Legenda rakyat yang sekian lama berakar umbi di Bumi Kenyalang, Lagenda Puteri Santubong, bakal dihidupkan semula dalam bentuk pementasan teater tari kontemporari berskala besar di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 19 dan 20 Disember 2026. Dipersembahkan oleh Lang Budaya dan diarahkan oleh anak jati Sarawak, Dayang Mariana Abang Bolhassan, naskhah klasik mengenai persaudaraan, persaingan, dan perdamaian antara Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang ini diangkat ke pentas nasional dengan suntikan naratif moden yang segar menerusi gabungan seni pergerakan, visual, serta muzik orkestra kontemporari.

Produksi berprestij ini membariskan kira-kira 100 orang penggiat seni daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia, termasuk bakat muda seawal usia 6 hingga 16 tahun yang dipilih melalui sesi uji bakat. Menariknya, penyanyi dan penghibur ternama tanah air, Bob Yusof, turut memegang peranan utama sebagai pencerita dan penyanyi bagi mengemudi emosi penonton sepanjang persembahan. Dimensi penceritaan turut diperkukuh dengan gubahan skor muzik asal arahan Pengarah Muzik Shamsul Zain bersama barisan komposer kolaboratif, di samping sentuhan teknikal bertaraf tinggi di bawah Tan Eng Heng.

Pementasan ini bukan sekadar sebuah hiburan visual, malah menjadi wadah pemerkasaan budaya bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Menurut Dayang Mariana dan disokong oleh Pengarah Produksi Istana Budaya, Hanida Mohamed Yusof, usaha menterjemah semula cerita rakyat ke pentas moden ini bukan sahaja memupuk disiplin dan kesinambungan warisan dalam kalangan pelapis muda, malah membuktikan bahawa khazanah tradisional Sarawak memiliki daya tarikan universal yang mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia merentasi generasi.