Filem aksi paling dinantikan tahun ini, Blood Brothers, bakal menemui penonton di pawagam bermula 10 April 2025. Dalam meraikan kehangatan Ramadan, filem ini terus mencetuskan fenomena menerusi siri jelajah eksklusif di bazar terpilih. Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 (ABXFGR’25) di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MITEC) menjadi hentian ketiga selepas kejayaan di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Cheras dan Bazar Ramadan Presint 14, Putrajaya.
Peminat filem aksi tempatan berpusu-pusu membanjiri festival ini untuk bertemu barisan pelakon utama seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Andy Teh, Amir Nadis, Tracie Sinidol, dan Mikael Noah. Suasana bertambah meriah dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk permainan pentas, persembahan bertenaga daripada Muzza, dan sedutan eksklusif babak aksi mendebarkan daripada Blood Brothers yang membuat penonton teruja.
“Kami amat terharu dan teruja melihat sambutan luar biasa terhadap Blood Brothers. Ini bukan sekadar filem aksi biasa, tetapi naskhah yang sarat emosi dan aksi mendebarkan yang akan meninggalkan kesan mendalam,” kata Sharnaaz Ahmad.

Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios selaku pengedar dan rakan pemasaran, membawakan Blood Brothers sebagai sebuah karya aksi berbeza. Filem ini menampilkan kisah penuh intensiti, mengangkat tema kepercayaan, pengorbanan, dan harga persaudaraan dalam dunia penuh tipu daya. Dengan barisan pelakon mantap serta aksi bertaraf antarabangsa, Blood Brothers bersedia menjadi filem aksi tempatan paling epik tahun ini.
Sementara itu, Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 terus mencipta fenomena sebagai festival perayaan terbesar tahun ini di MITEC, Kuala Lumpur. Dengan lebih 700 vendor dan sasaran 2 juta pengunjung, acara ini menjanjikan pengalaman membeli-belah dan hiburan luar biasa. Mini Absolut FoodFest juga menambah kemeriahan dengan lebih 80 gerai makanan dan minuman istimewa untuk berbuka dan sahur.
Festival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular seperti Uqasha Senrose, Aprena Manrose, Awal Ashaari, De Fam, Nadeera Zainal, Hael Husaini, Johan Ghazali, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Amelia Henderson, Ziana Zain, dan ramai lagi. Acara ini berlangsung selama 66 jam tanpa henti bermula 21 hingga 24 Mac 2025.
Siri jelajah Blood Brothers akan terus bergerak ke beberapa lokasi lain sepanjang Ramadan dengan lebih banyak kejutan menanti peminat. Jangan lepaskan peluang merasai kemeriahan jelajah ini dan nantikan tayangan rasmi Blood Brothers di pawagam bermula 10 April 2025!
Ikuti perkembangan terkini serta kandungan eksklusif mengenai siri jelajah dan filem Blood Brothers di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios!