Bella Astillah & Ade Govinda Lancar Lagu “Lebih Indah Berpisah”, Sebuah Perjalanan Keberanian Melepaskan Cinta Demi Kebahagiaan

Penyanyi dan pelakon terkenal Malaysia, Bella Astillah, kembali mewarnai industri muzik dengan single terbaharunya berjudul “Lebih Indah Berpisah”. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan pemuzik tersohor Indonesia, Ade Govinda. Single ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga sebuah kisah tentang keberanian melepaskan demi kebahagiaan yang lebih bermakna.

“Lebih Indah Berpisah” mengisahkan tentang kekuatan hati untuk melepaskan cinta yang tidak lagi dihargai, demi membuka lembaran hidup yang lebih indah. Ade Govinda, selaku pencipta lagu dan penerbit muzik, menyampaikan mesej bahawa perpisahan bukanlah sebuah kegagalan, tetapi satu langkah berani menuju kehidupan yang lebih baik. Menurutnya, lagu ini adalah penghormatan kepada kekuatan hati yang memilih untuk berpisah demi kebahagiaan diri.

Bagi Bella Astillah, lagu ini sangat istimewa dan dekat di hatinya. Beliau berkongsi bahawa proses pemilihan judul lagu ini melalui perbincangan bersama Ade Govinda, di mana mereka sepakat memilih perkataan “indah” sebagai teras utama judul, mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan. Bella juga menekankan bahawa lagu ini ditulis dengan penuh jiwa dan semangat oleh Ade, menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan penuh keikhlasan.

Pengalaman bekerjasama dengan Ade dan pasukannya merupakan satu kenangan yang sangat berharga bagi Bella. Beliau memuji sikap profesionalisme dan penghormatan yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang proses rakaman. Suasana di studio yang positif dan penuh sokongan menjadikan pengalaman rakaman bebas tekanan, malah memberikan semangat kepada Bella untuk memberikan yang terbaik.

Bella berharap lagu ini mampu memberikan kekuatan kepada mereka yang sedang berhadapan dengan kesedihan dalam kehidupan percintaan mereka. Beliau ingin lagu ini diterima dengan baik, bukan sahaja di Malaysia, malah juga di Indonesia, dan menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup mereka. Projek ini juga menjadi platform untuk Bella mencabar diri sendiri, memperbaiki mutu nyanyiannya dan berkembang sebagai seorang artis.

Ade Govinda pula meluahkan rasa kagum terhadap tahap profesionalisme Bella Astillah. Menurutnya, Bella sangat profesional, bukan sahaja dalam nyanyian malah dalam lakonan video muzik juga menunjukkan kesungguhan luar biasa. Beliau menyatakan bahawa tidak banyak wanita yang mampu menunjukkan ketabahan dan komitmen sepertinya, dan Bella memang hebat.

Lagu “Lebih Indah Berpisah” kini boleh didengarkan di semua platform digital. Video muzik rasmi turut dilancarkan di YouTube pada 2 Mei 2025 jam 9 malam. (YouTube)(Threads)