAIKAN masalah rumah tangga mengikut undang-undang keluarga Islam sedia ada termasuk mengutus wakil atau hakam daripada pihak suami dan isteri.

    SELESAIKAN masalah rumah tangga mengikut undang-undang keluarga Islam sedia ada termasuk mengutus wakil atau hakam daripada pihak suami dan isteri.

    MENJADI kelaziman kebanyakan orang untuk berkongsi kisah peribadi di media sosial masing-masing.

    Malah, segelintir orang tidak kisah untuk mencoretkan apa sahaja yang dilaluinya sama ada pengalaman indah, buruk atau menyedihkan menerusi platform berkenaan.

    Ia termasuklah kisah rumah tangga yang kurang enak didengar.

    Kadangkala niat perkongsian berkenaan sekadar untuk mendapatkan pandangan orang ramai tentang masalah rumah tangga atau keluarga yang dihadapi.

    Bolehkah kita berbuat demikian? Apakah pandangan Islam tentang perkara itu?

    Menjawab persoalan tersebut, keaiban adalah rahsia bersama antara suami dan isteri yang wajib dijaga.

    Ia bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang melarang seorang lelaki yang bersama isteri, kemudian menyebarkan aib pada keesokan harinya.

    Hadis itu dipakai secara umum sama ada untuk suami atau isteri yang mana kedua-duanya dilarang menyebarkan aib masing-masing.

    Media sosial bukanlah tempat untuk mengadu atau berbincang tentang hubungan suami isteri.

    Bahkan, Islam menyekat lebih awal lagi agar aib pasangan tidak dibincangkan bersama kawan-kawan atau teman-teman rapat.

    Jika wujud persengketaan, maka haram didedahkan atau berbincang melalui media sosial seperti Facebook, Telegram atau WhatsApp kerana sedikit demi sedikit, ia akan membuka aib pasangan.

    Sebaiknya, selesaikanlah masalah rumah tangga berkenaan melalui peruntukan undang-undang keluarga Islam melalui mahkamah di samping mengutus wakil atau hakam daripada pihak suami dan isteri.

    Sewajarnya apa yang berlaku dalam rumah tangga diselesaikan dengan cara yang dibenarkan Islam, bukan dengan berdiskusi di Facebook, Telegram dan lain-lain.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Shell batal caj tambahan TnG

    Shell batal caj tambahan TnG

    PERKHIDMATAN pembatalan caj TnG boleh didapati di 27 buah stesen minyak sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.

    PERKHIDMATAN pembatalan caj TnG boleh didapati di 27 buah stesen minyak sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.

    DEMI mengurangkan beban pengguna, Shell Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembatalan caj tambahan sebanyak 50 sen yang dikenakan untuk setiap perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘N Go (TnG).

    Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani Husain berkata, perkhidmatan pembatalan cas tersebut terdapat di 27 buah stesen minyak sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan bermula 16 Januari lalu.

    “Shell memahami cabaran yang perlu dihadapi oleh pengguna yang mana mereka terpaksa berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.

    “Keadaan ini membuatkan Shell ingin membantu. Dengan membatalkan caj tambah nilai kad Touch ’N Go sebagai permulaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelanggan ketika mengisi minyak atau mengharung perjalanan jauh,” ujarnya dalam kenyataan media baru-baru ini.

    Menurutnya, Shell Malaysia sentiasa mencari jalan untuk memberi ganjaran kepada para pelanggannya.

    Shell turut memaklumkan, kempen ‘Nak Ekstra RM20,000’ kini berlangsung sejak 1 Disember 2019 hingga 9 Februari ini. Menerusi kempen tersebut, Shell menawarkan rakyat Malaysia hadiah utama mingguan bernilai RM20,000 dan 20 hadiah sagu hati bernilai RM1,000 setiap minggu.

    Setiap kali berbelanja sebanyak RM40 bagi bahan api, minyak pelincir dan juga produk Shell Select melayakkan pelanggan untuk menyertainya.

    Selain daripada inisiatif Shell, pengguna juga boleh menikmati kadar yuran sifar bagi tambah nilai TnG daripada beberapa pengendali di banyak lokasi terpilih di seluruh negara, yang boleh diakses menerusi aplikasi navigasi Waze.

    Sumber

  • Bapa keliru status sah taraf anak

    Bapa keliru status sah taraf anak

    HALIM (bukan nama sebenar) merupakan seorang duda. Sudah setahun beliau dan bekas isterinya, Suzana (bukan nama sebenar) bercerai.

    Perceraian itu begitu menyakitkan hatinya. Namun, segala keperitan itu ditanggungnya sendiri. Derita itu bukan disebabkan oleh perceraian tersebut, tetapi hatinya terluka disebabkan oleh sikap Suzana sendiri.

    Amat sukar untuk beliau melupakan peristiwa pahit tatkala hidup bersama Suzana sebagai pasangan suami isteri sebelum ini.

    Mereka bercerai ketika Suzana sedang mengandungkan anak sulung. Kandungannya ketika itu baru berusia dua bulan.

    “Saya mengandungkan anak orang lain,” kata Suzana kepada Halim sebelum mereka bergaduh besar.

    Ayat itu meskipun ringkas, namun sudah cukup ‘merentap’ jantung Halim. Hati lelakinya begitu perit, egonya mula memuncak. Terasa dirinya dayus kerana membiarkan isterinya bersama lelaki lain. Sepantas itulah, terpacul lafaz talak dari bibirnya.

    Perceraian itu kemudian disahkan di mahkamah syariah. Seingat Halim, itulah kali terakhir beliau bertemu Suzana. Lelaki itu sebenarnya sudah menutup ‘buku’ dan pintu hatinya untuk bersua dengan Suzana.

    KEPADA mereka yang menghadapi keraguan berkaitan perihal nasab, dinasihatkan agar membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.

    KEPADA mereka yang menghadapi keraguan berkaitan perihal nasab, dinasihatkan agar membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.

    Namun, sangkaannya meleset. Memang sudah tidak dapat dielakkan ‘pertemuan’ yang datang tidak disangka-sangka. Takdir menemukan mereka semula. Suzana datang membawa seorang bayi perempuan setahun selepas mereka bercerai.

    Dadanya bertambah sesak saat mengetahui bayi yang diberi nama Melati (bukan nama sebenar) berbintikan namanya.

    “Itu bukan anak aku. Bayi itu tidak boleh berbintikan dengan nama aku,” tegas Halim.

    Namun, Suzana tidak mengendahkannya dan mengatakan Melati berhak berbintikan nama Halim kerana wanita itu diceraikan ketika tempoh idah mengandung.

    Bukan sekali pertemuan itu, tetapi berkali-kali kehadiran Suzana dan Melati ‘menghantui’ hidupnya. Malah, rakan-rakannya pula mula menyimpan prasangka terhadapnya kerana sikap tidak acuhnya terhadap anak berkenaan.

    Bagaimana mahu menerima kewujudan anak tersebut? Sedangkan gara-gara bayi itulah, ia menjadi punca Halim dan Suzana bercerai. Hatinya bertambah luka saat dikhabarkan oleh Suzana sendiri bahawa dirinya pernah terlanjur dengan lelaki lain ketika mereka masih bergelar suami isteri.

    Mujur Halim dikurniakan seorang sahabat yang prihatin. Atas nasihat rakannya itu, Halim melakukan ujian asid deoksiribonukleik. Ternyata bayi itu bukan zuriatnya. Lantas, lelaki itu memfailkan tuntutan bagi menentukan sah taraf bayi tersebut.

    Kes itu berlangsung hampir setahun kerana Suzana berdolak-dalih dalam hal berkenaan.

    Namun, akhirnya, mahkamah rendah syariah memutuskan bahawa anak tersebut tidak sah taraf dan tidak boleh dinasabkan kepada Halim. Beliau menarik nafas lega dengan keputusan berkenaan.

    Peri pentingnya penentuan nasab

    Menerima realiti bahawa Melati itu lahir dalam hubungan yang tidak sah sudah cukup memeritkan. Apatah lagi, nama anak itu berbintikan Halim. Ia seolah-olah mencurah garam ke atas luka yang sememangnya sudah parah.

    Meskipun niatnya sekadar mahu menutup aib, namun menolak mafsadah (keburukan) adalah lebih utama daripada mengambil manfaat.

    Demikian pandangan yang dilontarkan Presiden Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof tentang kisah malang yang dihadapi oleh Halim.

    FAZRU ANUAR

    FAZRU ANUAR

    Ujar beliau, kepentingan umum tidak boleh digadaikan hanya kerana beberapa individu telah membuat kesalahan. Bahkan, nasab dan sistem keluarga perlu dipertahankan pada zaman yang mana ramai orang sudah mula bersekedudukan dan menormalisasikan tinggal sebumbung dengan bukan mahram.

    “Sebab itu zina disebut sebagai fahisyah iaitu benda yang keji dalam al-Quran yang perlu dijauhkan. Kesan jangka panjangnya sangat menakutkan,” katanya kepada Sinar Islam menerusi e-mel baru-baru ini.

    Jelas Fazru Anuar, isu tentang penentuan nasab tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap anak tersebut. Ia termasuklah isu berbangkit seperti wali pernikahan, warisan harta pusaka, hadanah dan berkaitan nafkah.

    “Umum mengetahui bahawa salah satu rukun nikah ialah wali. Ketiadaan wali yang layak untuk mengahwinkan seseorang wanita itu menjadikan perkahwinan berkenaan fasid (rosak). Begitu juga dalam isu pewarisan harta pusaka. Jika bapa meninggal dunia, anak yang tidak sah taraf tidak mempunyai hak kerana nasabnya tidak bersambung di sebelah bapa.

    “Dalam perkara berkaitan hadanah pula, anak yang tidak sah taraf hanya bersandarkan kepada ibu. Maka, hak hadanahnya juga adalah milik ibu dan saudara sebelah ibu secara mutlak.

    “Begitupun dalam bab nafkah, anak tidak sah taraf berkenaan ditanggung oleh ibunya, bukan bapanya walaupun mereka berkaitan secara biologi. Perkara itu termaktub di bawah Seksyen 80, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303),” terang beliau sambil menjelaskan bahawa Seksyen 11, Akta 303 memperuntukkan tentang garis panduan dalam penentuan anak sah taraf.

    Dalam pada itu, Fazru Anuar mengemukakan ayat al-Quran yang melarang menasabkan seorang anak kepada bukan bapanya.

    Firman ALLAH SWT: Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber’bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai ‘maula-maula’ kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah ALLAH MAHA PENGAMPUN,lagi MAHA MENGASIHANI).” (Surah al-Ahzab, ayat 5)

    Justeru, kepada mereka yang menghadapi keraguan berkaitan nasab terutama bekas suami, Fazru Anuar menasihatkan individu berkenaan membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.

    “Selain mengemukakan keterangan, saksi dan bukti berkaitan anak tersebut, suami atau bekas suami juga boleh membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menguatkan keterangan.

    “Hasil ujian DNA itu hendaklah dikemukakan kepada hakim syarie untuk dinilai dan diputuskan. Selepas pengesahan nasab diperoleh di mahkamah tinggi syariah, bekas suami boleh membuat pembatalan nama yang ‘dibin’ atau ‘dibintikan’ terhadap beliau di Jabatan Pendaftaran Negara.

    “Dalam penyelesaian isu bin atau binti, anak berkenaan boleh berbintikan Abdullah atau mana-mana nama dalam Asmaul Husna dengan berpangkalkan Abdul berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 pada tahun 1981,” jelas beliau.

    Sumber

  • Keselamatan bermotosikal – Sinar Harian

    Keselamatan bermotosikal – Sinar Harian

    ANTARA aktiviti sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya KMSB 2020 ialah pemeriksaan keselamatan 16 bahagian motosikal dan penggantian topi keledar serta baju pantul cahaya kepada pengunjung yang hadir.

    ANTARA aktiviti sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya KMSB 2020 ialah pemeriksaan keselamatan 16 bahagian motosikal dan penggantian topi keledar serta baju pantul cahaya kepada pengunjung yang hadir.

    PANDUAN dan perkongsian maklumat berterusan mengenai keselamatan ketika berada di jalan raya amat penting terutama buat penunggang dan pembonceng motosikal.

    Prihatin keperluannya, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB), pengedar motosikal jenama Kawasaki di Malaysia menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya KMSB 2020 baru-baru ini.

    Bagi tahun ini, KMSB membawakan tema ‘Utamakan keselamatan, elakkan menggunakan telefon bimbit semasa menunggang’.

    Pengerusi Eksekutif KMSB, Ahmad Faez Yahaya berkata, fokus utama KMSB adalah untuk memberi penekanan dan kesedaran kepada penunggang motosikal tentang aspek keselamatan dan cara tunggangan cermat di jalan raya.

