IDEA mengembara dengan menunggang motosikal sememangnya menarik. Anda boleh meneroka alam flora dan fauna serta ke tempat-tempat yang mempesona, tidak terbeban dengan kos jika dibandingkan dengan kereta.
Walaupun kebanyakan motosikal dibangunkan dengan penggunaan yang khusus, sebenarnya pengembaraan bermotosikal ini boleh dilakukan dengan apa sahaja jenis motosikal, selagi penunggangnya cukup tahan untuk menempuh cabaran yang bakal dilalui.
Motosikal pengembaraan dwikegunaan mempunyai kemampuan tersendiri yang membolehkan ia melalui laluan lasak atau memecut di jalan raya serta hadir dengan rekaan bercirikan maskulin. Kelebihan itu membuatkan ia menjadi pilihan mereka yang aktif dan mahukan jentera serba guna dan satu model yang terdapat dalam pasaran tempatan ialah Honda CRF1000L Africa Twin, diperkenalkan pada April tahun lalu.
Sinar Turbo baru-baru ini berpeluang menunggang uji varian tertinggi yang ditawarkan iaitu Adventure Sports dengan padanan warna bersempena edisi ulang tahun ke-30, model yang mula diperkenalkan ke pasaran global pada tahun 1988 itu.
Transmisi Dwi Klac (DCT)
Saiznya yang tinggi dan pengenalan Transmisi Dwi Klac (DCT) pada awalnya membuat penulis menjangkakan sukar untuk mengendalikannya, namun sebaik bergerak dan mula membiasakan dengan pergerakan gear automatik umpama sebuah skuter, ia bertukar menjadi pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.
Posisi memegang dengan kedudukan yang tinggi memberi kelebihan buat mereka yang berketinggian 175 sentimeter (sm) ke atas dengan padanan pelana posisi 920 dan 900 milimeter (mm) tambahan sebanyak 30mm daripada varian Africa Twin yang lain. Motosikal Africa Twin yang pertama ialah model XRV650, dihasilkan dari tahun 1988 hingga 1989. Namun, model yang mendapat status ikonik, XRV750 Africa Twin telah membuat kemunculan sulungnya pada tahun 1989 sebagai model tahun 1990.
Diberi nama CRF1000L Africa Twin, ia sebuah motosikal dwi-sukan yang lebih cenderung untuk penunggangan off-road. Gabungan baharu dan lamaJentera ini mempunyai badan yang langsing dan profil hadapan yang tinggi. Ia juga dilengkapi fairing tambahan sisi dan pelindung angin lebih tinggi 80mm, plat pelindung lopak dan besi pelindung kerangka adalah ciri standard.
Pada bahagian belakangnya, bermula dari head stock ke belakang, mengimbau kembali profil model XRV750. Ini bertambah benar apabila anda melihat bahagian hujung tangki bahan api dan pelananya. Bagi penulis, Honda telah berjaya menggabungkan elemen reka bentuk motosikal lama pada model baharu ini.
Masalah utama apabila menggunakan motosikal yang diasaskan daripada model off road, ia mempunyai kecenderungan tidak begitu selesa, tangki minyak kecil dan nisbah gearnya tidak begitu padan untuk tunggangan di atas jalan biasa. Namun, tidak bagi Africa Twin yang didatangkan bersama tangki bahan api yang lebih besar dengan tambahan 5.4 liter menjadi 24.2 liter mampu menjangkau perjalanan lebih 500 kilometer (km).
Enjin dua silinder selari 998 cc SOHC pada model ini dinaik taraf dengan kotak udara dan bahagian dalam ekzos baharu, balancer shaft lebih ringan, pam air di dalam perumah klac, termostat dalam head, bateri lithium ion, sistem throttle-by-wire, empat mod tunggangan dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tujuh tahap serta dipadankan dengan transmisi automatik Dual Clutch Transmission (DCT). Automatik itu maknanya gear masuk sendiri. Hebat bukan.
