Category: ATTRACTION

  • ‘Rekaan Katana tambat hati saya’

    ‘Rekaan Katana tambat hati saya’

    DALAM dunia ini, ada kepelbagaian manusia yang mempunyai kecenderungan yang berbeza-beza. Sesetengah individu yang meminati lukisan sanggup membeli sebotol warna akrilik pada harga ratusan ringgit demi memastikan kanvas kosong berubah menjadi calitan seni yang memukau.

    Terdapat juga individu yang sanggup mengembara ke Tunisia dan Bosnia Herzegovina semata-mata mahu membeli peta kuno sebagai memenuhi minatnya menyimpan peta setiap negara.

    Tidak kurang juga mereka yang obses dengan kenderaan. Bagi memenuhi selera luar biasa, pelaburan wang yang tinggi bukan satu masalah yang mengusutkan kepala.

    Hal itu dibuktikan oleh seorang ahli perniagaan yang juga seorang mekanik motosikal, Mohd Asri Ramli, 46.

    Kegilaannya terhadap jentera retro mendorong beliau membelanjakan lebih setengah juta ringgit untuk memiliki sembilan unit Suzuki Katana pelbagai model.

    SUZUKI Katana

    SUZUKI Katana

    Berdasarkan rekod, harga setiap unit motosikal berkenaan mencecah lebih RM60,000.

    Pemburu jentera retro itu memberitahu Sinar Turbo, bukan sekadar membeli motosikal semata-mata, malah beliau akan memastikan semua jenteranya dilengkapi aksesori berkaitan yang biasanya tidak mudah diperoleh di Malaysia.

    “Sebenarnya kalau diizinkan, saya mahu menghidupkan dunia sukan permotoran retro di negara ini kerana saya percaya ramai yang berminat dengan motosikal segmen lama ini,” katanya membuka bicara.

    Sebelum pergi jauh, Sinar Turbo bertanya kepadanya, apa menariknya Katana pada matanya?

    Seperti sudah menelah persoalan yang ingin dilontarkan, Mohd Asri atau dikenali sebagai Arrie Retro menerangkan kepada penulis mengenai historiografi Suzuki Katana terlebih dahulu.

    Katanya, Katana ialah salah satu senjata Jepun. “Ia berupa pedang panjang yang mesti digenggam dengan dua belah tangan dan cukup tajam dan sifat itu diterjemahkan pada motosikal Suzuki Katana,” katannya.

    Dari tahun ke tahun, Arrie berkata, rekaan jentera Katana semakin ‘mengancam’.

    

BARISAN koleksi Suzuki Katana pelbagai model milik Arrie.

    BARISAN koleksi Suzuki Katana pelbagai model milik Arrie.

    “Namun apa yang boleh saya katakan, ia (rekaan) mampu menambat hati sesiapa sahaja termasuk saya. Itu sebab saya terus jatuh hati dan tak lokek mengeluarkan belanja besar untuk memiliki setiap keluaran baharu motosikal ini,” katanya berterus terang.

    Bercerita lanjut, lelaki itu berkata, setiap model yang tampil di pasaran cukup unik kerana menggabungkan ciri-ciri estetik, ergonomik dan aerodinamik yang didambakan oleh peminat jentera retro.

    “Sekitar tahun 1990-an, ramai penunggang dan peminat motosikal berkuasa tinggi memilih model seperti Cagiva atau Aprilia, namun saya pula sebaliknya. Saya tetap dengan ‘pendirian’ untuk terus setia dengan variasi Suzuki Katana, ” kata bapa kepada enam zuriat itu.

    

TOPI keledar yang kini dikatakan mencapai nilai harga RM10,000 sebuah turut menjadi koleksi Arrie.

    TOPI keledar yang kini dikatakan mencapai nilai harga RM10,000 sebuah turut menjadi koleksi Arrie.

    Arrie memberitahu, pembelian pertama model itu dilakukannya pada tahun 1999.Kemudian, ia terus mendorong dirinya mengumpul variasi lain motosikal jenis sama.

    Dengan nada ceria, beliau berkata:”Setiap kali saya melihat deretan Suzuki Katana 250cc, 400cc, 650cc, 750cc dan 1,100cc yang diatur sempurna di depan kedai milik saya, perasaan saya terus gembira dan puas hati yang teramat sangat.”

    Minat yang sangat mendalam ahli perniagaan itu terhadap dunia pemotoran retro diterjemahkannya dengan membuka sebuah kedai atau pusat sehenti yang diberi nama Retro Station.

    Retro Station

    Retro Station antara lain menawarkan bengkel membaik pulih motosikal, menjual alat ganti motosikal, mengecat motosikal, penjualan aksesori dan perkhidmatan lain yang mana kesemuanya berkonsepkan retro.

    Bukan satu tetapi beliau membuka dua premis. Masing-masing di Masjid Tanah, Melaka yang telah beroperasi sekitar tahun 2009 dan satu lagi cawangan di Taman Cahaya, Ampang, Kuala Lumpur.

    Perbualan rancak Sinar Turbo bersamanya membuatkan penulis memberanikan diri bertanyakan tentang cabaran besar menjadi pengumpul jentera retro sepertinya yang sudah pasti kos yang dikeluarkan barangkali lebih mahal daripada membeli sebuah kereta Kancil.

    

SEBAHAGIAN koleksi topi keledar bernilai yang dipamerkan di Retro Station.

    SEBAHAGIAN koleksi topi keledar bernilai yang dipamerkan di Retro Station.

    Sambil merenung penulis, Arrie berkata, beliau tidak menafikan pernyataan itu.

    “Saya akui, harga barangan atau alat ganti kenderaan retro memang tinggi dan sedikit sebanyak bikin peminatnya rasa ‘sesak’ sedikit.

    “Justeru, nasihat saya kepada mereka yang sudah berjinak ataupun sedang menjinakkan diri agar mengukur kemampuan sendiri. Ubah suai motosikal memang perlukan jiwa dan mental yang kental terutama membabitkan wang.

    “Namun, bagi saya, tidak perlu terlalu bergantung pada alat ganti baharu atau tulen semata-mata, perkara paling penting adalah menghidupkan kembali ‘bangkai’ ke jalan raya,” katanya.

