BNM dijangka tak turunkan lagi OPR tahun ini

EKONOMI Malaysia kekal kukuh dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini, menurut HSBC Private Banking.

Ketua Strategi Pasaran Asia Tenggara, James Cheo juga yakin BNM akan mengekalkan OPR semasa dan menilai keadaan pada tahun depan untuk sebarang pelarasan lanjut.

“Selepas BNM mengambil langkah awal untuk menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus pada Mei tahun ini, ia menimbulkan kebimbangan dalam pasaran bahawa bank pusat itu akan terus menurunkan kadar.

“Bagaimanapun, ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan daripada apa yang orang fikir, dan tiada keperluan sebenar bagi bank pusat untuk menurunkan lagi kadar pada akhir tahun.

“Kami menganggarkan ringgit mencecah paras 4.30 berbanding dolar US pada akhir 2019,” katanya pada taklimat media mengenai prospek pelaburan HSBC bagi separuh kedua 2019 di sini hari ini.

Menurut Cheo, HSBC menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.5 peratus bagi 2019 dan 4.3 peratus pada 2020, sebahagian besarnya didorong oleh penggunaan swasta yang kukuh dan asas eksport yang pelbagai terdiri daripada komoditi, minyak dan gas, serta elektrik dan elektronik.

“Pertumbuhan penggunaan amat kukuh di Malaysia, yang dijangka meningkat sehingga enam peratus pada tahun ini, disebabkan pasaran buruh yang kukuh dan pertumbuhan gaji yang teguh,” katanya.

Cheo turut menjangka aktiviti pelaburan akan naik dari akhir tahun, sejajar dengan pelan kerajaan untuk mempercepatkan projek infrastruktur awam seperti Laluan Rel Pantai Timur, yang akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur dalam sektor swasta.

Menurut Buletin Suku Tahunan BNM yang dikeluarkan bulan lepas, pertumbuhan pelaburan swasta perlahan kepada 0.4 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 5.8 peratus pada suku keempat 2018, berikutan aktiviti pelaburan yang terjejas oleh ketidaktentuan yang meningkat berhubung rundingan perdagangan global dan kelemahan semasa dalam segmen hartanah.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Strategi Pasaran Asia Cheuk Wan Fan yakin Malaysia akan menjadi antara negara di Asia Tenggara yang akan meraih manfaat daripada penempatan semula rantaian bekalan perniagaan dari China berikutan ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

“Negara-negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia akan mendapat manfaat daripada penempatan semula rantaian bekalan yang mempunyai potensi berikutan kami menjangka korporat akan memberi tindak balas kepada ketidaktentuan perdagangan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pelarasan rantaian bekalan itu akan berlaku secara berperingkat berbanding secara drastik berikutan syarikat memerlukan masa untuk melaraskan pelan pelaburan atau perbelanjaan modal.

Mengenai portfolio ekuiti Malaysia, Cheuk berkata HSBC terus berhati-hati di pasaran tempatan berikutan penilaiannya yang mahal berbanding rakan serantau yang lebih murah.

“Unjuran pertumbuhan pendapatan bagi pasaran ekuiti Malaysia masih kekal satu angka, ketinggalan dengan pasaran ekuiti lain yang mencatat pertumbuhan lebih tinggi seperti China, yang mana kita mempunyai peruntukan ‘overweight’ yang sederhana dengan unjuran pertumbuhan pendapatan 15 peratus.

“Premium penilaian Malaysia berbanding purata serantau akan mengehadkan potensi peningkatan pasaran ekuiti tempatan,” katanya, sambil menambah bank itu menyasarkan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan mencecah paras 1,740 pada akhir tahun. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *