PENGEMBANGAN berterusan dalam kegiatan ekonomi pada tahun ini dijangka berlaku walaupun pada kadar yang lebih rendah berbanding 2022, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Oleh itu, kelesuan dalam pasaran pekerja (kekurangan dalam permintaan terhadap pekerja berbanding dengan bekalan pekerja yang ada dalam ekonomi) dijangka terus berkurangan, disokong oleh momentum pemulihan guna tenaga yang terus kukuh, katanya dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari (TEM) 2022.
Bagaimanapun katanya, keadaan pasaran pekerja Malaysia masih agak jauh daripada kesesakan (pasaran pekerja dikatakan sesak, dengan pengangguran yang rendah).
“Secara khususnya, masih terdapat sedikit tahap kekurangan penggunaan, memandangkan penyertaan tenaga kerja yang tinggi, serta sedikit baki pekerja yang masih berada di luar tenaga pekerja akibat COVID-19 (iaitu, tenaga kerja ‘berpotensi’).
“Hal ini disokong sebahagiannya oleh kemasukan semula pekerja asing secara beransur-ansur yang dijangka meredakan baki kekurangan pekerja,” katanya.
Menurut BNM, terdapat lagi ruang untuk gaji dan upah dan oleh itu, pendapatan pekerja Malaysia untuk meningkat sebelum memberikan tekanan yang ketara ke atas harga.
“Malah, nisbah Pampasan Pekerja (COE) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun pada 2021 kepada 34.8 peratus, yang merupakan peralihan arah trend yang diperhatikan sebelum pandemik (2020: 37.1 peratus; 2019: 35.9 peratus).
Selain itu, katanya pemulihan yang tidak sekata terus memberikan kesan kepada kumpulan yang mudah terjejas seperti wanita, belia dan pekerja berkemahiran rendah.
Sementara itu, BNM berkata, bagi menyokong pertimbangan dasar monetari, pandemik Covid-19 menyebabkan perlunya pengembangan alat pengawasan bank dalam menilai keadaan pasaran pekerja.
Katanya, penilaian yang lebih komprehensif dan terperinci tentang keadaan pasaran pekerja keseluruhan menyumbang kepada usaha menyokong keputusan dasar monetari berasaskan bukti.
“Walaupun dasar monetari terutamanya alat kitaran balas, ia sangat bergantung kepada dasar struktur, yang memberi kesan kepada keupayaan ekonomi untuk menghadapi kejutan.
“Pemulihan yang mampan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk bertahan apabila dasar monetari terus disokong oleh pembaharuan struktur yang saling melengkapi,” menurut bank pusat itu.
Katanya pandemik Covid-19 merupakan titik perubahan yang penting dan suatu peluang untuk menangani isu struktur yang mengekang pasaran pekerja Malaysia sejak sebelum krisis.
Katanya, ini termasuk kebergantungan yang berlebihan pada model pengeluaran berkos rendah, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi yang rendah dan ketidakpadanan kemahiran yang ketara.
“Jika tidak ditangani, isu-isu ini akan terus mengekang tahap upah dan meningkatkan kesan negatif kejutan seperti Covid-19 kepada pendapatan isi rumah,” katanya.
Oleh itu, BNM berkata, dasar ekonomi perlu menuju ke arah mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi melalui pelaburan berkualiti, membangunkan tenaga kerja yang dinamik dan berkaliber tinggi, mempercepat penggunaan teknologi dan pendigitalan serta mengukuhkan sistem perlindungan sosial.
“Akhirnya, kita perlu memastikan bahawa keuntungan ekonomi membolehkan pekerja memperoleh upah yang setimpal,” katanya.
Jelasnya, yang utama, perkaitan antara upah dengan produktiviti mesti diperkukuh.
“Cabaran yang besar juga diakui masih berterusan, termasuk kuasa tawar-menawar pekerja yang rendah dan kesulitan dalam menguatkuasakan kontrak pekerja,” katanya.
BNM berkata, pemulihan upah yang agak perlahan yang diperhatikan selepas pandemik menekankan keperluan mendesak untuk mengatasi cabaran sedemikian.
“Kesimpulannya, Malaysia perlu mempercepat pembaharuan untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan dan inklusif, di samping membina daya tahan isi rumah dan pasaran pekerja terhadap kejutan,” katanya. – Bernama