Cara taubat hindari diri daripada dosa yang membelenggu

Cara taubat hindari diri daripada dosa yang membelenggu

MANUSIA pasti tidak lari daripada melakukan kesalahan kerana kita bukanlah maksum sebagaimana Nabi Muhammad SAW.

Barangkali ada yang mempunyai sisi gelap pada diri masing-masing akibat kejahilan diri sendiri dan dosa itu seolah-olah membelenggunya walaupun sudah tidak mengulangi kesilapan lama.

Bagaimana untuk kita atasi perasaan yang menjeruk rasa hampir saban waktu?

Dalam hal itu, perkara pertama perlu kita lakukan dengan bermuhasabah diri dan jangan sesekali berbangga dengan dosa yang telah dilakukan atau memperkecilkannya sehingga bercerita apa yang telah kita lakukan kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daripada umatku diampunkan melainkan golongan mujahirin. Antara perbuatan mujaharah adalah di mana seorang lelaki melakukan satu amalan pada waktu malam, kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan ALLAH telah menutup apa yang dilakukannya pada waktu malam. Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan ini dan perbuatan itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan ALLAH menutup aib yang telah dia lakukan, lalu dia bangun pagi dan mendedahkan apa yang ALLAH tutup darinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Menurut al-‘Aini dalam ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, perbuatan mendedahkan dosa yang dilakukan merupakan perbuatan yang gila.

Ini bermakna, jangan sesekali mendedahkan dosa yang dilakukan jika ia bertujuan untuk berbangga dan memperkecilkan dosa, sebaliknya sembunyikanlah.

Biar ia menjadi rahsia antara kita dengan ALLAH.

Jika dosa tersebut melibatkan orang lain, maka caranya, selepas memohon ampun daripada ALLAH, mohonlah kemaafan daripada orang yang kita sakiti itu.

Apapun, taubat yang dilakukan mesti disertai dengan pembuktian iaitu melalui amalan-amalan soleh kerana ia boleh menjadi benteng agar kita tidak kembali terjerumus ke lembah dosa.

Tidak cukup sekadar menyesal tanpa disusuli dengan amal.

Beberapa amalan yang boleh kita lakukan seperti berikut:

1. Memperbanyakkan istighfar.

2. Melazimi dan istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu.

3. Memperbanyakkan sedekah.

4. Lazimi qiamullail.

5. Sentiasa menghadiri majlis ilmu.

Mudah-mudahan taubat kita akan diterima oleh ALLAH.

Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

(Sumber: Al-Kafi #873: Dosa yang Kerap Membelenggu, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *