Cara Rasululullah SAW tawan hati kanak-kanak

Cara Rasululullah SAW tawan hati kanak-kanak

TUNTUTAN kerja yang tidak pernah habis antara faktor kenapa hubungan kita dengan anak-anak semakin jauh.

Sedar atau tidak, itulah hakikatnya yang kita lalui setiap hari.

Apa pun, jangan sesekali kita mengabaikan amanah ALLAH yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.

Jika bersama anak-anak, gunakanlah masa berkualiti itu untuk kita memberi perhatian penuh dan kasih sayang kepada mereka.

Dalam hal ini, ada banyak cara untuk menawan hati anak-anak seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW sendiri.

1. Pelukan dan ciuman

Ini antara salah satu caranya. Malah, Nabi SAW sendiri melakukannya terhadap cucu-cucu baginda, Hassan dan Hussain.

Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW pernah mencium Al Hasan bin Ali sedangkan di samping beliau ada Al Aqra’ bin Habis At Tamimi sedang duduk, lalu Aqra’ berkata: “Sesungguhnya aku memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekalipun.”

Maka Rasulullah SAW memandangnya dan bersabda: “Barangsiapa tidak mengasihi mereka maka ia tidak akan dikasihi.” (Riwayat al-Bukhari)

2. Mengusap kepala

Ia juga merupakan kaedah yang diajar Rasulullah SAW untuk menawan hati anak.

Cara ini rupa-rupanya menyebabkan anak-anak berasa betapa diri mereka itu penting, diberi perhatian dan dihargai.

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan Rasulullah SAW memberi salam kepada anak-anak dan mengusap kepala mereka.

Daripada Anas RA, suatu ketika dia berjalan melalui kumpulan kanak-kanak lalu, beliau memberi salam kepada mereka dan berkata: “Bahawa Rasulullah SAW sentiasa lakukan seperti yang aku lakukan ini (iaitu memberi salam kepada kanak-kanak).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Menyentuh pipi

Bilakah waktu yang sesuai untuk menyentuh pipi anak-anak? Ketika sedang menonton televisyen bersama, usai solat berjemaah dan sewaktu anak mahu tidur atau ketika mereka hendak ke sekolah.

Ia bukan sekadar hanya menyentuh pipi semata-mata tetapi pada masa sama, berikanlah kata-kata positif supaya mereka berasa sangat disayangi dan dikasihi.

Daripada Jabin Samurah RA: “Aku solat Zuhur bersama Rasulullah SAW, kemudian baginda keluar ke tempat keluarganya dan aku pun ikut keluar. Selanjutnya, beliau disambut oleh kanak-kanak, kemudian baginda mengusap pipi mereka seorang demi seorang hingga sampailah pada giliranku. Baginda mengusap pipiku dan ternyata kurasakan tangan baginda begitu sejuk dan harum baunya seakan-akan tangan baginda baru dikeluarkan dari kantung yang berisi minyak wangi. (Riwayat Muslim)

4. Panggilan bermakna

Kita dianjurkan memanggil anak dengan gelaran yang baik kerana ia akan membangkitkan aura yang positif dan seterusnya, menjadi sebuah doa buat anak kita.

Ia sebagaimana dalam firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kalian panggil memanggil dengan gelaran buruk.” (Surah al-Hujurat: 11)

5. Tegas dalam berkasih sayang

Sebenarnya tegas dalam berkasih sayang amat digalakkan tetapi perlu mengikut keadaan.

Apabila tegas dan kasih sayang digabungkan, pasti ia akan menghasilkan sebuah kesempurnaan.

Antara kisah yang kita boleh jadikan sebagai panduan adalah sifat tegas Nabi Muhammad SAW terhadap seorang kanak-kanak yang tidak jujur.

An-Nawawi dalam kita al-Adzkar berkata: “Kami meriwayatkan dalam kitab Ibnus Sunni, daripada Abdullah bin Busr Al-Mazini RA, ia berkata: Ibuku mengutusku kepada Rasulullah SAW dengan membawa seikat anggur. Namun, aku memakan sebahagiannya sebelum aku berikan kepada baginda. Ketika aku sudah bertemu baginda, baginda memulas telingaku dan mengatakan, “Ini adalaH pengkhianatan.”

Marilah sama-sama kita praktikkan cara ini ketika bersama anak-anak.

Walaupun anak sudah besar, apa salahnya kita tawan hati mereka dengan cara ini.

Tidak rugi jika kita mencubanya, bukan?

Sekurang-kurangnya kita sudah mencuba. Manalah tahu hubungan yang jauh sebelum ini semakin rapat.

(Sumber: Ustazah Isfadiah Dasuki)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *