Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Zakri Khir berkata, perlindungan tersebut bertujuan membantu pesakit berdepan dengan cabaran kos rawatan tinggi.
“Peningkatan kos perubatan menyebabkan mereka yang didiagnos kanser berdepan kesukaran membuat keputusan sulit dalam memberi peluang untuk melawan penyakit ini,” katanya pada majlis pelancaran Perlindungan Kanser Allianz di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengurusan Jualan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Linda Lor dan Pengurus Cawangan Seremban General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Julia Wong.
Beliau berkata, sebanyak empat pelan ditawarkan melalui Perlindungan Kanser Allianz kepada mereka yang didianogsis penyakit berkenaan.
“Empat pelan yang ditawarkan adalah Pelan 125 untuk jumlah yang diinsuranskan sebanyak RM125,000, Pelan 250 (RM250,000), Pelan 375 (RM375,000) dan Pelan 500 (RM500,000),” katanya.
Menurutnya, Perlindungan Kanser Allianz juga memudahkan pemegang polisi mempunyai pilihan ketika mendapatkan rawatan perubatan.
“Secara mutlaknya kami memberikan mereka kuasa memilih pelan yang paling sesuai,” katanya.
Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan sekurang-kurangnya 60 peratus kes kanser dikesan di peringkat ketiga dan keempat.
Laporan Pemerhatian Kanser Global 2018 pula menjelaskan menunjukkan terdapat 43,837 kes kanser baharu di Malaysia pada tahun lepas.
Dalam pada itu, Linda berkata, turut ditawarkan pelan pilihan Jumlah Sekaligus Amaun yang diinsuranskan.
“Pakej ini terbahagi kepada perlindungan A dan B atau Manfaat Rawatan Perubatan Luar Negara (dengan perlindungan B sahaja).
“Untuk perlindungan B, tempoh indemniti 36 bulan membolehkan pesakit mendapatkan pandangan kedua,” katanya.
Tambahnya, pelan berkenaan turut menawarkan pemegang polisi dengan Had Tahunan Manfaat Rawatan Perubatan Luar Negara sehingga ASS$2 juta (RM8.23 juta) dan Had Keseluruhan Manfaat Rawatan Perubatan Luar Negara sehingga AS$4 juta (RM16.4 juta).