BNM nilai kesan kenaikan OPR 100 bps sebelum ambil tindakan lanjut

BANK Negara Malaysia (BNM) akan menilai kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 100 mata asas (bps) pada 2022 ke atas ekonomi Malaysia sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut, kata Penolong Gabenor, Fraziali Ismail.

Beliau berkata, OPR itu telah dinaikkan secara beransur-ansur kepada 2.75 peratus dan bank pusat mesti menilai kesannya terhadap keadaan ekonomi semasa.

“Kita berada di landasan untuk mencapai sasaran sebagai contoh, tahun ini, inflasi di antara 2.8 peratus dengan 3.8 peratus dan pertumbuhan ekonomi pula di antara empat peratus dengan lima peratus,” katanya kepada pemberita selepas Ucapan Tahunan Gabenor BNM pada Forum Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Asia School of Business di sini, pada Isnin.

Terdahulu dalam ucaptamanya, beliau berkata, dasar monetari akan terus mengimbangi risiko inflasi domestik dan pertumbuhan ekonomi, justeru, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan terus memantau kesan pelarasan OPR yang lepas ke atas ekonomi.

“Setakat ini, kesan pelarasan OPR yang lepas terhadap keadaan kewangan adalah teratur, tiada tanda-tanda pengetatan yang keterlaluan bagi penggunaan dan pelaburan, tanda-tanda penyederhanaan dalam kekuatan tekanan inflasi susulan jangkaan normalisasi inflasi, namun inflasi kekal tinggi,” katanya.

MPC BNM dijadual mengadakan mesyuarat ketiga pada 2 dan 3 Mei, 2023.

Fraziali berkata, normalisasi tahap akomodasi dasar monetari yang seterusnya akan terlihat menerusi keadaan yang berubah, dan pada masa sama, MPC kekal berwaspada dengan faktor kos termasuk yang timbul daripada perkembangan pasaran kewangan yang boleh menjejaskan prospek inflasi.

Tekanan harga mungkin lebih berterusan berbanding jangkaan, katanya.

Beliau berkata, oleh itu penting untuk menguruskan inflasi dalam memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

“Sebarang pelarasan ke atas tahap akomodasi akan terlihat menerusi keadaan global dan domestik yang berubah-ubah serta implikasinya terhadap unjuran keseluruhan pertumbuhan dan inflasi domestik,” katanya.

Melalui laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 yang dikeluarkan BNM baru-baru ini, pertimbangan dasar monetari MPC akan tertumpu kepada pengurusan risiko inflasi di samping menyokong pertumbuhan ekonomi mampan pada 2023, dan sama seperti ekonomi lain, 2023 akan menjadi tahun mencabar bagi ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan ekonomi diunjurkan lebih sederhana manakala inflasi dijangka kekal tinggi.

Dalam laporan itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pelarasan dasar monetari yang berlebihan boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, manakala kurang pelarasan pula boleh menyebabkan jangkaan inflasi tidak terkawal yang menjejaskan kuasa beli pengguna dan kemampanan pertumbuhan ekonomi.

“Dalam persekitaran ini serta selaras dengan mandat BNM di sisi undang-undang untuk menggalakkan kestabilan harga dan pada masa yang sama memberikan perhatian sewajarnya kepada perkembangan dalam ekonomi, MPC telah menaikkan OPR secara beransur-ansur dan terkawal.

“Memandangkan dasar monetari berfungsi dengan sela masa, tindakan mengekalkan OPR baru-baru ini membolehkan MPC menilai kesan daripada pelarasan OPR secara berturut-turut, di samping perkembangan keadaan yang mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi,” katanya dalam laporan itu. – Bernama

Sumber