Apakah ciri-ciri calon penghuni syurga?

SEMUA kehidupan pasti ada pengakhiran. Begitu juga manusia, makhluk ALLAH SWT yang hidup akan menemui pencipta-Nya apabila tiba masanya.

Namun, tiada siapa yang tahu bagaimana pengakhiran hidup kita nanti.

Seandainya ditanya soalan itu, ramai yang menjawab untuk mati dalam husnul khatimah dan menuju ke syurga.

Kerana apa? Syurga ini indah sehingga tiada akal yang mampu mengungkapkannya. Bahkan tiada mata yang pernah melihat isinya, tiada telinga yang pernah mendengar tentangnya hingga langsung tidak terdetik dalam hati sekalipun.

Bagaimana kita hendak ke syurga? Apakah ciri-ciri calon penghuni syurga?

Daripada Abu Hurairah RA, seorang Arab Badwi dari pedalaman bertemu Rasulullah SAW kemudian dia berkata: “Wahai Rasulullah, ajarkan kepada saya perbuatan yang sekiranya saya melaksanakannya, akan membawa diri saya ke syurga.”

Rasulullah SAW kemudian berkata: “Beribadah kepada ALLAH SWT, dirikan solat wajib, bayarlah zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.”

Orang Arab Badwi itu berkata: “Demi ALLAH SWT yang menguasai diri saya, saya tidak akan mengerjakan lebih daripada ibadat-ibadat itu.”

Semasa orang Arab Badwi itu berlalu pergi, Rasulullah SAW berkata: “Siapa yang ingin melihat penghuni syurga, lihatlah orang itu.” (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, kita dapat lihat segala amalan yang dilakukan ketika di dunia dahulu membuahkan hasil ‘tuaian’ yang keuntungannya berlipat kali ganda!

Barangkali ada yang mahu berubah tetapi berasa malu dan tidak sanggup meninggalkan dunia yang selama ini menjadi pegangan kita.

Ketahuilah bahawa tatkala hati kita dijentik untuk berubah, itu tandanya iman masih di dada.

Berterima kasihlah pada ALLAH SWT kerana menjentik rasa berdosa di dalam hati kita.

Jadi sukarkah mahu ke syurga? Jawapannya tidak, jika mujahadah untuk kita berhijrah daripada kejahatan kepada kebaikan.

Tepuk dada, tanya iman. Semoga ia memberi manfaat buat kita.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *