Artis Dari Malaysia, Indonesia & Brunei Bergabung Dalam Projek “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”

Dalam semangat meraikan muzik tanpa sempadan, tiga artis muda yang semakin menyerlah di Asia Tenggara iaitu Nadhif Basalamah dari Indonesia, Aisha Retno dari Malaysia dan Aziz Harun dari Brunei telah bekerjasama menghasilkan single terbaru berjudul Kota Ini Tak Sama Tanpamu. Lagu penuh emosi ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.

Kota Ini Tak Sama Tanpamu dicipta bersama oleh Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno pada tahun 2024. Kolaborasi ini melahirkan sebuah karya yang sarat dengan perasaan mendalam. Kalimat kota ini tak sama tanpamu membawa maksud bahawa sesebuah kota bukan hanya sekadar latar tempat tetapi turut mencerminkan perasaan dan perjalanan hidup seseorang. Sebuah kota boleh terasa suram atau penuh warna bergantung pada siapa yang berada di sisi ketika itu. Walaupun jauh di kota perantauan, kehadiran insan yang memahami serta menemani memberikan rasa selesa dan keterikatan. Hal ini menggambarkan bahawa rumah bukanlah semata soal lokasi tetapi tentang orang yang sentiasa ada bersama.

Lagu ini tercipta secara spontan ketika kunjungan singkat Nadhif ke Kuala Lumpur sempena Hari Raya Aidiladha tahun lalu. Dalam suasana santai di studio Faithful Music beliau bertemu dengan Aisha dan Aziz tanpa sebarang perancangan lalu mereka mula menulis lagu tersebut. Beberapa bulan kemudian Aziz dan Aisha terbang ke Bali untuk bertemu dengan Petra Sihombing iaitu penerbit terkenal dari Indonesia bagi merakam versi awal lagu ini. Rakaman akhir kemudiannya disempurnakan secara berasingan di negara masing-masing sebelum digabungkan oleh Petra.

Petra Sihombing bukanlah nama asing dalam industri muzik Indonesia. Beliau merupakan penyanyi, penulis lagu dan penerbit yang pernah bekerjasama dengan artis seperti Bernadya, Isyana Sarasvati dan Raisa. Sentuhannya yang moden, segar serta penuh emosi menjadikan Kota Ini Tak Sama Tanpamu sebuah karya pop yang istimewa dari awal hingga akhir.

Aziz Harun berkongsi bahawa lagu ini membuatkan beliau teringat kenangan indah bersama rakan-rakan rapat di Kuala Lumpur ketika mereka tidak mahu hari itu berakhir. Sebagai seseorang yang baru menetap di kota ini, beliau merasakan Kuala Lumpur mempunyai pesona istimewa. Ketika Nadhif datang dengan idea untuk menulis tentang kota itu bagi pasangannya yang kini merupakan tunang, Aziz memahami betul maksud yang ingin disampaikan. Proses rakaman di Ubud, Bali bersama Petra turut menjadi pengalaman menyeronokkan terutama ketika mereka keluar sebentar untuk berehat dan kembali semula ke studio mendapati Petra telah menyiapkan hampir keseluruhan gubahan muzik termasuk solo gitar.

Nadhif Basalamah pula menyatakan bahawa lagu ini bermula dengan suasana santai dan natural. Beliau pada awalnya hanya mahu menghabiskan masa di Kuala Lumpur sambil menulis lagu bersama rakan baharu. Namun idea kecil di studio itu berkembang menjadi sebuah karya yang akhirnya menghubungkan tiga negara. Beliau turut berasa bersyukur kerana Aisha dan Aziz dapat membawa emosi serta warna mereka tersendiri ke dalam lagu ini.

Aisha Retno menambah bahawa bekerjasama dengan Nadhif dan Aziz terasa seperti bertemu rakan lama walaupun ini merupakan kali pertama mereka berkolaborasi. Lirik lagu ini menurutnya memiliki rasa manis dan sedikit bersahaja apabila seseorang cuba memujuk untuk menyambung cuti di kota tersebut. Beliau percaya ramai yang pernah melalui perasaan seperti itu, ketika jatuh cinta dan tidak mahu masa berharga itu berakhir.

Dengan lirik yang menyentuh hati, harmoni vokal yang lembut serta sentuhan produksi pop kontemporari, Kota Ini Tak Sama Tanpamu berjaya menangkap rasa rindu yang menjadikan sesebuah kota terasa berbeza tanpa insan istimewa di sisi. Lagu ini kini boleh didengarkan dan dimuat turun di Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer serta semua platform penstriman digital utama.