IPOH – Peniaga dalam talian kini akan dapat mengemas kini produk jualan masing-masing dengan lebih mudah menerusi aplikasi kimon.my.
Pengarah urusan Smart Success Team (SST) Network, Khairul Rizal Zulkafli berkata, aplikasi itu membantu peniaga mengawal selia produk masing-masing secara automatik termasuk melibatkan pengiraan stok.
“Aplikasi ini adalah penyelesaian bagi peniaga yang selalu menghadapi masalah untuk kemas kini stok, kuantiti atau yang tidak sempat berbuat demikian.
“Dengan kimon.my produk akan dikemas kini secara automatik dan takkan timbul lagi isu tak sempat tengok stok kerana semua perkara akan diselaraskan secara automatik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Online Digital Revolusi Teknik My Ads dan Pelancaran Kimon.my yang turut dihadiri lebih 150 peserta termasuk usahawan di Perak hadir di sini hari ini.
Sementara itu, Khairul Rizal berharap lebih ramai peniaga khususnya peniaga Melayu dapat menyertai program berkenaan dan sekali gus menggunakan aplikasi kimon.my sebagai medium perniagaan atas talian masing-masing.
“Niat kita adalah untuk tarik orang ramai terutama peniaga Melayu gunakan aplikasi ini. Kita harap lebih ramai yang dapat menyertainya pada masa hadapan,” katanya