Astro, peneraju media dan hiburan di Malaysia, telah berjaya mengadakan acara ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ dengan penuh keceriaan di tiga lokasi utama sepanjang bulan Februari, iaitu Masjid Sri Sendayan (Negeri Sembilan), Masjid Murtadha Dakwah Centre (MADAD, Kedah), dan Masjid Sultan Ismail Petra (Kelantan). Acara ini berlangsung dengan sambutan hangat dari 1 hingga 14 Februari dan menarik lebih daripada 10,000 pengunjung yang memeriahkan persekitaran masjid serta mempererat hubungan sesama masyarakat.
Diadakan dengan tema ‘Meriah Lain Macam’, program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat Ramadan dan mempereratkan ukhuwah sesama umat Islam melalui pelbagai aktiviti yang penuh manfaat. Antara aktiviti utama yang disediakan di setiap lokasi adalah seperti:
- Agihan Makanan: Program memberi manfaat kepada komuniti setempat dengan pengagihan makanan kepada mereka yang memerlukan.
- Sesi Ramah Mesra: Pengunjung berpeluang beramah mesra dengan selebriti dan personaliti radio Astro yang turut serta dalam acara ini.
- Pertandingan dan Aktiviti Kanak-Kanak: Aktiviti seperti mewarna, tulisan khat, memanah, serta cabutan bertuah yang melibatkan penyertaan orang ramai.
- Persembahan Kesenian Islam: Persembahan muzik dan lagu-lagu bermakna oleh artis jemputan yang menjadikan suasana lebih meriah dan berkesan.
Jelajah Menghimpunkan Ribuan Pengunjung
- Masjid Sri Sendayan (Negeri Sembilan):
Acara di Negeri Sembilan menyaksikan hampir 3,000 pengunjung yang hadir, dengan selebriti seperti Sherry Alhadad, Zizan Razak, Nadhir Nasar, dan Meerqeen turut serta dalam pelbagai aktiviti. Program ini turut diwarnai dengan persembahan oleh Mawi dan kumpulan UNIC yang menyampaikan lagu-lagu kerohanian. - Masjid Murtadha Dakwah Centre (MADAD, Kedah):
Program di Kedah menyaksikan hampir 8,000 pengunjung yang diserikan dengan pelbagai aktiviti, termasuk sesi Tazkirah Malam Jumaat bersama Alif Satar dan pendakwah terkenal. Persembahan kerohanian oleh Putera Muhammad dan Rabbani turut menjadi daya tarikan pengunjung. - Masjid Sultan Ismail Petra (Kelantan):
Program berakhir di Kelantan dengan acara ‘Battle KAFA: Geng D.U.I.T Challenge’, yang melibatkan kanak-kanak dalam pertandingan ilmu agama serta keseronokan bersama keluarga. Acara ini turut diserikan oleh selebriti seperti Zizan Razak dan Aiman Ameer, serta persembahan daripada alumni Gegar Vaganza, Fairuz Selamat.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, Astro Kasih telah menyalurkan bantuan melalui 300 pek prihatin yang mengandungi barangan keperluan asas untuk mereka yang memerlukan di ketiga-tiga lokasi program. Astro juga menyumbangkan 300 beg sekolah kepada Yayasan Munarah bagi membantu anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan memulakan sesi persekolahan dengan lebih semangat.
Untuk meraikan Ramadan dan Raya, Astro juga melancarkan kempen ‘Langgan dan Menang Macam-Macam’ dengan hadiah menarik bernilai sehingga RM200,000. Pelanggan yang melanggan Astro One di outlet terpilih berpeluang memenangi hadiah-hadiah istimewa, termasuk televisyen, telefon bimbit, dan baucar membeli-belah. Pelanggan sedia ada turut berpeluang untuk menyertai kempen ini dengan menaik taraf pakej Astro One atau menambah Astro Fibre.