Selepas kejayaan single pertamanya, Nukilanmu, pemuzik berbakat Arish Mikael kembali dengan lagu terbarunya, Antara Puisi dan Rautmu. Lagu terbitan Luncai Emas ini mengangkat tema cinta dan jiwa seni, mencerminkan kejujuran seorang seniman dalam menginterpretasi keindahan.
Berasal dari Johor dan dibesarkan dalam keluarga sederhana yang mencintai seni, Arish telah terinspirasi oleh ikon seperti P. Ramlee dan kumpulan Search. Bermula dengan drum sebagai alat muzik pertamanya, kini beliau meneroka dunia nyanyian dan penciptaan lagu.

Menurut Arish, lagu ini dicipta sejak zaman persekolahan dan bermula sebagai demo di YouTube sebelum mendapat sentuhan profesional daripada Hidayat Pitahati, Izzat Ramayan, dan Faliq Mohd. “Proses produksi ini mengajar saya banyak perkara, terutama dalam mengembangkan bunyi yang lebih matang,” katanya.

Tanpa meletakkan harapan yang tinggi, Arish berharap lagu ini dapat diterima baik dan memberi inspirasi kepada pendengar. Antara Puisi dan Rautmu akan dilancarkan di semua platform digital pada 21 Februari 2025, bersama visualizer di YouTube.