Auto Bavaria Catat Sejarah Raih Anugerah Kelab Kecemerlangan BMW Buat Kali Ke-14 Berturut-Turut

Auto Bavaria, pengedar utama BMW Group di Malaysia, sekali lagi mengukir sejarah apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Kelab Kecemerlangan BMW buat tahun ke-14 berturut-turut – penghargaan tertinggi yang diberikan oleh BMW Malaysia kepada pengedarnya yang paling cemerlang. Pengiktirafan ini diterima semasa Malam Anugerah Pengedar BMW 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan Auto Bavaria sebagai satu-satunya pengedar yang mengekalkan prestasi unggul secara konsisten sejak penubuhan anugerah ini.

Lebih membanggakan, Auto Bavaria juga muncul sebagai pemenang utama malam tersebut dengan membawa pulang 48 anugerah merentasi 12 kategori bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad. Antara pencapaian yang diraikan termasuk prestasi jualan yang memberangsangkan, kualiti perkhidmatan lepas jualan, inovasi pengalaman pelanggan, kepakaran produk serta pencapaian dalam Perkhidmatan Kewangan BMW Group. Kejayaan luar biasa ini mencerminkan komitmen Auto Bavaria untuk menetapkan standard emas dalam setiap aspek pengalaman pelanggan.

“Kami amat berbesar hati menerima Anugerah Kelab Kecemerlangan BMW untuk tahun ke-14 berturut-turut,” ujar Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria. “Ia adalah bukti kesungguhan dan dedikasi penuh pasukan kami yang tidak pernah mengenal lelah dalam memberikan perkhidmatan terbaik. Penghargaan ini juga ditujukan khas buat pelanggan kami atas kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.”

Vi turut menegaskan komitmen Auto Bavaria dalam meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dibina. “Kami akan terus memperkasakan strategi pertumbuhan dan mentakrifkan semula pengalaman mobiliti premium di Malaysia. Dengan pengembangan rangkaian pengedar serta pelancaran bilik pameran Retail.NEXT yang menggabungkan rekaan moden dan pengalaman digital tersendiri, kami juga giat memacu transformasi digital untuk menambah nilai kepada pengalaman pelanggan – daripada acara eksklusif sehinggalah program pemanduan bertaraf sukan permotoran.”

Dengan meletakkan inovasi dan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan, Auto Bavaria bertekad untuk terus menjadi peneraju dalam dunia automotif premium di Malaysia. Rekod pencapaian yang konsisten ini membuktikan reputasinya sebagai pengedar BMW yang unggul dan disanjung tinggi.