SEPANJANG Ramadan, kebanyakan masjid menyediakan hidangan untuk berbuka puasa.
Kebiasaannya, juadah ringan seperti kurma dan air disediakan ketika berbuka, sebelum semua jemaah bersiap untuk menunaikan solat Maghrib.
Usai solat, barulah mereka menjamah hidangan berat.
Dalam perkara itu, adakah ia lebih afdal? Bagaimana jika kita makan berat dahulu kemudian mendirikan solat Maghrib? Yang mana satu patut dahulukan.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah manusia itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka.” (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis itu, antara amalan sunah adalah menyegerakan berbuka sebaik sahaja dipastikan bahawa matahari sudah terbenam.
Dalam satu riwayat daripada Anas bin Malik RA, beliau menyatakan: “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab, kemudian baginda mendirikan solat.”
Bagaimanapun, dalam isu mendirikan solat ketika makanan telah terhidang, terdapat beberapa riwayat yang menyebut berkaitan hal ini.
Sabda Rasulullah SAW: “Tidak sempurna solat dengan keberadaan makanan (yang telah terhidang) dan begitu juga tidak sempurna solat bagi mereka yang menahan air kecil dan air besar.” (Riwayat Muslim)
Implikasi hukumnya adalah makruh solat dalam keadaan makanan telah dihidangkan dan begitulah juga ketika dalam keadaan menahan buang air kecil atau besar.
Menurut Imam al-Nawawi: “Hadis-hadis sebegini menunjukkan kepada kemakruhan solat dengan adanya makanan disediakan bagi mereka yang ingin makan. Ini disebabkan akan hilangnya kesempurnaan khusyuk serta hadirnya perkara-perkara yang menyibukkan hati.”
Justeru, berdasarkan kepada nas dan hujahan tersebut, dapat disimpulkan bahawa jika juadah berbuka telah dihidangkan, hendaklah seseorang itu menyelesaikan makan berbuka terlebih dahulu dan kemudian barulah menunaikan solat Maghrib.
Ia supaya jiwanya lebih tenang dan tidak terganggu untuk mendirikan solat Maghrib.
Namun, jika mengambil kira kepada suasana berbuka di masjid-masjid pada hari ini yang berbuka dengan juadah yang ringan dahulu, ia sebenarnya tidak bercanggah dengan syariat.
Bahkan, lebih afdal kerana mengambil sunah berbuka puasa segera dan dapat juga menunaikan solat secara berjemaah dalam tempoh yang awal.
Apapun, diingatkan agar kita tidak berlebihan ketika berbuka puasa.
Keadaan perut yang penuh akan melemahkan badan seseorang untuk beribadah.
Lebih-lebih lagi untuk mendirikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih.
Bersederhanalah dalam makan dengan mengikut kadar yang perlu bagi membantu mencapai kekuatan untuk beribadah, bukannya bertambah malas dan culas dalam beribadah.
(Sumber: Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-125: Makan Berat atau Solat Maghrib Dulu?, Laman Web Rasmu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)