BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyasarkan peningkatan pertumbuhan sebanyak RM800 juta tahun ini, dipacu oleh pelancaran produk Al-Awfar baharu yang di pertingkatkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam menyasarkan untuk menarik 230,000 pelanggan baharu pada tahun ini.
“Sejak diperkenalkan 10 tahun lalu, Al-Awfar telah melahirkan 23 jutawan dan sehingga kini, menerima sambutan amat memberangsangkan.
“Kami mencapai rekod prestasi baik dengan saiz dana berjumlah RM2.45 bilion iaitu sebanyak 771,496 akaun.
“Berdasarkan sambutan memberangsangkan ini, kami memutuskan untuk menambah baik produk ini dengan memperbaharui struktur hadiah cabutan dan meningkatkan jumlah nilai hadiah dari RM10 juta kepada lebih RM14 juta.
“Dengan kata lain, kami dapat mencari lebih ramai pemenang dan menawarkan hadiah lebih lumayan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau melancarkan Al-Awfar baharu sempena ulang tahun ke-10 produk tersebut di Kuala Lumpur pada Selasa.
Al-Awfar adalah akaun pelaburan berisiko rendah berdasarkan konsep Mudarabah. Dana Al-Awfar dilaburkan dalam portfolio Pembiayaan Perumahan dan Aset Tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.
Al-Awfar tidak terhad kepada individu, malah persatuan, dan badan agama juga layak membuka akaun itu.