Ajak rakyat berjuang masuk syurga sekeluarga

Ajak rakyat berjuang masuk syurga sekeluarga

KUALA LUMPUR- Penganjuran program Keluarga Malaysia #QuranHour bertujuan untuk mengajak orang ramai kembali kepada al-Quran dan sunnah sebagai rujukan, seterusnya melahirkan keluarga Muslim Malaysia yang menjadi model kepada keluarga lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program itu mengangkat peranan ayah sebagai pemimpin, ibu sebagai pendamping, anak sebagai pejuang atau jambatan, datuk dan nenek sebagai model untuk bina syurga di rumah, bina rumah di syurga dan berjuang masuk syurga sekeluarga.

“Surah Al-Mulk menjadi panduan untuk mengubah kerangka fikir dan membina karakter ahli keluarga. Tiga motivasi surah tersebut adalah keberkatan dalam amalan dan pekerjaan, ingat mati bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti serta doa dan Ahsanul ‘amala untuk menjadi Muslim lebih baik.

“Matlamatnya adalah bagi menjadikan keluarga kita berpegang bersungguh-sungguh kepada al-Quran dan Sunnah sebagai panduan yang teguh dan kukuh.

“Kita perlu membina keluarga melalui kerangka fikir dan karakter diri dengan nilai al-Quran dan sunnah, seterusnya menjadikan negara ini sebagai ‘baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur’ (negeri yang baik dan Rabb Yang Maha Pengampun),” katanya.

Program Keluarga Malaysia #QuranHour adalah anjuran WUIF dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM) sebagai penyelaras program dan Sinar Harian.

Program bertemakan ‘Masuk Syurga Sekeluarga’ itu diadakan sempena Hari Terbuka Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berucap menyampaikan Pesan Keluarga Malaysia. - FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berucap menyampaikan Pesan Keluarga Malaysia. – FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

Pada majlis itu, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut menyampaikan Pesan Keluarga Malaysia.

Antara tetamu yang hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Hakimah Mohd Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha Strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Hishamuddin Hashim; Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan.

Program Keluarga Malaysia #QuranHour menampilkan lima pentadabbur dan enam qari untuk memberi pengisian selama sejam.

Tetamu kehormat yang hadir khusyuk mendengar bacaan surah sewaktu #QuranHour bersempena 100 Hari Aspirasi #Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat. - FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

Tetamu kehormat yang hadir khusyuk mendengar bacaan surah sewaktu #QuranHour bersempena 100 Hari Aspirasi #Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat. – FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

Sesi bacaan al-Quran dibimbing oleh Qari Ustaz Mohamad Husaini Mahmur, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Junior Muhammad Harith Hakimi Mohd Rostan, Ustaz Amirrahman Abas dan Dr Anuar Hasin.

Qari Ustaz Amirrahman Abas membacakan Surah Al-Baqarah. - FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

Qari Ustaz Amirrahman Abas membacakan Surah Al-Baqarah. – FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

la diselang-selikan dengan sesi tadabbur oleh pentadabbur iaitu Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut; Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail; Pengarah Akademi Keluarga Fitrah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki; pensyarah di Jabatan Usuludin, Universiti Sultan Azlan Shah, Dr Mohd Shafiq Sahimi; Hos TickTalk TV, Hifdzi Zaim Zamri manakala program dihoskan oleh selebriti, Raqib Majid.

Seramai 300 peserta dari agensi kerajaan, penggerak al-Quran dan orang awam menyertai program itu secara fizikal.

Tadabbur daripada Datuk Noh Gadut sewaktu #QuranHour bersempena 100 Hari Aspirasi #Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat. - FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

Tadabbur daripada Datuk Noh Gadut sewaktu #QuranHour bersempena 100 Hari Aspirasi #Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat. – FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

Sementara itu, mengulas mengenai Keluarga Malaysia, misi #SavingFamilies iaitu masuk syurga sekeluarga, Marhaini berkata, ia akan berterusan untuk mencapai misi ‘mengQurankan’ bangsa dan ‘mengIkhlaskan’ ummah pada tahun 1500 Hijrah.

“Pihak WUIF akan meneruskan kempen #Saving Families dengan menganjurkan World #QuranConvention bertajuk ‘Fatherless Homes’ #AdaBagaiTiada #TiadaBagaiAda pada 18 dan 19 Disember ini di platform Facebook Quran Hour dan Sinar Harian.

Sinopsis #Keluarga Malaysia yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail. - FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

Sinopsis #Keluarga Malaysia yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail. – FOTO: ASRIL ASWANDI SYUKOR

“Program tersebut akan mengangkat peranan ayah sebagai ketua keluarga dan pemimpin masuk syurga sekeluarga.

“Selepas itu, WUIF merancang projek khas bersama masjid di setiap negeri untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Keluarga Al-Quran dalam membawa misi masuk syurga sekeluarga,” katanya.

-end-

Sumber