Bank Rakyat peruntuk RM50 juta perkasa graduan UiTM dalam keusahawanan

Ahmad Shahril (kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi (kanan) semasa Majlis Menandatangani MoU.

Ahmad Shahril (kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi (kanan) semasa Majlis Menandatangani MoU.

BANK Rakyat memperuntukkan RM50 juta bagi inisiatif memperkasa graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke arah bidang keusahawanan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Khamis.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kerjasama antara dua pihak berkenaan adalah selaras dengan objektif untuk membangunkan sektor perusahaan mikro di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030).

“Program ini menyediakan kemudahan modal perniagaan menerusi pembiayaan perniagaan Bank Rakyat sehingga RM100,000.

“Ia juga turut merangkumi modul latihan merangkumi kursus keusahawanan, pengurusan perniagaan dan strategi pemasaran serta program latihan inklusif secara ‘hands-on’ bersama syarikat vendor terpilih selama tiga hingga enam bulan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum berkenaan.

Ahmad Shahril menambah, perkara tersebut dilihat sebagai inisiatif dalam membantu kerajaan menangani isu kebolehpasaran graduan dengan memilih keusahawanan sebagai kerjaya.

“Bank Rakyat amat mengalu-alukan dan menghargai komitmen yang diberikan oleh UiTM sebagai rakan kerjasama strategik Bank Rakyat di bawah inisiatif ini yang bertujuan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dan kompetitif.

“Bank Rakyat sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah membangunkan pelbagai program pemerkasaan usahawan yang menyeluruh bagi memastikan setiap golongan usahawan mendapat bantuan dan sokongan yang diperlukan,” jelas beliau.

Sumber