Antara nazar, janji dan sumpah

Antara nazar, janji dan sumpah

  • April 19, 2019
  • 0 comments

NAZAR, janji dan sumpah merupakan istilah yang begitu dekat dengan kita sejak dari dulu lagi.

Masakan tidak, masyarakat kita begitu mudah bersumpah dan suka bernazar. Malah, ada juga yang gemar berjanji pelbagai perkara.

Lazimnya, golongan ini bernazar, bersumpah dan berjanji kerana ingin mencapai hajat tertentu.

Ya, memang mudah untuk melafazkan janji, sumpah dan nazar. Namun, untuk melunaskannya tidak semudah itu.

Ia memerlukan komitmen dan usaha yang tinggi. Barangkali juga, ada sesetengah yang terpaksa melaburkan wang ringgit untuk menunaikan apa yang sudah dilafazkan sebelum ini.

Hal tersebut membuatkan hati orang yang berjanji, bernazar mahupun bersumpah itu berat untuk melunaskan segala yang diucapkannya. Tidak kurang juga mereka yang diuji untuk menunaikan janji, sumpah dan nazar kerana kekangan tertentu.

Satu lagi kelompok lain pula alpa untuk menunaikan janji, sumpah dan nazar tatkala ALLAH SWT sudah mengabulkan apa yang diimpikan. Ini pun dikira ujian juga.

Dalam hal ini, apa pandangan Islam mengenai perkara ini? Bolehkah sekiranya nazar, janji dan sumpah ini dibatalkan jika ada sebab-sebab tertentu?

Perbezaan

Bagi mengupas topik ini, Sinar Islam mewawancara Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

DR WAN SALIM

DR WAN SALIM

Jelas Dr Wan Salim, terdapat perbezaan antara janji, sumpah dan nazar dalam konteks Islam.

Tegas beliau, janji mesti ditepati, manakala nazar dan sumpah pula boleh terbatal atau dibatalkan dengan syarat-syarat tertentu.

“Janji mesti ditepati sebab orang yang memungkiri janji itu menunjukkan tanda-tanda orang hipokrit atau munafik. Jika tidak ditunaikan, kemungkinan ia boleh menjejaskan keimanan seseorang,” jelas beliau.

Rasulullah SAW bersabda: “Tanda-tanda munafik ada tiga iaitu apabila berkata, dia dusta, apabila berjanji, dia mungkir dan apabila percaya, dia khianat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun, Dr Wan Salim berkata, nazar pula melibatkan janji kita dengan ALLAH SWT.

“Asal kepada perkara itu adalah sunat atau harus seperti puasa sunat, menunaikan umrah dan membuat kenduri. Bila kita bernazar, maka ia menjadi wajib kerana kita sudah terikat dengan nazar itu.

“Contoh nazar, katakan seseorang itu hendak puasa tiga hari jika beliau berjaya peroleh tender dihajati. Maknanya, beliau terikat dengan perkara itu dan wajib ke atasnya untuk menunaikannya selepas apa yang dihajati tercapai,” katanya.

Jelas beliau, menunaikan nazar menunjukkan sifat-safat orang yang beriman. Ia sebagaimana dalam firman ALLAH SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan akan minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur. Ia adalah mata air (di dalam syurga) yang diminum oleh hamba-hamba ALLAH dan mereka dapat memancarkannya dengan sebaik-baiknya. Mereka memenuhi nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.” (Surah al-Insan: 5-7)

Pilih nazar mudah lunas

Begitupun, Dr Wan Salim turut mengingatkan umat Islam agar memilih nazar yang mudah dilunaskan.

Jangan mempermainkan nazar, janji dan sumpah yang dibuat. -GAMBAR HIASAN.

Jangan mempermainkan nazar, janji dan sumpah yang dibuat. -GAMBAR HIASAN.

Beliau berkata, Nabi SAW tidak suka orang Islam bernazar dengan perkara yang sukar untuk mereka tunaikan.

“Kalau sudah bernazar, berusahalah sedaya upaya untuk menunaikannya. Tidak menunaikan nazar dalam keadaan mampu adalah berdosa.

“Namun syarak tidak pula menyatakan ia satu dosa yang besar. Cuma dinasihatkan kepada sesiapa yang ingin bernazar supaya memilih nazar daripada amalan yang mudah dilunaskan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan: “Kalau nazar ini untuk berbuat maksiat kepada ALLAH maka tak perlu ditunaikan nazar itu, sebaliknya, perlu menebus nazar dengan kafarah.”

Apa itu kafarah? Jelas Dr Wan Salim, jika nazar tidak dapat ditunaikan atas sebab-sebab tertentu, orang yang bernazar perlu melakukan kafarah berikut seperti yang dinyatakan di dalam Surah al-Ma’idah, ayat 89:

1. Memberi makan kepada 10 orang miskin; atau

2. Memberi pakaian kepada orang miskin; atau

3. Memerdekakan seorang hamba (jika ada pada zaman ini); atau

4. Berpuasa tiga hari (tidak semestinya berturut-turut).

Sumpah

Menunaikan janji bukan sahaja satu kewajipan yang perlu dilaksanakan malah, ia boleh menggembirakan hati orang lain. -GAMBAR HIASAN.

Menunaikan janji bukan sahaja satu kewajipan yang perlu dilaksanakan malah, ia boleh menggembirakan hati orang lain. -GAMBAR HIASAN.

Bagaimana pula makna sumpah? Dr Wan Salim membahagikan sumpah kepada dua kategori. Pertama, sumpah sebenar manakala satu lagi pula melibatkan sumpah yang ‘lagha’ (sia-sia).

“Sumpah yang ‘lagha’ ini adalah kebiasaan kita. Ia sebagaimana kebiasaan dalam kalangan orang Arab yang selalu menyebut lafaz sumpah seperti ‘Wallahi’, ‘Wabillahi’ atau ‘Watallahi’. Mereka menggunakan perkataan itu untuk menekankan suatu perkara, bukannya bersumpah.

“Maka, ia adalah tidak wajib (dilunaskan) sumpah itu. Namun, jika seseorang itu benar-benar bersumpah dalam erti kata yang sebenarnya, maka, ia jadi wajiblah (ditunaikan) perkara dan sumpah itu. Jika tidak dilaksanakan, maka berdosa (hukumnya),” jelas beliau.

Sama seperti nazar, Dr Wan Salim berkata, jika sumpah itu tidak dapat ditunaikan, individu berkenaan perlu membayar kafarah.

Seperkara lagi, katanya: “Jika sumpah yang kita lafazkan itu bercanggah dengan hukum syarak atau boleh memudaratkan kita atau keluarga, disunatkan untuk membatalkannya dengan membayar kafarah tadi.”

Kewajipan

Selain itu, Sinar Islam turut mendapatkan pandangan seorang pendakwah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul.

IMAM MUDA FAKHRUL

IMAM MUDA FAKHRUL

Beliau menjelaskan, meskipun nazar, janji dan sumpah itu berbeza dari segi konteksnya, namun, ketiga-tiganya adalah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

Ujar beliau, jika sengaja tidak ditunaikan, maka haram dan berdosa.

“Di antara ketiga-tiga perkara itu, janji tidak terikat dengan kafarah jika ia tidak dapat dilaksanakan walaupun wajib ditunaikan.

“Janji merupakan pernyataan kesediaan untuk melakukan sesuatu kepada makhluk. Ia berbeza dengan nazar dan sumpah yang kedua-duanya terikat dengan kafarah,” ujar beliau.

Bagaimana jika seseorang itu tidak bernazar tetapi berjanji dengan ALLAH SWT? Jawab Imam Muda Fakhrul: “Jika berjanji kepada ALLAH, ada sesetengah ulama mengatakan ia mengambil hukum nazar.”

Beliau turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang suka bernazar untuk diberi nikmat.

Menjelaskan lebih lanjut, agamawan itu berkata, para ulama mengatakan nazar yang muqayyad iaitu nazar jika diberi nikmat atau dihindarkan musibah adalah makruh.

Ia berdasarkan hadis Nabi SAW: “Tidak usahlah kamu bernazar kerana nazar tidak dapat mempengaruhi takdir sedikit pun. Sesungguhnya ia berpunca daripada kebakhilan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, ujar beliau, jika seseorang telah bernazar maka wajib ke atas individu itu untuk melaksanakannya.

“Namun, katakan ada darurat tidak dapat melaksakan nazar seperti kematian. Maka, warisnya wajib melaksanakannya bagi pihak orang yang bernazar. Perkara ini pernah berlaku ketika zaman Rasulullah SAW,” katanya.

Dari Ibnu Abbas RA, katanya: “Sa’ad bin ‘Ubadah pernah meminta fatwa kepada Rasulullah SAW tentang nazar ibunya yang telah meninggal tetapi belum sempat ditunaikannya. Maka, sabda Rasulullah SAW: “Bayarlah olehmu atas namanya.” (Riwayat Muslim)

Kepada satu soalan, Imam Muda Fakhrul berkata: “Jika nazar itu di luar kemampuan waris, maka, hendaklah ditunaikan kafarah nazar iaitu memberi makan kepada 10 orang fakir miskin sehingga kenyang atau memberi pakaian kepada mereka atau jika tidak mampu hendaklah berpuasa selama tiga hari.”



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge