Isu jenayah seksual yang berlaku dalam lingkungan keluarga terus menjadi perhatian masyarakat apabila kes membabitkan mangsa dan individu yang sepatutnya menjadi pelindung masih berlaku. Berikutan keprihatinan terhadap isu tersebut, penerbit terkenal Dato’ A. Aida tampil menerusi filem terbaharu berjudul Bisikan Nafsu yang membawa mesej kesedaran serta nilai kemanusiaan. Filem arahan Riza Baharudin itu bukan sahaja memaparkan sisi gelap jenayah seksual dalam keluarga, malah turut mengetengahkan elemen kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan dalam menghadapi ujian kehidupan. Menurut A. Aida, penghasilan filem tersebut bertujuan membuka mata masyarakat mengenai kepentingan menjaga keselamatan anak-anak, khususnya dalam keluarga yang melalui perubahan kehidupan seperti perkahwinan semula. Bisikan Nafsu mengisahkan Nadia yang berdepan trauma selepas menjadi mangsa rogol oleh bapa tirinya sendiri. Pengalaman pahit tersebut menyebabkan Nadia mengalami tekanan emosi sehingga beberapa kali cuba mengambil tindakan terhadap dirinya sendiri. Namun, di sebalik kesukaran yang dihadapi, tunang Nadia iaitu Arisz memilih untuk terus berada di sisinya. Arisz berusaha memahami perubahan Nadia, mencari kebenaran dan memberikan sokongan ketika Nadia melalui fasa paling sukar dalam kehidupannya. Filem terbitan Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United ini menampilkan gabungan pelakon baharu serta nama berpengalaman dalam industri hiburan tanah air. Azeva membawa watak Nadia, manakala Aniq Suhair memegang watak Arisz sebagai tunang yang tetap memberi sokongan kepada Nadia. Turut membintangi filem tersebut ialah Zul Huzaimy sebagai UR (Ustaz Romantik), Aleza Shadan sebagai Alyssa, Watie Sadali sebagai Aida serta Raja Azmi sebagai Lola. Barisan pelakon pembantu pula terdiri daripada Ezzaty Abdullah, Aishah Husna dan Lan Siro, selain penampilan istimewa Ameng Spring serta Siti Khadijah. Dalam perkembangan sama, Bisikan Nafsu turut menjadi projek sulung Hello Production, sebuah syarikat produksi baharu yang diasaskan oleh Azeva. A. Aida berkata, penubuhan syarikat tersebut merupakan langkah untuk memberi peluang kepada Azeva memahami dunia penerbitan secara lebih mendalam dan membina pengalaman dalam industri kreatif. Sementara itu, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman yang mewakili Mache Allstar United menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu permulaan penting dalam menghasilkan lebih banyak karya bersama pada masa akan datang. Bagi pengarah Riza Baharudin, pengalaman mengarahkan filem pertama memberikan cabaran tersendiri terutama dalam menghasilkan babak-babak yang memerlukan komitmen tinggi daripada pelakon dan kru produksi. Antara cabaran sepanjang penggambaran termasuk babak aksi di kawasan air terjun serta babak melibatkan aktiviti menyelam yang memerlukan persediaan rapi. Bisikan Nafsu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober 2026. Post navigation Wali Band Kembali Ke Kuala Lumpur Dengan Konsert Eksklusif One Night Only