Konsert Wali Band Live in JB bukan sekadar pesta hiburan kosong, sebaliknya sarat dengan mesej keinsafan dan nilai kerohanian yang mendalam.
Kumpulan yang sememangnya sinonim dengan elemen dakwah dalam karya mereka ini membuktikan bahawa muzik pop melayu mampu menjadi medium penyampai peringatan hidup yang berkesan tanpa menghilangkan keseronokan berhibur.
Di tengah-tengah keriuhan dewan Educity Sports Complex, Wali Band mengambil ruang khusus untuk menzahirkan doa tulus buat para penonton. Vokalisnya, Faank, membacakan beberapa potongan ayat suci al-Quran termasuk surah al-Fatihah, mendoakan kesejahteraan buat semua golongan yang hadir sama ada pelajar, pekerja, usahawan, individu bujang mahupun yang berkeluarga. Mereka menitipkan doa agar para hadirin dikurniakan rezeki yang melimpah, kesihatan yang baik, serta keampunan daripada Yang Maha Esa, disulam gurauan ringan yang menceriakan suasana.

Sisi bermakna ini diteruskan menerusi segmen akustik yang meruntun jiwa melalui lagu “Doa Untukmu Sayang”, “Baik-Baik Sayang”, dan “Harga Diriku”. Semasa lagu “Harga Diriku” dimainkan, petikan gitar Apoy mengiringi ucapan ikhlas Faank yang menegaskan bahawa para peminat adalah maruah dan harga diri kumpulan tersebut. Momentum kemudian beralih kepada lagu “Tobat Maksiat”, yang mengajak penonton bermuhasabah tentang kematian. Pementasan lagu ini diperhebat dengan selarasan pukulan dram Tomi dan limpahan cahaya pentas, menghasilkan impak visual serta mesej kesedaran yang menusuk kalbu peminat.