Pada model sebelum ini, ia boleh menghasilkan sebanyak 93.8 hp pada 7,500 rpm dan 98 Nm tork pada 6,000 rpm. Untuk transmisi DCT tersebut, ia datang dengan tiga pilihan mod penyampaian kuasa dan butang G yang boleh meningkatkan cengkaman atas jalan kasar.
Prestasi tunggangan
Untuk prestasi tunggangan, model baharu ini dinaik taraf dengan suspensi Showa yang lebih panjang, sekali gus menjadikan jaraknya dari tanah juga lebih tinggi, iaitu 10.6 inci. Suspensi ini boleh dilaras untuk pra beban, lantunan serta mampatan. Rim yang digunakan pula masih sama dengan model biasa iaitu 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang aluminium berwarna emas.-Dalam sebarang mod menunggang, menolak suis G mengurangkan jumlah slip klac semasa perubahan gear. Rumusan hasil ujian yang boleh diberikan kepada African Twin CRF1000L adalah terbaik serta menepati kehendak peminat adventure, malah penulis sendiri pun.Terdapat tiga mod kawalan yang ditawarkan Boon Siew untuk Africa Twin model DCT iaitu Manual, Automatik dan Sport.
Mod manual adalah mod kawalan manual penuh, membolehkan penunggang mengawal dengan mengubahsuai pada trigger yang terdapat di sebelah kiri hendal. Mod Automatik pula sangat sesuai untuk menunggang di bandar dan lebuh raya, serta menjimatkan penggunaan bahan api yang optimum. Manakala Mod Sport menawarkan tiga tahap menunggang sporty, di mana ECU membolehkan deruman enjin lebih tinggi sedikit sebelum beralih dan peralihan turun lebih awal apabila pendikit dilepaskan untuk brek enjin tambahan.
Memotong dan memecut sudah tentu tidak menjadi masalah dengan jentera ini selagi penunggang masih mampu bertahan dengan tarikan kuat dan rintangan angin. Perjalanan pada pelbagai kelajuan ternyata selesa dengan gear automatik mod D malah ketika melalui laluan tidak berturap dan off-road tiada kehilangan kuasa dapat dirasakan dan ia menyalurkan tenaga dengan baik.
Ciri keselamatan
Ciri keselamatan yang ditawarkan ialah brek cakera hadapan 310mm dan belakang 256mm dengan Sistem Brek Parkir Jenis Kunci-Tuil untuk DCT. Ia juga ditambah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dengan bahagian belakang boleh dimatikan terutama ketika memasuki kawasan off-road.
Panel paparan meter LCD penuh gaya rali dengan paparan maklumat perjalanan seperti kelajuan, rpm, tahap bahan api, mod tunggangan, kedudukan gear, jam, ABS dan jarak perjalanan sangat membantu dalam merancang ke sesuatu destinasi. Ciri-ciri baharu lain termasuklah fungsi kunci pintar yang nyata memudahkan penunggang untuk memulakan perjalanan. Di samping paparan warna FT, ketersambungan Bluetooth, sokongan multimedia dan navigasi GPS.
Secara keseluruhan, bagi penulis Honda CRF1000L Africa Twin Adventure Sports ini sebuah jentera yang sesuai untuk perjalanan jarak jauh dan juga bagi kegunaan harian. Kelebihan utama dengan DCT yang menawarkan gear enam kelajuan automatik sangat memudahkan kawalan dan pergerakan, terutama ketika di dalam kawasan bandar.
CRF1000L Africa Twin didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu Grand Prix Red dan Pearl Glare White bagi varian Adventure Sport. Harga jualan bagi Honda CRF1000L Africa Twin bermula dari RM77,378.94 bagi varian manual dan RM83,738.94 bagi varian Adventure Sport.
ANEDOT
- Honda Africa Twin Adventure Sports
- Enjin: 998cc DOCH silinder berkembar selari
- Kuasa maksimum: 95PS pada 7,500 rpm
- Tork maksimum: 99Nm pada 6,000 rpm
- Kapasiti petrol: 24.2 liter
- Ciri keselamatan: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, Sistem Brek Parkir
- Harga: RM83,738.94 (atas jalan tanpa insurans)