    

GAMBAR kenangan Arrie ketika menjuarai pertandingan sempena Bike Week 2017 di Terengganu.

    GAMBAR kenangan Arrie ketika menjuarai pertandingan sempena Bike Week 2017 di Terengganu.

    Beliau yang sememangnya dikenali sebagai pemilik Suzuki Katana dalam kalangan geng jentera retro berkata, kadangkala beliau berdepan dengan perasaan serba salah. Mengapa?

    Masakan tidak, ada dalam kalangan kenalan termasuk yang tidak dikenalinya menyatakan hasrat untuk membeli Suzuki Katana miliknya pada harga yang jauh lebih tinggi.

    Pun demikian, Arrie berkata, beliau terpaksa menolaknya kerana amat menyayangi koleksi peribadinya itu.

    “Ada rakan saya anggap saya gila kerana masih menyimpan motosikal itu walaupun pulangannya memang lumayan jika dijual. Biarpun bernilai tinggi, namun wang ringgit bukan segala-galanya. Sepanjang lebih 20 tahun mengumpul koleksi model ini, saya rasa satu kepuasan dan semua orang tak mampu faham sebenarnya, ” katanya merendah diri.

    Jangan tidak percaya, selain motosikal Suzuki Katana, lelaki penuh karisma itu juga memiliki pelbagai lagi aksesori jentera dua roda asli seperti jaket, sut perlumbaan keluaran tahun 1996 dan topi keledar yang mencapai nilai harga RM10,000 sebuah.

    Secara keseluruhan, Arrie memiliki hampir 100 buah jentera retro pelbagai jenama dan varian sepanjang penglibatannya.

    Kepada Sinar Turbo, beliau berkata, pihaknya kini aktif menganjurkan pelbagai perhimpunan motosikal retro seluruh Malaysia. Antara program yang paling mendapat sambutan ialah Santai Retro PD yang dianjurkan pada tahun 2012.

    TIDAK jemu melayan kerenah pelanggan yang berkunjung bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sentiasa mengutamakan kehendak pelanggan adalah kunci utama kejayaan bagi Arrie Retro.

    TIDAK jemu melayan kerenah pelanggan yang berkunjung bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sentiasa mengutamakan kehendak pelanggan adalah kunci utama kejayaan bagi Arrie Retro.

    “Kini, ia menjadi acara wajib tahunan setiap pertengahan tahun di Port Dickson, Negeri Sembilan. Sebenarnya, pelbagai program telah dirancang rapi dan sehingga kini saya memfokuskan pada dunia pemotoran tanah air termasuklah pembabitan dalam program Bike Week.

    “Apa saja program yang memerlukan kehadiran saya, saya akan beri sokongan penuh termasuk jika diajak menjelajah ke seluruh Malaysia. Minat saya ini sukar digambarkan dengan kata-kata,” tuturnya.

    ERA kewujudan Katana

    1980: Model konsep Katana 550 dan 1100 diperkenalkan di Cologne, Jerman.

    1981: Suzuki GS550 dan GSX1100S Katana dikeluarkan. Kemudian diikuti dengan GSX750S dan GS650G. Semuanya dinamakan Katana.

    1982: Suzuki memperkenalkan XN85 Turbo. Seperti namanya, ia memang dilengkapi pengecas turbo. Walaupun tidak dilabel sebagai Katana tetapi ia mempunyai ciri yang hampir sama dengan Katana.

    1984: Lampu pop-up yang terkenal ditambah pada Katana GSX750S.

    1985: Katana GSX1100S dihentikan untuk pasaran Eropah bagi memberi laluan kepada GSX-R yang baharu, namun ia masih dipasarkan di Jepun kerana mendapat permintaan yang tinggi.

    1991: GSX250S diperkenalkan sebagai Katana yang paling kecil.

    1992: Suzuki memperkenalkan GSX400S Katana. Sayangnya, kedua-dua model 250cc dan 400cc itu bertahan hingga tahun 1994 sahaja.

    2001: Pengakhiran sejarah Katana yang panjang. Walaupun ada produk lain yang menggunakan nama Katana sehingga tahun 2008, namun ia sudah kehilangan beberapa ciri asal Katana, khususnya rekaan fairing dan warna perak gelap.

    Sumber

  • KEMPEN TIKET EMAS KEMBALI KE SURIA KLCC DENGAN GANJARAN JUMLAH RM500,000

    Dua baucar beli-belah bernilai RM 5,000 akan diberikan setiap hari mulai sekarang hingga 18 September 2022, sebagai sebahagian daripada Kempen “The Golden Ticket” Suria KLCC.

    Selepas kejayaan besarnya pada 2020 dan 2021, kempen “The Golden Ticket” kembali di Suria KLCC untuk kali ketiga. Pelanggan boleh memenangi tiket emas bernilai RM5,000 apabila mereka membelanjakan RM500 atau lebih untuk dua resit di mana-mana kedai yang mengambil bahagian. Di Centre Court, sejumlah 100 kotak misteri akan “disediakan”, setiap satu mengandungi sebahagian daripada ” Golden Ticket.” Pelanggan yang tidak bernasib baik untuk memenangi ” Golden Ticket ” dalam kempen cabutan bertuah ini sudah pasti akan menerima ganjaran ‘Purple Ticket’ bernilai RM50 yang boleh didapati di dalam setiap kotak.

    Pemenang “Golden Ticket” juga akan diberi penghormatan dengan menggunakan peluang untuk menyiarkan foto di laman web “The Wall of Winners”. Gambar dan video pemenang bertuah akan dipaparkan pada skrin digital yang bergerak di Gelanggang Tengah.

    Semasa dua sesi cabutan, yang pertama akan berlangsung dari 10:00 pagi hingga 2:00 petang dan yang kedua akan berlangsung dari 5:00 petang hingga 9:30 malam, dua pemenang bertuah akan dipilih secara rawak. Terdapat 100 lagi tiket tersedia untuk setiap sesi. Sebarang tiket tambahan yang tidak digunakan pada hari berikutnya akan digabungkan dengan tiket lain.

