Peluang Bertemu Bintang Muay Thai Dunia Secara Dekat: Rodtang Jitmuangnon Meriahkan BSP Grand Prix Muaythai 2026 Menerusi Sesi Meet & Greet

KUALA LUMPUR — Peminat sukan tempur di Malaysia berpeluang merasai detik bersejarah apabila jaguh dan ikon Muay Thai dunia, Rodtang Jitmuangnon, hadir memeriahkan kejohanan BSP GRAND PRIX MUAYTHAI 2026 pada 28 dan 29 November 2026 di Hextar World @ Empire City Hall. Dibawakan khas oleh BSP Muaythai Studio dengan kerjasama Hallo Fight Lab, kehadiran figura berprofil tinggi itu menjadi daya tarikan utama kejohanan, lengkap dengan penganjuran sesi Meet & Greet yang membuka ruang kepada peminat untuk bertemu dan beramah mesra secara dekat bersama bintang kesayangan mereka.

Selain kemunculan istimewa Rodtang yang dijangka menyuntik semangat luar biasa kepada komuniti sukan tempur tempatan, kejohanan dua hari ini turut membariskan aksi sengit daripada 288 atlet secara keseluruhan. Ia merangkumi 260 peserta amatur yang bakal mempamerkan kebolehan masing-masing di samping 28 petarung profesional yang berentap dalam 14 perlawanan profesional (Professional Bouts) berintensiti tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif BSP Muaythai Studio, Uwais bin Abdullah, menegaskan bahawa inisiatif ini dirangka bukan sahaja untuk menyemarakkan minat masyarakat terhadap Muay Thai, malah menyediakan pentas pendedahan berkualiti buat atlet tempatan membina disiplin dan pengalaman bertanding. Dengan sokongan pengurusan kejohanan diterajui Mohd Hazrul Mohd Sapri dari Hallo Fight Lab, pengunjung boleh menyaksikan aksi penuh bertenaga ini dengan harga Tiket Harian RM35 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak), atau memilih Combo Pass dua hari bernilai RM60 (dewasa) dan RM30 (kanak-kanak).