Malam Penuh Magis: Lima Penyanyi Berkaliber Bergabung Dalam A Night of Soul

Satu malam sarat emosi, nostalgia dan magis seni suara bakal tercipta di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines apabila lima penyanyi berkaliber dari Malaysia dan Indonesia disatukan dalam konsert A Night of Soul pada 12 Disember 2026. Menampilkan bintang kelahiran Indonesia, Cakra Khan, bersama barisan penghibur unggul tanah air iaitu Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain, Siti Nordiana dan Khai Bahar, acara ini dijangka menjadi penutup tirai kalendar hiburan tahun 2026 yang paling berprestij. Persembahan pembukaan pula akan diserikan oleh penyanyi muda, Nabiha Aimi, sekali gus melengkapkan barisan penghibur pada malam tersebut.

Berteraskan tema “Satu Pentas, Lima Jiwa, Satu Pengalaman Muzik Istimewa”, konsert ini bukan sekadar himpunan persembahan nyanyian biasa, sebaliknya sebuah perjalanan muzik yang menyatukan kepelbagaian identiti suara. Setiap artis membawa kekuatan tersendiri untuk menyentuh hati penonton, bermula daripada penghayatan mendalam Cakra Khan dan kemantapan vokal Datuk Ziana Zain, hinggalah karisma rock ikonik Datuk Amy Search serta alunan lagu-lagu penuh perasaan nyanyian Siti Nordiana dan Khai Bahar. Kepelbagaian ini memastikan setiap penonton dapat merasai kepuasan hiburan yang menyeluruh sepanjang malam berlangsung.

Pihak penganjur bersama, Starlika dan Astana Global, menegaskan bahawa A Night of Soul direka khusus untuk menghargai nilai seni suara berkualiti tinggi serta merapatkan lagi hubungan antara artis dengan peminat menerusi suasana persembahan yang lebih intim. Orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah ini boleh mendapatkan tiket menerusi platform www.ticketmelon.com dengan tujuh pilihan zon tempat duduk iaitu Pearl pada harga RM188, Gold (RM288), Ruby (RM388), Platinum (RM488), Diamond (RM588), VIP (RM688) dan VVIP pada harga RM888.