    Cabutan “Tiket Emas” terhad harian membolehkan setiap pengguna mengambil bahagian sekali sahaja. Prosedur lukisan hanya berlaku pada hari penerimaan pembelian.

    “Tri bergerak” Suria KLCC telah diarak mengelilingi Kuala Lumpur dalam usaha menghebahkan kempen ini. Ia dihiasi dengan konsep “Tiket Emas” dan menjadi pratonton prospek keemasan yang menanti pengguna Suria KLCC. Kempen Mini Mudah Alih “Tiket Emas” turut menawarkan kotak misteri yang setiap satunya termasuk “Tiket Ungu” pada harga RM10 dan “Tiket Emas” bernilai RM50.

    “Kami amat berbesar hati untuk kembali dengan Kempan ‘The Golden Ticket’ pada tahun ini melihat pada sambutan yang sangat hebat pada tahun-tahun yang lepas daripada pelanggan setia kami. Kempen ini dilihat menerima penghargaan yang tinggi apabila kami berusaha memastikan hampir kesemua pelanggan yang berbelanja akan membawa peluang sebentuk ganjaran”

    “Dengan kelangsungan pandemik yang semakin dalam kawalan, kami berharap agar inisiatif ini memberi impak yang positif untuk para peruncit di Suria KLCC dan secara tidak langsung membantu peningkatan ekonomi negara menginjak akhir tahun 2022” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien.

  • PELANCARAN BUKU INTERAKTIF OHSEM! AR JOM SOLAT!

    Bersedia untuk beribadat sambil mengembara bersama Alif dan Sofia. Blinspot Studios dan Primeworks Studios telah mengeluarkan buku interaktif dengan teknologi Realiti Berperantara  atau Augmented Reality (AR) untuk membantu kanak-kanak belajar menunaikan solat. Buku yang bertajuk OHSEM! AR Jom Solat!

    Ia juga menggunakan aplikasi OHSEM! AR ialah salah satu inovasi terkini yang boleh menjadi alat bantu mengajar yang berguna untuk kanak-kanak dan ibu bapa. Pelancaran siri buku ini bertepatan dengan Hari Kebangsaan ke-65, yang disambut hari ini di Fiesta 1957: acara “Tetap Bersama” di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

    Siri buku tentang OHSEM! AR Mari kita berharap! Merupakan buku panduan solat lengkap yang disampaikan melalui teknologi AR yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk membimbing kanak-kanak seawall seawal usia tiga tahun dalam pembelajaran melalui animasi visual dan sokongan audio. Ia didatangkan dalam dua versi untuk lelaki dan perempuan serta boleh membantu kanak-kanak belajar membaca dan menghafal sambal sambil diiringi watak-watak kecil daripada siri animasi Alif & Sofia. Bukan itu sahaja, malah siri buku ini merangkumi aktiviti mewarna.

    Blindspot Studios, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Encik Lukman Othman, memilih penulisan, reka bentuk animasi, ilustrasi, dan struktur pengajaran untuk siri buku ini. Tambahan pula, siri buku ini mendapat sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memainkan peranan penting dalam memastikan semua kandungan yang ada menepati piawaian dan garis panduan patuh Syariah.

    Pelancaran OHSEM AR!, menurut Puan Nini Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, pelancaran OHSEM AR! Jom Solat! Disebabkan proses pembelajaran untuk kanak-kanak boleh disampaikan melalui kandungan animasi yang menarik, ia merupakan langkah proaktif untuk memudahkan pengguna menimba ilmu agama secara interaktif dan lebih berkesan.

    Kaedah pembelajaran interaktif ini juga cuba mengetengahkan watak-watak kecil daripada siri animasi Alif & Sofia sebagai contoh kandungan animasi bertemakan Islam di Malaysia. Akaun rasmi Shopee Blindspot Studios, “ohsemoutlet,” dan laman web www.blindspot.my menjual siri buku ini pada harga RM39.9O setiap satu. Tambahan pula, ia boleh didapati di Ekspo Usahawan Selangor, “SELBIZ,” pada 3 & 4 September, serta pesta buku “Big Bad Wolf” yang akan datang. perisian OHSEM! AR boleh dimuat turun secara percuma dari Gedung Google Play, Gedung Apl Apple atau Galeri Apl Huawei.

  • ‘Bunyi cicak’ tanda mengiakan percakapan orang hanya mitos karut

    ‘Bunyi cicak’ tanda mengiakan percakapan orang hanya mitos karut

    KEPERCAYAAN khurafat dalam kehidupan manusia seakan sudah sebati dan sukar untuk dipisahkan. Sebenarnya, ‘penyakit’ itu bukan sahaja melanda dalam kalangan masyarakat Melayu, malah rata-rata agama dan bangsa di dunia.

    Menyingkap mengenai perihal khurafat, ia mempunyai dua unsur utama iaitu musibah atau bala dan tuah atau nasib yang baik.

    Sebagai contoh yang paling klise bagi orang Melayu iaitu sesiapa yang memotong kuku pada waktu malam, akan mewarisi kepapaan. Begitu juga kepercayaan ‘ibu duit’ yang dikenal pasti boleh melariskan perniagaan.

    Jikalau diimbau sejarah zaman jahiliah, kepercayaan khurafat memang sudah tertanam dalam minda masyarakat Arab. Terlalu banyak ‘teori’ yang direka dan pastinya semuanya mengarut belaka. Peliknya, perkara-perkara seumpama itu masih ‘diwarisi’ oleh sesetengah masyarakat pada zaman moden kini.

    Antara salah satu yang masih dipercayai orang Arab adalah mengenai bulan Safar yang dikatakan sebagai satu lambang nasib yang tidak baik. Anak perempuan yang dilahirkan pada bulan tersebut dikatakan membawa bahana dalam keluarga dan bermacam-macam lagilah anggapan yang songsang.

    Sesungguhnya, kedatangan Islam di dunia Arab telah membawa seribu rahmat.

    Islam dengan jelas mendidik dan membawa mereka melaksanakan apa sahaja berpandukan cahaya wahyu ILAHI, lantas menyisih segala kepercayaan khurafat yang tidak berasaskan panduan syariah.

