Bilal Indrajaya Sinari Panggung Purnama Fasa Pertama

Seiring dengan terbitnya bulan purnama yang memancarkan sinarnya ke seluruh alam, PanggungPurnama hadir sebagai pentas istimewa yang menyatukan karyawan muzik berjiwa besar dalam satu konsert penuh keindahan dan emosi. Dianjurkan oleh UdaraLaskhar, konsert ini dijadual berlangsung pada 28 September 2025 di lokasi berprestij, Zepp Kuala Lumpur. Sebagai pembuka tirai untuk Fasa Pertama bertemakan ‘Main Kasar’, nama besar dari Jakarta, Bilal Indrajaya diumumkan sebagai penghibur utama atau lebih tepat lagi, ‘peluru perdana’ dalam barisan pemuzik hebat yang bakal menyusul kelak.

Bagi penggemar muzik alternatif dan pop beremosi tinggi, nama Bilal Indrajaya bukanlah asing. Sejak lagu sulungnya, “Biar” dilancarkan pada tahun 2018, beliau telah mengumpul kelompok peminat setia yang menganggap karya-karyanya sebagai suara hati mereka sendiri. Penampilan beliau dalam festival ternama seperti BNI Java Jazz Festival 2024 turut mengukuhkan reputasinya sebagai penyanyi dan penulis lagu yang memiliki kelas tersendiri. Kini, buat julung kalinya, Bilal akan melangkah ke pentas Malaysia sebagai bintang utama dalam Panggung Purnama.

Menurut John Labu, wakil UdaraLaskhar, kehadiran Bilal Indrajaya dalam Fasa Pertama ini adalah satu langkah strategik yang dirancang lama. “Kami memilih Bilal bukan sekadar kerana popularitinya, tetapi kerana auranya yang unik dan karya-karya yang penuh rasa. Ini bukan sekadar konsert ini adalah penghormatan terhadap seni muzik yang jujur dan berjiwa,” jelas beliau. John turut mengumumkan bahawa Fasa Kedua dan Fasa Finale Panggung Purnama akan diumumkan dalam masa terdekat, menjanjikan kejutan dan lebih ramai penghibur hebat yang bakal memeriahkan pentas.

Bilal bukan sekadar bintang yang bersinar di langit Jakarta. Di Malaysia, beliau telah berjaya memaut hati peminat melalui kolaborasi ikonik bersama Noh Salleh menerusi lagu “Niscaya”, serta karya bersama Romantic Echoes seperti “Ruang Kecil” dan “Yang Tercinta” yang menjadi siulan di pelbagai platform digital. John menyifatkan Bilal sebagai ‘bulan’ yang menyinari pentas dan memberi sentuhan mendalam dalam setiap persembahannya. “Kehadirannya di Panggung Purnama bakal membekas di jiwa peminat, menjadi momen yang tidak mudah dilupakan,” tambah John secara puitis.

Bagi Bilal sendiri, yang kini berusia 29 tahun, konsert ini dilihat sebagai satu festival peribadi. Ia adalah peluang istimewa untuk beliau menyapa peminat Malaysia secara langsung, membawakan lagu-lagu yang penuh makna dan mendekatkan lagi jarak emosi antara artis dan pendengar. Dengan latar karier yang bermula dari petikan gitar di bilik kecil ke pentas besar seperti Zepp, penampilannya kali ini menjadi simbol kematangan seni dan kekuatan hubungan dengan peminat Nusantara.

Peminat yang ingin menyaksikan keajaiban malam Panggung Purnama bersama Bilal Indrajaya boleh mendapatkan tiket melalui laman web www.ilassotickets.com. Terdapat lima kategori tiket iaitu Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399), semuanya menawarkan pengalaman tersendiri dalam satu malam penuh keindahan bunyi dan cahaya.

Jangan tunggu lama, anda lepaskan peluang ini ibarat menolak lamaran cinta dari Bilal Indrajaya sendiri. Panggung Purnama bukan sekadar konsert, ia adalah malam yang akan tercatat dalam memori anda sebagai detik istimewa antara seni dan jiwa.