Category: ATTRACTION

  • Kajian Alibaba temui teknologi baharu

    Kajian Alibaba temui teknologi baharu

    PENYELIDIKAN teknologi AI semakin membangun dalam kalangan syarikat gergasi termasuk Alibaba.

    PENYELIDIKAN teknologi AI semakin membangun dalam kalangan syarikat gergasi termasuk Alibaba.

    SETIAP syarikat teknologi gergasi dunia mempunyai jabatan penyelidikannya tersendiri.

    Itu cara mereka bekerja dan bereksprimentasi dengan teknologi baharu supaya potensi sesuatu penemuan atau prototaip boleh dikembangkan atau sebaliknya.

    Sesetengah kajian projek mampu menempuhi fasa prototaip dan ada yang tidak berjaya. Bagi yang berjaya, perlu melalui rekaan proof of concept (PoC) dan dibangunkan sepenuhnya.

    Jika dilihat keupayaan Alibaba, tidak mengejutkan jika syarikat konglomerat e-dagang dan internet multinasional China itu mampu memiliki dan mengendalikan operasi R&D sendiri di bawah anak syarikatnya, DAMO.

    Entiti yang merujuk kepada Discovery, Adventure, Momentum dan Outlook (DAMO) itu mempunyai misi berfokuskan kepada teknologi kecerdasan pembuatan (AI) dengan merekacipta aplikasi perisian Natural Language Processing (NLP).

    Merujuk perkongsian forbes.com, pasukan penyelidik DAMO mempertahankan hujah bahawa kebolehan mesin pengkomputeran menunjukkan justifikasi logik terhadap keperluan kerja yang banyak.

    “Ini kerana kejuruteraan AI mendorong ke arah kecerdasan kognitif manusia yang mana keupayaan psikologi kognitif digabungkan dengan teknik seperti graf pengetahuan lintas domain.

    “Kebolehan itu mewujudkan mekanisme berkesan dalam perolehan ekspresi pengetahuan yang stabil,” kata pasukan DAMO dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Graf pengetahuan lintas domain tersebut juga dirujuk sebagai kayu pengukur untuk meningkatkan kecerdasan mesin kerana saling menghubung dengan pelbagai jenis maklumat bersifat universal.

    Mengulas lanjut mengenai persaingan kuantum pengkomputeran, penyelidik DAMO tidak menafikan ia bakal berlaku menjelang 2020 seiring pembangunan teknologi dan peningkatan pelaburan.

    “Industri ini dijangka akan berdepan peningkatan ekosistem perindustrian secara besar-besaran dan pada tahun akan datang memperlihatkan kuantum pengkomputeran berdepan tempoh kritikal.

    “Barangkali ia satu cabaran yang besar perlu ditempuhi dengan keupayaan pengetahuan sedia ada sejajar keupayaan dunia sebenar,” jelas kenyataan itu.


    Sumber

  • Bolehkah qada solat untuk sampai awal ke tempat kerja?

    Bolehkah qada solat untuk sampai awal ke tempat kerja?

    JARAK rumah dengan tempat kerja yang jauh menuntut kita untuk bergerak awal untuk sampai ke tempat kita mencari rezeki.

    Apatah lagi, jika waktu bekerja kita bermula seawal jam 8 pagi atau selainnya, di samping terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas.

    Segelintir orang terpaksa meredah lebih 100 kilometer untuk sampai ke pejabat mereka pada setiap hari.

    Sudah tentulah mereka perlu bijak mengatur masa untuk sampai ke tempat kerja sebelum atau tepat pada waktunya.

    Begitupun, ada orang kadangkala terpaksa melewatkan solat Subuh atau qada solat berkenaan untuk sampai ke tempat kerja pada waktunya disebabkan kekangan masa tadi.

    Bolehkah kita qada solat Subuh apabila sampai ke pejabat pada jam 8 pagi?

    Solat merupakan satu kewajipan ke atas orang Islam yang berakal, baligh dan dalam keadaan suci iaitu tidak haid.

    Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajikan atas orangorang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah alNisa, ayat 103)

    Dalam perihal mengqada solat, Islam sebenarnya ada menggariskan panduan tertentu.

    Para ulama meletakkan beberapa keadaan yang mana seseorang itu tidak berdosa melewat-lewatkan solat sehingga melepasi waktunya iaitu tidur yang mana jika tidur sebelum waktu solat, lupa, jamak solat, paksaan, takut terlepas waktu wukuf di Arafah dan menyelamatkan perkara yang dimuliakan syarak daripada rosak dan binasa.

    Berdasarkan keadaan tersebut, mengqada solat disebabkan khuatir terlambat masuk kerja tidak termasuk dalam alasan yang diterima syarak.

    Ketahuilah bahawa solat merupakan hak ALLAH yang wajib ditunaikan pada waktunya tanpa mengambil kira apa jua keadaan.

    Sementelah, pekerjaan pula berkaitan dengan hak iaitu tanggungjawab kepada diri dan keluarga.

    Bagaimanapun, apabila bertembung antara hak ALLAH dan makhluk, maka hak ALLAH wajib diutamakan.

    Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak dan untuk diri kamu terdapatnya hak dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak.” (Riwayat al-Bukhari)

    Justeru, rancanglah waktu perjalanan dengan baik pada waktu awal pagi apabila menaiki kenderaan sendiri agar boleh berhenti untuk menunaikan solat Subuh.

    Sekiranya waktu kerja fleksibel, boleh gantikan waktu masuk yang terlambat tadi dengan melewatkan masa pulang bekerja.

    Namun, jika waktu terhad, boleh solat secara bersendirian dan memendekkan bacaan dalam solat dengan memilih surah-surah lazim di samping menyempurnakan rukun qauli dan fi’li.

    Sesungguhnya solat merupakan tiang agama dan ia perlu dijaga dengan sebaiknya.

    Semoga ALLAH SWT menerima amalan kita.

    (Sumber: Al-Kafi #1531: Qada Solat Disebabkan Waktu Bekerja, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

    Sumber

  • 10 plaza tol guna RFID

    10 plaza tol guna RFID

    SISTEM RFID Touch ‘n Go dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol sekali gus menjimatkan masa pengguna dalam menuju ke destinasi yang hendak dituju.

    SISTEM RFID Touch ‘n Go dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol sekali gus menjimatkan masa pengguna dalam menuju ke destinasi yang hendak dituju.

    BAGI melancarkan aliran trafik di lorong tol, PLUS mengumumkan perlaksanaan bayaran tol menerusi menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Touch ‘n Go di 10 buah plaza tol sistem terbuka di lebuh raya kendalian syarikat itu bermula tahun ini.

    Seperti semua sedia maklum, pengguna RFID tidak perlu lagi berhenti untuk menyentuh kad pada reader.Pelaksanaan kutipan tol secara RFID juga adalah langkah awal ke arah pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) di lebuh raya yang merupakan aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa depan.

    Bermula pada 1 Januari lalu, transaksi tol menggunakan RFID Touch ‘n Go akan dibuka kepada semua kenderaan persendirian (Kelas 1).

    Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, Sistem RFID Touch ‘n Go yang menggunakan pelekat khas bercip RFID yang ditampal pada kenderaan dihubungkan dengan Touch ‘n Go eWallet merupakan pilihan mod pembayaran yang terkini.

    “RFID memudahkan pelanggan lebuh raya untuk menambah nilai tol secara atas talian tanpa perlu ke pusat tambah nilai.

    “Pada masa sama, lebih banyak pilihan pembayaran sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit mahupun lain-lain e-Wallet. Pelanggan bakal mempunyai lebih banyak opsyen untuk menukar mod pembayaran apabila kemudahan ini tersedia dalam masa terdekat,” katanya.

    10 plaza tol PLUS yang terlibat adalah seperti berikut:

    • Jitra (Lebuh Raya Utara-Selatan)
    • Lunas (Lebuh Raya Butterworth-Kulim)
    • Kubang Semang (Lebuh Raya Butterworth-Kulim)
    • Jambatan Pulau Pinang
    • Mambau (Lebuh Raya Seremban-Port Dickson)
    • Lukut (Lebuh Raya Seremban-Port Dickson)
    • Kempas (Lebuh Raya Utara-Selatan)
    • Perling (Lebuh Raya Linkedua)
    • Lima Kedai (Lebuh Raya Linkedua)
    • 1Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua)

    Sumber

  • Guna perkasasan yang pernah dipakai oleh orang bukan Islam

    Guna perkasasan yang pernah dipakai oleh orang bukan Islam

    DISUNATKAN untuk membasuh peralatan atau perkakasan yang pernah dipakai oleh orang bukan Islam sebelum menggunakannya.

    DISUNATKAN untuk membasuh peralatan atau perkakasan yang pernah dipakai oleh orang bukan Islam sebelum menggunakannya.

    BEKERJA di pejabat yang sama dengan orang bukan Islam menjadi perkara biasa bagi masyarakat di negara ini.

    Lazimya, setiap kemudahan yang disediakan di pejabat akan digunakan secara bersama-sama tidak kiralah peralatan atau perkakasan pejabat, kafe dan tandas.

    Begitu juga dengan kemudahan pantri yang disediakan khas oleh majikan buat kakitangan mereka.

    Apabila membicarakan tentang pantri yang barangkali hanya ada satu kemudahan sahaja di pejabat itu, ia sedikit menggusarkan hati segelintir orang Islam yang makan gaji di situ.

    Bolehkah mereka berkongsi peralatan seperti pinggan, mangkuk dan span yang telah digunakan oleh rakan sekerja bukan Islam?

    Barangkali rakan sekerja bukan Islam itu menggunakan span tadi untuk mencuci pinggan atau cawannya selepas makan dan minum yang tidak halal.

    Apakah hukumnya apabila kita menggunakan perkakasan tersebut?

    Sebelum merungkaikan jawapannya, fahamilah bahawa khinzir merupakan najis ‘ain dan perlu disamak sebanyak tujuh kali dengan salah satu daripadanya menggunakan basuhan air tanah.

    Ia berdasarkan Mazhab Syafie apabila sesuatu itu terkena dengan najis khinzir berkenaan.

    Dalam perihal bekas yang disangka pernah digunakan oleh orang bukan Islam untuk makan makanan yang haram seperti khinzir, ada perbezaan dengan najis tersebut.

    Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Adalah harus menggunakan bekas orang kafir.”

    Ia berdasarkan hadis daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengannya.” (Riwayat al-Bukhari)

    Kenapa kita diperintahkan untuk membasuh bekas tersebut?

    Sebenarnya, perintah membasuh itu adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang bukan Islam menggunakannya untuk minum arak atau makan khinzir dan sebagainya.

    Demikian juga hukum menggunakan pakaian orang bukan Islam dan seumpamanya yang mana hukumnya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka.

    Justeru, usah khuatir jika kita ingin menggunakan pinggan atau mangkuk yang telah digunakan oleh rakan sepejabat bukan Islam.

    Basuhlah perkakasan itu terlebih dahulu dan gunakanlah tanpa waswas.

    (Sumber: Portal rasmi kemusykilan agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

    Sumber

  • Kuasa terbaharu Aprilia RS 660

    Kuasa terbaharu Aprilia RS 660

    RS 660 dikuasakan enjin 660cc Parallel-Twin serba baharu yang memenuhi peraturan emisi Euro 5.

    RS 660 dikuasakan enjin 660cc Parallel-Twin serba baharu yang memenuhi peraturan emisi Euro 5.

    DIDI Resources, pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia mengesahkan jentera supersport yang cukup dinanti-nantikan iaitu RS 660 bakal dilancarkan pada hujung tahun ini.

    Ketua Pemasaran Piaggio Asia Pasifik, Nicola Capello memaklumkan perkhabaran gembira itu pada majlis memperkenalkan model Aprilia RSV4 X di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor baru-baru ini.

    Capello mengakui bahawa Malaysia merupakan pasaran utama Aprilia.

    RS 660 masih belum dilancarkan secara rasmi di mana-mana pasaran motosikal dunia, namun negara di benua Eropah dijangka mula menerima model tersebut pada musim panas nanti.

    Kehadiran RS 660 pasti dinantikan peminat Aprilia seluruh dunia termasuk Malaysia lantaran sudah begitu lama Aprilia tidak memperkenalkan model bersesaran sederhana untuk pasaran tempatan.

    Dianggap sebagai ‘adik’ kepada RS V4, sportbike middleweight itu direka khas untuk generasi baharu yang mahukan keseronokan menunggang di jalan raya dan pada masa sama, terbukti ‘kegagahannya’ di litar lumba.

    RS 660 dikuasakan enjin 660cc Parallel-Twin serba baharu yang mematuhi standard emisi Euro 5.

    Motosikal itu dikatakan menggunakan tren kuasa 1100cc RS V4 sebagai asas enjin RS 660 menerusi model konsep dengan angka kuasa 100hp.

    Pun demikian, kuasa dan tork sebenar model edisi pengeluaran itu masih belum didedahkan sepenuhnya kepada umum.

    Sebagai sebuah jentera baharu, RS 660 didatangkan dengan pelbagai ciri menarik seperti lima mode tunggangan, Cornering ABS, quickshifter, kerangka aluminium termasuk brek Brembo.

    Sumber

  • Al-Falaq antara surah yang tiada tandingan

    Al-Falaq antara surah yang tiada tandingan

    AL-FALAQ merupakan surah pilihan yang boleh dijadikan sebagai bacaan rutin kita.

    AL-FALAQ merupakan surah pilihan yang boleh dijadikan sebagai bacaan rutin kita.

    SEBELUM melelapkan mata, Surah al-Falaq antara yang dianjurkan untuk kita melaziminya pada setiap hari selain Surah al-Ikhlas dan al-Nas.

    Sudah tentu surah berkenaan mengandungi keistimewaan yang tersendiri.

    Apabila disingkap tentang surah itu, al-Falaq merupakan surah ke-113 dalam al-Quran.

    Ia merupakan surah makiyyah, namun ada juga sebahagian ulama mengatakan bahawa al-Falaq merupakan surah madaniyah.

    Bahkan, ada hadis yang menyebut al-Falaq adalah surah yang tiada tandingannya.

    Apa istimewanya surah berkenaan? Kenapa kita digalakkan untuk menjadikan Surah al-Falaq sebagai rutin harian?

    Ikuti kupasannya bersama Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah dalam segmen Kapsul Surah pada hari ini.



    Sumber

  • Honda RS150R dapat sentuhan premium

    Honda RS150R dapat sentuhan premium

    SEMANGAT untuk memastikan perjalanan jauh lebih mantap daripada biasa, telah mendorong Boon Siew Honda membuka lembaran baharu tahun 2020 dengan penampilan terkini Honda RS150R.

    Rekaan Honda RS150R telah dipertingkatkan dengan gaya lebih sporty ditambah dengan sentuhan premium.

    Sekilas pandang, motosikal terbabit nampak lebih ranggi selaras dengan konsep fender belakang jentera dua roda yang telah direka semula bagi menampilkan lampu brek yang lebih runcing sekali gus mempertingkatkan visual secara keseluruhan.

    Selain rekaan yang menonjol, Honda RS150R memberi penekanan kepada keselesaan penunggang apabila mempertingkatkan panel meter LCD digital baharu yang berteknologi tinggi.

    Fungsi terbaharu itu bertujuan untuk memudahkan penunggang melihat dengan jelas, terang dan lengkap informasi pada panel berkenaan.

    Ciri tersebut dikatakan menyerlahkan lagi ‘perwatakan’ RS150R yang lebih memberi fokus dan keutamaan kepada penunggang.

    RS150R menawarkan warna Trico Honda termasuk warna hitam, biru dan edisi Repsol.

    Jentera terkini keluaran Boon Siew itu kekal dijana dengan enjin 149.2cc empat valve DOHC 6 kelajuan yang menghasilkan 11.5kW pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 6,500rpm.

    Varian dan harga seperti berikut:

    Standard (Trico, Black, Blue)

    RM 8,199

    Repsol

    RM 8,499

    Sumber

  • ‘Lagukan’ al-Quran dengan taranum yang indah

    ‘Lagukan’ al-Quran dengan taranum yang indah

    USTAZ MUADZEEN antara insan terpilih yang dikurniakan kebolehan untuk 'melagukan' al-Quran dengan taranum yang indah.

    USTAZ MUADZEEN antara insan terpilih yang dikurniakan kebolehan untuk ‘melagukan’ al-Quran dengan taranum yang indah.

    MEMBACA al-Quran dapat menenangkan jiwa kita. Masakan tidak, kalam ALLAH itu kitab suci yang mulia, mengandungi perkara benar dan rahmat yang besar.

    Bait-bait kalamullah itu sudah sedia indah, namun apabila kita melagukan dengan taranum, bertambah cantik lagi lontaran bacaan kita.

    Begitupun, usah sesekali cemari bacaan itu dengan melakukan kesilapan teknikal seperti salah tajwid dan seumpamanya.

    Demikian antara perkongsian qari, Ustaz Muadzeen Ackil dan qariah, Ustazah Lailasari Sabran ketika ditemui Sinar Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Kedua-dua insan hebat itu cukup bertuah kerana dikurniakan kebolehan untuk ‘melagukan’ al-Quran dengan taranum yang indah.

    Sinopsis kisah mereka akan disiarkan dalam sisipan Sinar Islam esok.

    Sumber

  • Guru menang Win the Icon anjuran Volkswagen

    Guru menang Win the Icon anjuran Volkswagen

    




MUHAMAD Rizal bersama Volkswagen Beetle yang dimenanginya baru-baru ini.

    MUHAMAD Rizal bersama Volkswagen Beetle yang dimenanginya baru-baru ini.

    SELEPAS pencarian selama dua bulan, pertandingan Win the Icon berakhir apabila guru berusia 28 tahun, Muhamad Rizal Sadiman dinobatkan sebagai pemenang.

    Muhamad Rizal yang berasal dari Perak membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Volkswagen Beetle 1.2TSI.

    Peraduan yang berlangsung pada 1 Oktober hingga 30 November 2019 itu menerima 800 penyertaan berupa foto dan video.

    Para peserta yang menyertai pertandingan tersebut perlu melakukan sesi pandu uji model Volkswagen kegemaran dan mendokumentasikan pengalaman masing-masing.

    Penyertaan disertakan kapsyen paling kreatif dengan hashtag #BetterExperiencedThanExplained akan dipilih sebagai pemenang.

    Rizal yang berkesempatan memandu uji model Polo dan Tiguan berkata, Volkswagen telah memberikan pengalaman sebenar dalam pemanduan yang sukar untuk dijelaskan.

    “Keselamatan menjadi keutamaan buat saya memandangkan saya pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya dua tahun lepas akibat kegagalan pada sistem brek.

    “Menerusi video yang saya muat naik sebagai syarat penyertaan, saya menunjukkan prestasi Tiguan ketika jentera tersebut melakukan brek kecemasan dan saya benar-benar kagum dengan keupayaannya.

    “Sementara Polo pula menjadi salah satu kenderaan kegemaran kami sekeluarga,” ujar Rizal.

    Sumber

  • Belajar taranum al-Quran bukan ikut musim

    Belajar taranum al-Quran bukan ikut musim

    KALAM ALLAH SWT memang sudah sedia indah. Jika dibaca dalam ‘lagu’ yang cukup menenangkan, ia menerbitkan halwa telinga yang sedap didengar. Malah, ia mampu menghidupkan hati dan mendidik rohani manusia.

    Ditambah pula dengan kelunakan suara seorang qari atau qariah mengalunkan kalamullah. Hati sesiapa pun akan tersentuh tatkala mendengarnya. Jiwa pula seolah-olah terbuai dengan bait-bait keindahan lantunan taranum ayat suci al-Quran yang dilontarkan oleh mereka.

    Meskipun ramai yang lancar ketika membaca al-Quran, namun bukan semua orang dianugerahkan kebolehan untuk mengalunkan taranum.

    Begitupun, ALLAH SWT mengurniakan bakat itu kepada dua insan terpilih yang ditemui Sinar Islam pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu kota baru-baru ini.

    Mereka ialah johan qari majlis tilawah berkenaan, Ustaz Muadzeen Ackil dan johan qariah, Ustazah Lailasari Sabran.

    Kedua-dua mereka bakal berentap mewakili Wilayah Persekutuan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi yang dijadualkan berlangsung sekitar 13 hingga 21 Februari ini di Kota Kinabalu, Sabah.

    Ujar kedua-dua insan hebat itu, bergelar qari dan qariah bukan tugas mudah. Mereka bukan sahaja perlu pandai bertaranum dengan alunan lagu yang sedap dan berstruktur, tetapi juga wajib menjaga dari segi bacaan mereka terutama tajwid, fasahah dan suara.

    Kepada Sinar Islam, dua insan yang elok budi pekerti itu senada dengan berkata: “Ini adalah kalam ALLAH dan ilmu-NYA, ia perlu dijaga dengan sebaiknya. Jadi, mohonlah kepada ALLAH agar diberi kemudahan kepada kita setiap kali ingin mengalunkan ayat suci al-Quran.”

    Dengar kaset

    Rentak bicara dimulakan dengan Ustazah Lailasari, 56. Ujar beliau, sebelum menyertai musabaqah, wanita itu akan melazimi dirinya untuk menunaikan solat hajat dan solat sunat taubat memohon kepada ALLAH agar memudahkannya untuk bertaranum.

    USTAZAH LAILASARI

    USTAZAH LAILASARI

    “Sebelum naik ke pentas, perlu tenangkan diri. Minum air dan makan gula-gula untuk membuka ruang-ruang suara,” ujar beliau sambil menambah yang dirinya akan mengelak untuk makan buah kegemaran, durian apabila menghampiri pertandingan.

    Akui guru di Sekolah Rendah Agama Al-Bukhari Segambut Dalam di Kuala Lumpur itu, beliau begitu meminati taranum al-Quran sejak kecil lagi. Namun, beliau hanya berpeluang untuk mempelajarinya secara formal selepas usianya menginjak 40-an.

    “Pada zaman 1970-an, tiada kemudahan (guru taranum) seperti hari ini. Tambahan pula, saya duduk di kampung dan tiada pendedahan sangat mengenai perkara itu. Saya kerap mendengar kaset-kaset qari mengalunkan ayat suci al-Quran dan mengumpul berkotak-kotak kaset berkenaan. Setiap kali hendak memasak atau buat kerja apa pun, saya akan pasang kaset itu.

    “Apabila saya berpindah ke ibu kota, barulah saya berpeluang untuk mempelajari dan mengikuti kelas taranum oleh agamawan yang mahir dalam bidang ini seperti Ustaz Nik Azizan Al-Farisi.

    “Sehingga ke hari ini, saya masih lagi belajar dengan agamawan yang lain. Ya, ilmu ini tak (akan) habis (sampai bila-bila). Saya sedar, ada banyak kelemahan lagi yang perlu dibaiki untuk menambah mutu pembacaan saya,” terang beliau.

    Berkongsi pengalamannya mempelajari taranum pada usia yang agak lanjut, Ustazah Lailasari bersyukur usahanya telah dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

    “Disebabkan taranum itu adalah minat saya, jadi tidaklah susah sangat untuk mempelajarinya. Tambahan pula, banyak kaset-kaset yang mengalunkan bacaan al-Quran saya dengari saban hari. Syukur alhamdulillah ALLAH SWT beri keberkatan ilmu yang saya pelajari.

    quot;Saya juga menyertai banyak musabaqah tilawah al-Quran. Walaupun hanya dapat tempat saguhati, tetapi saya tidak berputus-asa mencubanya kerana menganggap ia sebagai proses pembelajaran saya,” tambah beliau.

    Sebagai individu yang dekat dengan al-Quran, Ustazah Lailasari sering mengamalkan sayyidul istighfar dalam kehidupannya seharian.

    “Hendakkan beroleh kejayaan, kita perlu pelbanyakkan istighfar, barulah ALLAH berikan apa yang diminta,” jelas beliau yang mengajar al-Quran dari rumah ke rumah dan secara individu.

    Kuasai tajwid, fasahah

    Apa yang direntas oleh Ustazah Lailasari turut sama dilalui oleh Ustaz Muadzeen, 54. Cuma Imam Ratib di Masjid Muadz bin Jabal itu cukup bertuah apabila berpeluang mempelajari ilmu taranum sejak darjah satu lagi.

    USTAZ MUADZEEN

    USTAZ MUADZEEN

    “Ilmu taranum telah diperkenalkan oleh arwah bapa saya. Beliau seorang bilal masjid dan pandai mengaji al-Quran. Sejak kecil lagi, saya memang sudah meminati dan cenderung ke arah al-Quran. Kemudian, saya melanjutkan pengajian taranum di peringkat menengah di Pondok Pesantren, Indonesia.

    “Apabila pulang ke Malaysia, saya sambung talaqi dan musyafahah dengan guru yang bersanad seperti Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari dan lain-lain. Sehingga ke hari ini, saya masih lagi berguru dengan yang mahir dalam bidang ini. Hendak baca al-Quran kena bertalaqi bukan sekadar hanya ingin masuk pertandingan tilawah sahaja, tetapi banyak sebenarnya yang kita perlu pelajari dalam seni taranum dan pembacaan al-Quran,” jelas beliau.

    Anak kelahiran Sandakan, Sabah itu turut menguasai tujuh jenis taranum iaitu bayati, hijaz, soba, nahwand, rast, sikah dan jiharkah yang lazimnya digunakan oleh qari di seluruh dunia.

    “Pokok pangkalnya, jika ingin mempelajari taranum, perlu menguasai dahulu tajwid, tahsin, fasahah dan suara dengan taranum (lagu). Semua itu akan diaplikasikan dalam bacaan kita. Bukan apa, kita tidak mahu lagu saja sedap, tetapi tajwid dan fasahah pula ‘lari’.

    “Apa pun, kita kena ingat bahawa membaca al-Quran mestilah secara tartil (bacaan perlahan, tenang dan melafazkan setiap huruf dengan makhraj yang tepat). Dalam mana-mana pertandingan tilawah pun, elemen-elemen itu akan diambil kira,” ujar beliau yang turut mengendalikan kelas talaqi al-Quran di Masjid Muadz bin Jabal.

    Sepertimana resam seorang qari menjaga pemakanan demi memelihara kelunakan suara, begitulah yang diamalkan oleh Ustaz Muadzeen. Sejak dulu lagi, beliau tidak minum minuman berais atau air daripada peti sejuk.

    “Begitu juga dengan makanan. Saya akan makan makanan yang telah dipanaskan (jika ia baru dikeluarkan daripada peti sejuk) dan elakkan makanan berminyak kecuali apabila bertugas menjadi jurunikah pada majlis perkahwinan. Namun, sebolehnya saya akan elakkan,” katanya yang turut mengamalkan pengambilan satu sudu madu dengan air suam selepas bangun daripada tidur.

    Akhlak al-Quran

    Lebih empat dekad mendalami ilmu taranum al-Quran, hidup Ustaz Muadzeen terasa seolah-olah tidak lengkap jika sehari tidak membaca atau mendengar kalam ALLAH berkumandang.

    Jelas, filosofi suci beliau ialah ‘tiada hari tanpa al-Quran.’

    Sesibuk mana pun, bapa kepada seorang cahaya mata itu akan memperuntukkan masanya untuk mendengar bacaan tokoh qari terkenal, Sheikh Mustafa Ismail.

    “Kelazatan al-Quran ini apabila kita zauq (rasa) iaitu tahu hukum, makhraj, sifat dan taranum. Apabila kita membacanya, terasa bertambah nikmatnya. Sambil mengajar talaqi di masjid, saya akan turut sama membacanya. Apabila di dalam kenderaan, saya juga akan dengarkan bacaan ayat suci al-Quran,” terang beliau.

    USTAZ MUADZEEN (depan, tiga dari kiri) mengiuti majlis khatam al-Quran kelas talaqi al-Muadzinin di ibu kota tahun lalu.

    USTAZ MUADZEEN (depan, tiga dari kiri) mengiuti majlis khatam al-Quran kelas talaqi al-Muadzinin di ibu kota tahun lalu.

    Kepada satu soalan, Ustaz Muadzeen berkata: “Sebagai ahli al-Quran, banyak perkara yang perlu dijaga. Bukan sekadar al-Quran sahaja, tetapi juga tingkah laku kita.Tambahan pula, saya begitu ‘dekat’ dengan masjid, maka lebih ramailah orang perhatikan kita. Jadi, cara berpakaian, pergaulan dan imej kita, semuanya perlu dijaga. Namun, percayalah dengan adanya al-Quran, kalam ALLAH itu akan membimbing kita dan menjadi benteng untuk memelihara diri.”

    Beliau turut menitipkan pesanan buat anak muda yang ingin berjinak-jinak dengan seni taranum al-Quran. Nasihat beliau, berjumpalah dengan guru untuk mempelajari talaqi bagi mendalami ilmu berkenaan.

    “Seperkara lagi, jangan hanya pelajarinya ketika musim musabaqah tilawah saja kerana ia bukan mengikut musim. Ketahuilah bahawa mempelajari cabang ilmu ini memerlukan minat. Paling penting adalah istiqamah dan belajar dengan guru yang bersanad,” pesan beliau.

    Baik Ustaz Muadzin mahupun Ustazah Lailasari, kedua-dua insan itu membulatkan tekad untuk menyebar luaskan ilmu milik ALLAH SWT itu supaya lebih ramai akan menerima manfaatnya.

    ‘Biarpun 1,000 kali dibaca, kita tak akan jemu’

    Umat Islam berada dalam kealpaan sebenarnya andai mukjizat terbesar Rasulullah SAW hanya dibiarkan tidak terusik di rumah kita sehingga berdebu dan berhabuk.

    Kitab suci al-Quran tidak sewajarnya hanya menjadi sebahagian perhiasan rumah atau diletakkan bagi mengisi bahagian rak-rak buku kita, sebaliknya ia merupakan wahyu ALLAH yang perlu kita dalami tanpa henti ilmunya, sama ada yang tersurat mahupun tersirat.

    Rasulullah SAW tidak meninggalkan umatnya tanpa sebarang pedoman kerana al-Quran adalah cahaya terang yang bersinar sepanjang zaman dan akan sentiasa dapat dibaca serta dihayati sejak dari zaman Rasulullah SAW sehingga ke hari ini.

    Disebabkan itulah kalam ALLAH iaitu al-Quran menjadi mukjizat terbesar berbanding dengan yang lain, demikian kata Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Abd Rauf Hassan.

    ABD RAUF

    ABD RAUF

    Jelas Abd Rauf, kalamullah itu akan berkekalan sehingga ke akhir zaman sepertimana yang dijanjikan ALLAH SWT.

    Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya KAMILAH yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan KAMILAH yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

    Biarpun 1,000 kali al-Quran dibaca, tambah beliau, kita tidak akan pernah berasa jemu dengannya.

    “Begitulah kemuliaan kalam ALLAH ini. Berbanding kita baca ayat dalam surat ataupun akhbar secara berulang-ulang, kita rasa ia seolah-olah sama saja. Namun, apabila membaca ayat ALLAH, tidak terdetik rasa sebegitu.

    “Umpamanya, kita membaca Surah al-Fatihah sejak berusia lima tahun dan hingga umur kita 80 tahun pun, kita masih tetap membacanya tanpa jemu. Inilah satu kemuliaan yang ALLAH SWT berikan supaya kita dapat merasakan itulah mukjizat sebenarnya. Bahkan, al-Quran itu dijadikan sebagai panduan untuk kehidupan kita bagi memberikan kebahagiaan di dunia dan di akhirat,” kata beliau ketika ditemui Sinar Islam selepas Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Dalam pada itu, jelas Abd Rauf, ada beberapa adab yang perlu dipelihara ketika membaca al-Quran. Ia termasuklah sebelum, semasa dan selepas membaca kalam ALLAH tersebut. Beliau turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang kadangkala alpa memegang al-Quran tanpa berwuduk, sedangkan, ia merupakan perkara asas.

    “Bagi orang yang menjual al-Quran, mengemas atau mengangkat al-Quran tanpa wuduk, tindakan itu sebenarnya kurang beradab. Selain itu, bukan sembarangan tempat boleh kita membaca kalamullah ini. Jangan sesekali membacanya di tepi longkang, tepi pasar atau di tempat riuh-rendah.

    “Sebaiknya, bacalah (al-Quran) di tempat-tempat yang tenang dan suci serta bersih. Bacalah dalam keadaan kita menutup aurat dan menghadap kiblat,” ujar beliau.

    Apabila membacanya pula, jelas ahli akademik itu, hayatilah dengan khusyuk dan jangan ada sebarang gangguan. Ini kerana, membaca al-Quran itu ibarat kita bertawasul iaitu berkomunikasi dengan ALLAH.

    “Ingatlah bahawa apa yang kita baca itu adalah kata-kata ALLAH. Seperkara lagi, apabila telah selesai membacanya, letakkan al-Quran di tempat yang sepatutnya dan tinggi. Jangan letak di hujung kaki katil,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

    Sumber