    Islam juga merupakan agama yang sangat menitik beratkan soal akidah yang mana segala perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar atau ghaib tidak boleh direka cipta. Segalanya mestilah berpandukan al-Quran dan sunah.

    Anggapan tidak munasabah

    Dalam komentar kali ini, saya ingin mengulas tentang kepercayaan orang Melayu mengenai ‘bunyi cicak’ yang dikatakan mengiakan percakapan seseorang.

    Saya berpendapat, ramai yang berdepan dengan situasi yang mana sedang kita bercakap dalam hati, tiba-tiba cicak mengeluarkan bunyi seolah-olah merestui apa yang diniatkan.

    Lebih teruk lagi, tatkala kita sedang berdoa seusai solat. Bunyi-bunyian yang dikeluarkan haiwan itu sememangnya mengganggu tumpuan kita. Begitu juga jikalau seorang mak dan nenek sedang berleter memarahi anak-anak. Apabila cicak bersuara, mereka antara lain akan berkata: “Hah, betul apa aku cakap, cicak pun setuju.”

    Sebenarnya, mitos tentang cicak tidak boleh dibuktikan dengan ilmu nyata seperti dalam kajian saintifik. Justeru, ia termasuk dalam kategori yang luar daripada logik manusia yang mana ia melibatkan perkara ghaib. Hal-hal seperti sedemikian tidak diketahui melainkan hanya ALLAH SWT.

    Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki ALLAH. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh ALLAH) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 188)

    Ayat suci itu memberi kesimpulan bahawa segala benda sama ada memberi faedah atau kemudaratan bergantung sepenuhnya kepada kuasa ALLAH. Segala mitos ghaib yang wujud memerlukan pembuktian yang nyata berdasarkan wahyu ALLAH dan kalam Nabi Muhammad SAW yang sahih semata-mata. Sesungguhnya, tiada jalan lain lagi untuk membuktikannya.

    Pun demikian, tidak dapat dinafikan wujud beberapa hadis yang sahih menceritakan perihal cicak. Namun, ia tiada kaitan sama sekali dengan mitos dalam alam Melayu tersebut.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas menyebut: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan disebutnya sebagai fuwaisiq (binatang kecil yang mendatangkan kerosakan).” (Riwayat Muslim)

    Menurut hadis lain yang diriwayatkan oleh Ummu Syarik RA: “Sesungguhnya Rasullullah SAW memerintahkan supaya membunuh cicak. Baginda bersabda: “Sesungguhnya cicak itu meniup (menyemarakkan) api yang membakar Ibrahim AS.” (Riwayat al-Bukhari)

    Berdasarkan dua hadis berkenaan, umat Islam disunatkan membunuh cicak kerana reptilia itu mengganggu kehidupan manusia seperti membuang najis di dalam rumah atau masjid.

    JIKA ada cicak bersarang di rumah manusia, maka kita digalakkan untuk membunuhnya kerana ia merupakan makhluk perosak.

    JIKA ada cicak bersarang di rumah manusia, maka kita digalakkan untuk membunuhnya kerana ia merupakan makhluk perosak.

    Selain itu, cicak juga boleh merosakkan makanan selain menyebabkan pembaziran dan pada masa sama, menakutkan anak-anak kecil di rumah tatkala melihatnya.

    Bahkan, Rasulullah SAW sendiri menyifatkan sifat cicak itu sebagai makhluk perosak semenjak dahulu kala lagi yang mana binatang itu berusaha untuk menyemarakkan api yang dinyalakan oleh Raja Namrud untuk membunuh Nabi Ibrahim AS.

    Maka jelas, cicak ialah haiwan yang tidak membawa kebaikan dalam kehidupan manusia malah kita digalakkan ‘menamatkan riwayat’ cicak yang bermaharajalela di rumah kita.

    Sementelah, segala mitos tentang cicak yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu turun-temurun tidak pernah wujud dalam mana-mana ayat suci al-Quran mahupun hadis-hadis yang sahih. Pendek kata, cicak hanyalah satu haiwan yang memancarkan energi negatif kepada kita.

    ***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis

    Sumber

  • Software sering rosak? Mungkin boleh cuba cara ini

    Software sering rosak? Mungkin boleh cuba cara ini

    KEROSAKAN bahagian perisian khususnya sistem pengoperasian Windows menjadi berita buruk buat pengguna. Bayangkanlah lebih-lebih buat penuntut universiti yang terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membaikinya.

    Apa pun, pengguna perlulah ada ilmu sedikit mengenai sistem pengoperasian gajet masing-masing seperti platform PC seperti DOS, Windows XP, Windows Vista, Windows 7.

    Jika pengguna telefon pintar, fahami apa itu MAC OS, MAX OS X dan Cross Platform OS seperti Unix dan Linux.

    Panduan yang dikongsikan Muhammad Fairuz Abd Rauf dalam tip penjagaan perisian mungkin berguna. Siapa tahu harta kesayangan anda itu dapat diselamatkan.

    Ikuti perkongsikan video Pensyarah Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Perkomputeran Universiti Selangor (Unisel) tersebut dalam segmen Tanya Pakar IT minggu ini. Selamat mencuba!

    Sumber

  • Ibnu Yunus ilmuan genius dalam bidang astronomi

    Ibnu Yunus ilmuan genius dalam bidang astronomi

    SEBUT sahaja Ibnu Yunus, pasti ramai yang terpaku dengan kehebatan ilmuan Islam itu dalam bidang astronomi dan matematik. Kepakaran tokoh Arab Mesir berketurunan Yemen itu memang tidak boleh disangkal lagi, malah diperakui oleh ramai sarjana Islam dan Barat.

    Masakan tidak, nama Ibnu Yunus telah diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan. Penamaan itu dicetuskan oleh seorang profesor dalam bidang astronomi dan falsafah, Joannes Baptista Riccioli dari Bologna, Itali pada tahun 1651 dan kemudian disahkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa pada tahun 1976.

    Menyingkap sisi peribadi pemilik nama Abu al-Hassan Ali Ibn Abdur-Rahman Ibn Ahmad Ibn Yunus Ibn Abdul A’la al-Sadafi, beliau datang daripada keluarga yang bukan calang-calang. Datuknya merupakan seorang ulama. Begitu juga dengan bapanya.

    Hasil pembacaan Sinar Islam, kehidupan Ibnu Yunus sewaktu kecil tidak banyak yang diuar-uarkan. Menurut satu riwayat yang terkenal, Ibnu Yunus dilahirkan antara 950 dan 952 Masihi di Fustat, Mesir.

    Kemasyhurannya mula menonjol apabila tokoh itu menjalin hubungan rapat dengan Kerajaan Fatimiah di Mesir.

    Ia bermula pada era Khalifah al-Aziz (995 Masihi) yang mengetuai kerajaan tersebut pada ketika itu.

    Pada zaman berkenaan, Ibnu Yunus diberikan tanggungjawab untuk menulis sebuah rajah penggerak cakerawala yang turut menjadi kegunaan Khalifah al-Aziz.

    Kehandalannya semakin terserlah apabila diberi amanah untuk membina satu pusat kajian bintang di kota Kaherah.

    Khidmat Ibnu Yunus dengan kerajaan berkenaan tidak terhenti setakat di situ sahaja. Ketika Khalifah al-Hakim menerajui kerajaan, beliau sempat mempersembahkan karyanya bertajuk Al-Zi Al-Hakimi Al-Kabir iaitu sebuah buku pegangan astronomi dengan jadual.

    IBNU YUNUS

    IBNU YUNUS

    Ada riwayat mengatakan, Ibnu Yunus telah mengabdikan dirinya selama 30 tahun dalam bidang astronomi untuk kedua-dua khalifah berkenaan.

    Sarjana Islam itu sememangnya terlalu hebat apabila dikatakan telah membuat lebih 10,000 catatan mengenai kedudukan matahari sepanjang tahun.

    Selain menguasai ilmu falak, Ibnu Yunus dipercayai mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang-bidang ilmu yang lain. Bahkan, beliau juga seorang yang kreatif dan produktif.

    Kaji pergerakan bulan, matahari

    Sesungguhnya, kemasyhuran Ibnu Yunus dalam bidang astronomi memang sukar disangkal. Pun demikian, beliau dilihat lebih menonjol dengan kajian tentang pergerakan bulan dan matahari.

    Apa tidaknya, lelaki intelektual itu berjaya memperoleh hasil penyelidikan yang banyak daripada kegiatannya di pusat penyelidikan yang dibangunkannya di Kaherah. Penemuan-penemuan tersebut telah digunakan untuk kajian perbandingan.

    Selain itu, Ibnu Yunus yang merupakan seorang penyair turut mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu. Hasil ciptaannya itu banyak menjelaskan persoalan-persoalan tentang pergerakan cakerawala. Beliaulah juga merupakan individu pertama yang mereka cipta batu jam.

    Menerusi karya tinggalannya Al-Ziji Al-Kabir, Ibnu Yunus memperkenalkan satu penemuan baharu berupa ayunan bandul. Alat itulah lazimnya digunakan untuk mengetahui detik-detik waktu ketika meneropong benda-benda di angkasa. Ia sama seperti ayunan bandul yang digunakan untuk jam dinding.

    Reka cipta itu dikatakan lebih awal berbanding yang dilakukan oleh sarjana Barat, Galileo Galilie (1564-1642 Masihi) iaitu kira-kira 600 tahun sebelum itu.

    Dalam karya Al-Ziji Al-Kabir itu juga, Ibnu Yunus melaporkan bahawa cerapan pertama yang dibuat oleh kaji bintang Islam adalah sejak abad ke-9 Masihi.

    NAMA Ibnu Yunus diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

    NAMA Ibnu Yunus diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

    Selain itu, kitab beliau yang turut dikenali dengan nama Hakemite Astronomical Table tersebar luas ke seluruh dunia. Maka, tidak hairanlah ia menjadi rujukan ramai pihak kerana diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

    Berdasarkan catatan sahih, rata-rata ilmuan dunia menyifatkan antara sumbangan terbesar Ibnu Yunus merujuk kepada kebijaksanaannya mengetengahkan tentang gerhana matahari dan bulan. Beliau dipercayai individu pertama di dunia yang berbuat demikian.

    Keupayaan itu dinukilkan beliau sendiri menerusi kitab at-Ta’dil al-Muhkam. Beliau juga telah menghuraikan tentang ukuran solat, daftar bayang-bayang dan azimut matahari.

    PROFIL

    Nama: Abu al-Hassan Ali Ibn Abdur-Rahman Ibn Ahmad Ibn Yunus Ibn Abdul A’la al-Sadafi

    Gelaran: Ibnu Yunus

    Kepakaran: Astronomi dan matematik

    Tahun kelahiran: 950 atau 952 Masihi

    Tahun kematian: 1009 Masihi

    Karya agung:

    Al-Zi Al-Kabir yang memperkenalkan penemuan berupa ayunan bandul untuk mengetahui detik-detik waktu meneropong benda-benda di angkasa.

    – Kitab Al-Mikhail yang mengisahkan tentang matahari.

    Sumbangan:

    -Mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu.

    – Mereka cipta batu jam.

    Sumber

  • Sisa sawit bantu kurangkan plastik berbahaya

    Sisa sawit bantu kurangkan plastik berbahaya

    INISIATIF membangunkan penyelidikan sumber bahan boleh diperbaharui dan terurai secara biodegradasi amat diperlukan demi memelihara alam sekitar yang lebih lestari.

    Penyelidikan itu cukup signifikan ketika dunia berdepan ancaman impak plastik dan polistirena. Apalagi hasil toksik daripada bahan itu membahayakan kehidupan selain menyumbang kepada penipisan ozon.

    Merujuk kepada Malaysia khususnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan kira-kira lebih 37,800 tan sisa sampah dibuang setiap hari. Sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) sisa buangan dihasilkan bagi setiap individu.

    Daripada jumlah itu, sisa kertas mencatat pengeluaran terbanyak iaitu 17 peratus. Sumber buangan kedua terbesar pula ialah plastik iaitu sembilan peratus. Biarpun di tangga kedua, sisa plastik wajar dibimbangkan.

    Masakan tidak, plastik dan polistirena mengambil masa 500 tahun untuk mereput! Sifatnya yang tidak boleh terurai dan dibuang secara tidak terkawal ketika ini menimbulkan kebimbangan ramai.

    Prihatin permasalahan itulah yang mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) merintis kajian terhadap nanoselulosa biomas kelapa sawit yang dikenal pasti sebagai agen mesra alam.

    Penyelidikan berkenaan diketuai oleh Profesor Madya Dr Hidayah Ariffin bersama Profesor Datuk Dr Mohd Ali Hassan, Liana Noor Megashah, Dr Mohd Nor Faiz Norrrahim dan Dr Tengku Arisyah Tengku Yasim Anuar.

    DR Hidayah (dua dari kanan) bersama mantan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris (tiga dari kanan) dan Pengarah urusan NGPP, Datuk Lim Thiam Huat sempena 7th International Symposium on Applied Engineering and Sciences 2019 (SAES2019).

    DR Hidayah (dua dari kanan) bersama mantan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris (tiga dari kanan) dan Pengarah urusan NGPP, Datuk Lim Thiam Huat sempena 7th International Symposium on Applied Engineering and Sciences 2019 (SAES2019).

    Keistimewaan

    Mula dijalankan sejak 2013 sehingga sekarang, kajian itu menerima pembiayaan berbentuk geran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, UPM dan Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS), Jepun.

    Menariknya, fitur baharu berkaitan biojisim kelapa sawit tersebut turut menerima kerjasama daripada Kyushu Institute of Technology, Jepun sekali gus membanggakan negara.

    Jika sebelum ini sisa sawit hanya dipandang sebelah mata, malah barangkali ramai pekebun melupuskannya dengan cara membakarnya, kini sebahagian tempat tidak lagi mengamalkannya.

    Apa tidaknya, Dr Hidayah yang juga Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika Dan Produk Hutan (INTROP) UPM menjelaskan, nanoselulosa dihasilkan daripada mesokarp kelapa sawit, tandan buah kosong dan pelepah kelapa sawit ada ‘ajaibnya’.

    “Kesemua bahan itu kaya dengan selulosa. Nanoselulosa pula adalah selulosa yang mempunyai saiz diameter di bawah lingkungan 100 nanometer (nm) dengan sifat yang istimewa.

    “Hasil kajian kami mendapati nanoselulosa memiliki sifat yang kuat. Kehablurannya tinggi, permukaan luas dan diekstrak daripada sumber boleh diperbaharui serta biodegradasi,” bicaranya.

    Mengulas lanjut, sifat istimewa tersebut menjadikan nanoselulosa sangat sesuai digunakan untuk pelbagai industri termasuk plastik pembungkusan makanan mesra alam.

    Nanoselulosa boleh dijadikan sebagai bahan tambahan untuk produk plastik, bahan komposit, makanan, kosmetik serta farmaseutikal bagi meningkatkan ciri produk yang dihasilkan, kata Dr Hidayah.

    “Oleh yang demikian, fitur baharu tersebut dapat menggantikan penggunaan bahan kimia yang sedia ada dalam meningkatkan kualiti sesuatu bahan,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

    SISA tandan kelapa sawit kosong mempunyai selulosa yang boleh dijadikan nanoselulosa sebagai bahan aditif pembuatan plastik mesra alam.

    SISA tandan kelapa sawit kosong mempunyai selulosa yang boleh dijadikan nanoselulosa sebagai bahan aditif pembuatan plastik mesra alam.

    Nanoselulosa yang digunakan sebagai bahan aditif kerana mempunyai sifat kekuatan yang sangat baik boleh ditambah ke dalam mana-mana produk bersifat industri komersial.

    Terang Dr Hidayah, fungsinya boleh meningkatkan sifat bahan tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti kekuatan mekanikal, kelikatan, sifat terma dan penghabluran.

    Nilai komersial

    “Sebagai contoh berdasarkan penemuan semasa, penambahan satu peratus nanoselulosa kepada polipropilena (polimer termoplastik) meningkatkan kekuatan mekanikal kepada 33 peratus berbanding dengan polipropilena yang asli.

    “Sementara itu, penambahan tiga peratus nanoselulosa kepada polietilena (komoditi termoplastik) juga menunjukkan peningkatan terhadap kekuatan lenturan kepada hampir 200 peratus,” ujarnya lagi.

    Seperkara tentang metode penghasilan produk, Dr Hidayah berkata, nanoselulosa daripada selulosa melalui kaedah pemprosesan mekanikal berteknologi tinggi.

    Melalui teknologi itu, nanoselulosa daripada pulpa biomas sawit dapat dihasilkan secara cepat, mudah dan bebas penggunaan bahan kimia.

    “Saiz nanoselulosa yang diperoleh daripada kaedah ini adalah dalam lingkungan 10 sehingga 50 nanometer (nm) yang mana setanding dengan nanoselulosa yang diperoleh daripada kaedah lain sedia ada,” ujarnya.

    Ditanya mengenai faktor utama pemilihan sumber semula jadi berkenaan, ketua penyelidik itu menjelaskan bahawa nanoselulosa telah pun disenaraikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah penyelidikan strategik.

    PENYELIDIKAN nanoselulosa yang berjaya diproses boleh digunakan dalam beberapa aplikasi iaitu pembuatan plastik pembungkusan, produk kosmetik dan farmaseutikal.

    PENYELIDIKAN nanoselulosa yang berjaya diproses boleh digunakan dalam beberapa aplikasi iaitu pembuatan plastik pembungkusan, produk kosmetik dan farmaseutikal.

    Pengkomersialan bahan tersebut dipercayai dapat meningkatkan ekonomi negara dalam pelbagai aspek seperti penghasilan plastik, pembungkusan, komposit, makanan, kosmetik dan bidang kesihatan.

    “Kami percaya penggunaan bahan mentah daripada sisa buangan itu akan memberikan nilai tambah kelapa sawit, bahkan teknologi terkini dibangunkan membolehkan lebih banyak bahan diproses pada masa sama,” katanya.

    Lagi menarik mengenai potensi nanoselulosa, Dr Hidayah menerangkan, produk baharu itu boleh digunakan dalam beberapa aplikasi lain iaitu bahan pembuatan bahagian kenderaan, pemprosesan kertas, cat, pelapis dan penyelidikan yang berkaitan.

    Padanlah sasaran pengguna inovasi itu ialah syarikat pembuatan bahan plastik, pembinaan, industri kertas, industri cat, penjagaan kesihatan, produk farmaseutikal, aerogel dan penyelidik institusi pengajian tinggi.

    Sumber

  • Manusia dicipta dengan kepelbagaian, tanda keagungan ALLAH

    Manusia dicipta dengan kepelbagaian, tanda keagungan ALLAH

    SEBAGAI manusia yang dijadikan ALLAH SWT dalam pelbagai kaum, agama dan budaya di muka bumi ini, kita dianjurkan supaya menyantuni perbezaan tersebut.

    ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian KAMI menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA TELITI.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

    Ayat itu jelas menjadi panduan kepada kita untuk menyantuni perbezaan tersebut.

    Bahkan, ia juga sebagai tanda keagungan ALLAH SWT yang menjadikan makhluknya dalam pelbagai bentuk dan rupa. Orang yang paling mulia di sisi ALLAH adalah ketakwaannya.

    Jika diperhalusi, akhir-akhir ini, kita menyaksikan pelbagai isu yang sensitif diketengahkan kerana perbezaan dalam masyakarat Malaysia. Situasi itu dilihat ibarat api dalam sekam, jika dibiarkan akan semakin membarah.

    Mengulas mengenai fenomena itu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Amanie Advisor Sdn Bhd, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, cabaran berbentuk kebencian, permusuhan dan perkauman dalam masyarakat boleh mengundang bahaya dan sangat berisiko tinggi.

    MOHD DAUD

    MOHD DAUD

    “Di Malaysia, kita perlu mendalami, memperhalusi dan lebih mempercayai kepada konsep mendekati antara sama lain. Memang ada perbezaan dari segi kaum dan agama, tetapi itu bukanlah ruang atau peluang untuk membesar-besarkan keadaan.

    “Kita perlu berani, mampu dan bersedia untuk bersama memahami perbezaan tersebut. ALLAH boleh menjadikan satu umat, satu warna kulit dan satu bahasa. Namun, ALLAH SWT menjadikan kita dalam pelbagai kaum dan etnik. Ini menunjukkan kebesaran ALLAH SWT agar kita mengambil peluang untuk saling mengenali dan saling menyantuni sesama kita,” katanya ketika ditanya pandangannya tentang kempen Uninstall Kebencian, Reboot Malaysia Harmony baru-baru ini.

    Beliau ditemui selepas memberi ucaptama pada Majlis Minum Petang Hidayah Centre Foundation di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara di ibu negara pada 18 Januari lalu. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Nicholas Slyvester.

    Pada majlis yang bertemakan Sampaikan Islam & Santuni Mualaf itu, seramai 50 penyumbang dana daripada agensi kerajaan, swasta dan individu telah diraikan.

    Ujar Ahli Lembaga Pemegang Amanah Hidayah Centre itu lagi, untuk hidup bersama dan berintegriti secara harmoni bukan mudah. Justeru, menjadi fitrah makhluk di dunia untuk mencari jalan menghilangkan permusuhan dan kebencian yang melibatkan variasi bangsa dan agama.

    Sumber

  • 5 taktik jahat penjenayah – Sinar Harian

    5 taktik jahat penjenayah – Sinar Harian

    BERITA kecurian kenderaan bukan satu perkara asing di Malaysia. Boleh dikatakan hampir setiap hari, jenayah berkenaan terpampang di dada akhbar dan menerusi media sosial.

    Kes sebegitu sudah pastinya memberi impak besar kepada mangsa. Terdapat kes yang mana kenderaan mereka rosak teruk gara-gara ‘dimusnahkan’ si penjenayah yang mahu merompak isi barangan berharga yang disimpan mangsa.

    Lebih memilukan apabila kenderaan kesayangan ‘ghaib’ terus atau hilang tanpa jejak. Sememangnya, perompak zaman sekarang terlalu ‘cerdik’ dalam menyusun strategi jahat.

    




SENGAJA mencetuskan perlanggaran juga merupakan taktik yang kerap dilakukan.

    SENGAJA mencetuskan perlanggaran juga merupakan taktik yang kerap dilakukan.

    Menjawab soalan mengapa kenderaan mahal mahupun berjenama murah tetap menjadi sasaran penjenayah, sangat mudah. Sudah pastinya, komponen, alat ganti termasuk aksesori tertentu dijual kepada pihak ketiga pada harga yang sangat tinggi.

    Malaysia sangat malang apabila berada pada kedudukan ketiga terburuk di ASEAN dalam kes tuntutan insurans kenderaan di belakang Thailand dan Vietnam seperti direkodkan Persatuan Insurans Am Malaysia pada tahun 2018.

    Bagi memastikan pengguna kenderaan di negara ini lebih berwaspada, pada minggu ini, Sinar Turbo akan berkongsi taktik dan teknik penjenayah mencuri kenderaan supaya kita sentiasa berjaga-jaga.

    Sebenarnya masih banyak lagi kaedah lain yang dipraktikkan, namun perkongsiaan pada kali ini menjurus kepada trend jenayah semasa.

    1. Nombor pendaftaran kenderaan dicabut

    Taktik yang mana penjenayah akan mencabut nombor pendaftaran kenderaan sama ada di hadapan atau di belakang.

    Tatkala mangsa mula memandu, si pelaku akan mengekori lalu memotong kenderaan sambil menunjukkan nombor pendaftaran kereta yang tercabut. Hal itu dilakukan dengan harapan mangsa berhenti.

    Ketika itulah, mereka akan buat ‘kerja’ dan terus merompak. Mangsa yang cuba melawan, barangkali akan dicederakan. Berdasarkan rekod, ramai pemandu wanita yang menjadi ‘korban’ kepada taktik berkenaan.

    2. Geng topeng

    Geng bertopeng selalunya akan meletakkan kenderaan berdekatan dengan kenderaan mangsa.

    Penjenayah dengan pantas akan menghampiri dan mengugut mangsa dengan kekerasan seperti dengan tutur kata yang menakutkan atau dengan mengeluarkan senjata dengan harapan kunci kereta diserahkan kepadanya.

    Apa lagi, barang-barang berharga seperti komputer riba atau wang menjadi sasaran. Selepas merompak, penjenayah dengan pantas akan meninggalkan lokasi.

    4. Pecah dan lari

    Strategi kotor penjenayah yang biasa dilakukan di lampu isyarat jalan.

    Modus operandi penjenayah akan menjurus kepada perlakuan memecahkan tingkap kenderaan sebelah pemandu. Seperti biasa, sasarannya ialah wanita.

    Tabiat golongan Hawa yang gemar meletak beg tangan atau beg komputer riba secara terbuka telah merangsang perompak untuk melakukan jenayah.

    5. Menyelinap dari pintu belakang kereta

    Kekerapan berlaku kepada pemandu yang memandu bersendirian.

    Penjenayah akan menyelinap menerusi pintu belakang kereta mangsa sebaik sahaja kenderaan diparkir.

    Mangsa biasanya menyangka kereta mereka telah berkunci, namun hakikatnya, mungkin tidak perasan bahawa terdapat satu pintu masih terbuka di bahagian belakang.

    Ketika meninggalkan kenderaan, pada masa itulah penjenayah akan melakukan kerja merompak atau melarikan terus kenderaan.

    Selain itu, terdapat strategi ‘busuk’ penjenayah apabila mereka menyamar menjadi wakil daripada pihak bank.

    Dengan nada mengugut, mereka akan merampas kenderaan mangsa.

    Sengaja cetuskan perlanggaranTaktik kotor yang masih dilakukan. Penjenayah dengan sengaja melanggar kenderaan mangsa dan kononnya tercetuslah kemalangan.

    Apabila mangsa menghentikan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku, pada saat itulah penjenayah akan mengambil kesempatan merompak ataupun melarikan kenderaan mangsa.

    Dalam keadaan terkejut, sudah pasti sesiapa pun tidak mampu berbuat apa-apa. Mahu menjerit pun, sudah terlambat.

    Difahamkan, penjahat akan memilih pemandu wanita atau pemandu yang baru mendapat lesen P atau L.

    Sumber

  • Topik Dajal bakal dikupas dalam rancangan Al-Qariah pada malam ini

    Topik Dajal bakal dikupas dalam rancangan Al-Qariah pada malam ini

    PROGRAM bual bicara Al-Qariah yang bersiaran di stesen TV Alhijrah bakal memperincikan tentang topik penting berkenaan tanda besar hari kiamat iaitu kemunculan Dajal al-masih pada malam ini yang memasuki episod 5.

    Umat Islam mengetahui bahawa Dajal bakal menjajah dunia dan pemikiran manusia pada satu hari nanti. Bilakah hari dan masanya, semuanya rahsia ALLAH SWT.

    Bagaimanapun, cerita tentang Dajal banyak bercampur dengan sumber yang tidak diketahui sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan Muslim yang mahu mempelajari tentangnya.

    Justeru, Bahagian Kandungan TV Alhijrah dalam satu kenyataan kepada Sinar Islam berkata, topik berkenaan akan dikupas lanjut oleh dua panel terkemuka, Datuk Badli Shah Alaudin dan Dr Sukki Othman pada 7.30 malam ini menerusi program yang semakin mendapat perhatian ramai, Al-Qariah.

    Sebenarnya, persoalan tentang kewujudan Dajal memang terbukti ada. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah RA menceritakan tentang doa yang diamalkan oleh baginda setiap hari selepas solat.

    Doa dimaksudkan adalah: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung pada-MU daripada azab kubur, aku berlindung pada-MU daripada buruknya fitnah al-masih al-Dajal, daripada fitnah hidup dan mati. Ya ALLAH, aku berlindung pada-MU daripada dosa serta hutang yang sukar untuk dibayar.

    “Hadis itu secara jelas memberi kita bukti untuk tidak lagi menyangkal kewujudan Dajal al-masih. Perkataan Dajal itu sendiri sebenarnya membawa makna ‘menutupi’ atau ‘melindungi’ dari segi bahasa. Jadi, perumpamaan Dajal jika dijadikan frasa penuh membawa maksud ‘seorang yang menutupi atau melindungi kebenaran dan kebatilan’.

    “Kebolehan utama Dajal adalah mencantikkan perkara elok supaya manusia tertarik kepadanya dan menggunakan tipu dayanya.

    “Sifat manusianya pula agak unik kerana ada tanda-tanda tertentu yang hanya dimiliki oleh Dajal pada tubuh badannya. Dajal dikatakan mempunyai tiga huruf yang berbentuk perkataan kafir di antara dua matanya dan semua manusia Mukmin akan mampu membaca huruf tersebut walaupun dia seorang yang buta huruf.

    “Rambutnya dikhabarkan kerinting dan kasar. Matanya pula buta di sebelah kanan dan bukannya hanya bermata satu sepertimana yang sering disebarkan selama ini,” jelas kenyataan berkenaan sambil menambah, makhluk itu dikatakan boleh menyerupai seorang manusia berdasarkan hadis-hadis yang sahih.

    Kemunculan Dajal juga akan memperdaya manusia sehingga ramai yang terpesong dan terpengaruh dengan dakyahnya. Bahkan, sebahagian manusia terpedaya dengan menganggapnya Tuhan.

    Untuk kupasan lanjut mengenai Dajal, jangan lupa saksikan menerusi rancangan Al-Qariah di TV Alhijrah.

    Program yang bermula 3 Januari lalu membicarakan tentang tanda-tanda besar hari kiamat selama 16 episod sehingga 17 April 2020.

    Selepas menonton rancangan berkenaan, usah lepaskan peluang untuk menyertai kuiz dan memenangi hadiah menarik yang ditawarkan pihak penganjur.

    Caranya mudah sahaja iaitu dengan mengumpulkan soalan yang disiarkan pada setiap penghujung rancangan dalam setiap episod.

    Jawapan daripada 16 episod itu kemudian dihantar kepada pihak penganjur beserta dengan butiran lanjut.

    Sumber