    “Aspek keselamatan haruslah diutamakan setiap masa. Ia penting untuk mengelakkan dan mengurangkan risiko kemalangan yang tidak diingini.

    “Kita kena sentiasa cermat di jalan raya memandangkan statistik menunjukkan jumlah rekod kematian akibat kemalangan penunggang motosikal terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media.

    Terdahulu kempen dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, di Plaza Tol Sungai Besi (Arah Selatan).

    Turut hadir Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Datuk Jeffrey Lim; Pengerusi Persatuan Penjual Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA), Wee Hong; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Mohd Nasri Ishak.

    Kempen yang memasuki kali keempat itu dianjurkan bersempena perayaan Tahun Baru Cina.

    Seperti tahun sebelumnya, Kempen Keselamatan Jalan Raya KMSB 2020 memberi tumpuan kepada pemeriksaan keselamatan pada 16 bahagian motosikal secara percuma.

    Tanpa mengira jenama dan model motosikal, pemeriksaan dilakukan oleh juruteknik terlatih KMSB.

    Sumber

  • Penyusuan ibu, amanah ALLAH dalam membesarkan zuriat

    BETAPA pentingnya seorang ibu menyusukan anak kerana perkataan Radha’ah atau penyusuan ibu disebut sebanyak 11 kali dalam al-Quran. Ia merupakan amanah ALLAH kepada si ibu dalam membesarkan zuriatnya.

    Demikian kata Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pada sesi perkongsian Meja Bulat Kajian Tentang Penyusuan Susu Ibu Berlandaskan al-Quran bertemakan The Golden Mercy di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Arba, Azlan Shah Nabees Khan dan wakil RSG Medicare yang juga Sahabah Quran, Dr Mohd Asyakir Shamsuddin.

    ALLAH SWT berfirman: “Ingatlah pada hari ketika kamu melihatnya (goncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lupa terhadap anak yang disusuinya, dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab ALLAH itu sangat pedih.” (Surah al-Hajj, ayat 2)

    Bertadabbur daripada ayat al-Quran tersebut memerihalkan tentang ibu yang sedang hamil dan menyusukan anak. Cabaran pada akhir zaman, ada segelintir wanita yang tidak kisah tentang menyusukan anak sedangkan proses berkenaan dapat menyambung generasi dan mengeratkan hubungan antara ibu dan anak, ujar Fazrul.

    “ALLAH SWT memberi panduan kepada suami untuk memberi nafkah kepada isteri agar boleh fokus terhadap penyusuan anaknya. Jika tidak mampu, boleh memberi upah kepada ibu susuan anaknya seperti disebut dalam Surah al-Talaq, ayat 65.

    “Dalam Surah an-Nisa’, ayat 23 pula menjelaskan pengharaman mengahwini ibu susuan dan saudara susuan. Ini bermakna, penyusuan tersebut dapat meluaskan hubungan kekeluargaan. Ayat 2 dan 3 dalam Surah al-Talaq menyebut, sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH akan diberi jalan keluar dan diberi rezeki yang tidak terlintas di hatinya,” katanya berkongsi ilmu.

    Tambah Fazrul, dalam tempoh dua tahun si ibu menyusukan anak, ia memerlukan ketakwaan yang tinggi selain beribadah kepada ALLAH.

    “Si bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada ibu dan anak. Jika tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan oleh ibu bapa, maka lahirlah anak yang cemerlang, berbudi dan penyayang,” jelas beliau.

    Sementara itu, Timbalan Canselor Akademik dan Profesor Pediatrik, International Medical University, Prof Dr Zabidi Hussin dalam pembentangannya bertajuk ‘Pembentukan Personaliti melalui Penyusuan Susu Ibu’ berkata, sentuhan halus, deria bau, penglihatan dan pendengaran mampu membina emosi dan kasih sayang anak melalui penyusuan ibu.

    “Ketika sesi penyusuan ibu, ia akan ‘menyalakan’ semua saraf emosi anak. Pada masa sama, aktiviti otak di bahagian hadapan anak sedang rancak. IQ (Nilai Kecerdasan) anak yang mendapat susuan ibu lebih tinggi daripada anak yang tidak disusukan,” katanya.

    Sumber