Penyanyi berbakat besar, Amir Masdi, akhirnya memilih untuk mendedahkan sedikit sisi peribadinya kepada peminat. Sekian lama mengunci kisah hati, Amir tampil dengan lagu terbaharunya berjudul “Bakal Kekasih”, yang bukan sekadar karya muzik tetapi juga luahan emosi mengenai seseorang yang pernah mengetuk pintu hatinya. Lagu ini menjadi ruang buat Amir berkongsi rasa tentang fasa indah ketika seseorang mula jatuh cinta dan menyimpan harapan untuk menjadikan insan itu sebagai pasangan hidup.
Menurut Amir, 29, atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi, “Bakal Kekasih” merupakan hasil ciptaan bersama dengan komposer tersohor tanah air, Edry Abdul Halim. Pada awalnya, lagu tersebut digarap dalam nada ringan dan menyeronokkan, namun atas cadangan Edry, mereka memperdalamkan naratifnya menjadi lebih menyentuh hati bukan sekadar tentang suka-suka, tetapi mengenai impian untuk bersama seseorang yang benar-benar bermakna. Bagi Amir, mesej lagu ini bersifat universal dan dekat dengan pengalaman ramai, sama ada mereka yang masih bujang atau yang telah berumahtangga.
Apa yang menjadikan “Bakal Kekasih” lebih istimewa ialah ia merupakan percubaan pertama Amir dalam genre rock and roll. Sebelumnya, Amir dikenali dengan lagu-lagu berentak balada dan pop seperti “Nur Cinta”, “Calar” dan “Langit Biru”. Namun dengan pelancaran single keempat daripada album “A.M P.M (Side A.M)” ini, Amir menyuntik nafas baru ke dalam kerjaya seninya. Katanya, lagu ini sebenarnya telah lama disimpan dalam telefonnya sejak tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hanya diberi nyawa semula ketika proses akhir penghasilan album.
Ketika ditanya mengenai proses penghasilan lagu tersebut, Amir berkata beliau sendiri mencadangkan kepada Edry untuk mencipta sebuah lagu rock and roll sebagai pelengkap kepada album itu. Setelah mendengar melodi asal yang disimpan Amir, Edry terus menyatakan keyakinannya terhadap potensi lagu tersebut. Hasilnya, lahirlah “Bakal Kekasih” sebuah lagu yang penuh tenaga, bersahaja dan menyegarkan.

Selain menjadi medium untuk meluahkan perasaan, Amir turut berharap lagu ini dapat membantu mereka yang sedang menyimpan rasa terhadap seseorang tetapi belum berani menyatakannya secara langsung. Dengan gaya lirik yang terus terang dan muzik yang ringan, Amir mahu “Bakal Kekasih” menjadi lagu tema buat mereka yang sedang jatuh cinta dalam diam.
Menambahkan lagi tarikan, video muzik rasmi “Bakal Kekasih” telah dirakamkan di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom, pada Februari 2024. Menampilkan konsep remaja yang bebas dan ceria ala “High School Musical” dan “Uptown Girl”, video ini menggambarkan suasana muda yang penuh semangat dan nostalgia. Amir turut menyatakan bahawa visual tersebut menggambarkan tenaga positif yang ingin disampaikan kepada peminat melalui lagu ini.
Dengan suntikan elemen klasik yang semakin jarang kedengaran dalam industri muzik Malaysia, “Bakal Kekasih” dijangka memberikan kepuasan kepada peminat lama genre rock and roll, sambil memperkenalkan dimensi baharu dalam muzik Amir. Beliau mengakui sangat teruja dengan kelainan yang dibawakan dan berharap lagu ini mampu membuka lembaran baru dalam perjalanan seninya.
Single “Bakal Kekasih” kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik digital. Sementara itu, video muzik rasmi juga sudah boleh ditonton menerusi saluran YouTube AR United Music di pautan https://youtu.be/zE_0Q2x7NF8?si=ulxcXpAEtGh49r2B.