Astro terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju utama dalam industri kandungan dan hiburan tanah air menerusi pelancaran musim terbaharu program realiti nyanyian popular, Kilauan Emas 2025. Membawa pendekatan lebih segar dan terbuka, edisi kali ini akan mula ditayangkan pada 16 Ogos 2025, setiap hari Sabtu jam 9 malam menerusi saluran Astro Prima 105.
Berikutan sambutan positif terhadap penganjuran semula pada tahun 2024, musim 2025 hadir dengan pelbagai pembaharuan menarik termasuk penurunan had minimum umur penyertaan kepada 43 tahun. Inisiatif ini bertujuan membuka ruang kepada lebih ramai individu berpengalaman dari kalangan generasi otai untuk tampil menyerlah. Antara penambahbaikan lain termasuk penglibatan juri awam terdiri daripada wartawan serta pelanggan setia Astro, selain elemen naratif yang lebih menyentuh emosi bagi memperkukuh pengalaman tontonan. Semua ini menjadikan Kilauan Emas sebagai platform utama untuk menampilkan potensi terpendam golongan berusia.
Sesi uji bakat yang diadakan pada bulan Mei dan Jun lalu di tiga lokasi utama iaitu Miri, Johor dan Shah Alam menerima sambutan menggalakkan daripada lebih 500 peserta pelbagai latar belakang. Selain kebolehan vokal, ramai antara mereka turut menonjolkan bakat dalam persembahan pentas lain seperti lakonan dan tarian, sekali gus mencerminkan kepelbagaian bakat yang wujud dalam kalangan peserta.
Idlan Zahari selaku Pengurus Saluran Astro Prima menyatakan bahawa musim kali ini menampilkan peningkatan ketara dari segi format dan syarat penyertaan. Beliau menyifatkan Kilauan Emas bukan sekadar program hiburan semata-mata, sebaliknya sebagai jambatan yang menyatukan rakyat menerusi keindahan muzik, budaya dan nilai-nilai yang dikongsi bersama.
Beliau turut meluahkan rasa teruja apabila melihat ramai peserta datang daripada keluarga yang mempunyai latar belakang seni. Hal ini menurut beliau membuktikan bahawa kecintaan terhadap dunia seni sentiasa hidup dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Setiap individu hadir dengan cerita unik, dan Kilauan Emas terus menjadi pentas untuk membina semangat dan keyakinan diri dalam kalangan mereka yang masih berjiwa seni.
Seramai 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun telah terpilih untuk musim ini, antaranya ialah Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay. Kesemua mereka membawa keistimewaan tersendiri dalam merebut gelaran juara.
Program ini akan dikemudi oleh selebriti versatil Elly Mazlein sebagai hos utama, dibantu oleh Joey Daud yang turut bertindak sebagai pengacara belakang pentas dan pengendali Diari Kilauan Emas. Barisan juri pula terdiri daripada primadona tanah air Erra Fazira yang dikekalkan sebagai juri tetap, bersama pelawak terkenal Roy Azman dan penyanyi bersuara lunak Ning Baizura sebagai juri baharu. Penonton juga bakal disajikan dengan segmen Spotlight yang dihoskan oleh Zarul Husin selepas konsert utama, bersiaran pada jam 11.30 malam di Astro Prima, manakala Keanu Azman dan Sarah Karmila pula bertugas sebagai hos bagi siaran Live Plus.
Kilauan Emas 2025 juga boleh ditonton secara fleksibel menerusi perkhidmatan On Demand melalui Astro Ultra atau Ulti Box, aplikasi Astro GO serta sooka.