Yan Lefthanded, Jatt Ali dan Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael, bakal menyertai sebuah konsert istimewa yang menjanjikan tiga segmen eksklusif buat peminat muzik rock tanah air.

Nama XPDC bukan sekadar sebuah kumpulan rock, sebaliknya ia merupakan satu legasi yang terus hidup dalam jiwa peminat muzik keras tempatan. Selepas berdekad mencorakkan industri muzik tanah air dan melalui kehilangan figura ikonik mereka, Allahyarham Mael, semangat XPDC Kita Peng Yu tetap terus menyala.

Malah, XPDC Kita Peng Yu masih menjadi antara nama yang mendapat permintaan tinggi dalam pelbagai festival dan acara rock di seluruh negara. Kekuatan jenama tersebut bukan hanya bergantung kepada faktor nostalgia, sebaliknya terus dibuktikan menerusi lebih 60 persembahan setiap tahun di festival, konsert serta acara korporat di Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Meneruskan perjalanan itu, XPDC Kita Peng Yu yang kini dianggotai Arry selaku vokalis, Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) bakal mencipta satu lagi detik istimewa menerusi konsert XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL pada 22 Ogos ini.

Konsert anjuran Rockstation & Event Entertainment yang bakal berlangsung di Odeon Kuala Lumpur itu dijangka menjadi antara acara rock yang dinanti-nantikan tahun ini. Peminat bakal dihiburkan menerusi persembahan lebih dua jam yang menampilkan deretan lagu popular XPDC selain kemunculan single terbaharu mereka, Satu Arah.

Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin berkata, penganjuran konsert tersebut tercetus susulan permintaan berterusan daripada peminat yang mahu menyaksikan XPDC Kita Peng Yu dalam sebuah persembahan berskala khas.

“XPDC Kita Peng Yu sememangnya mempunyai kelompok peminat yang sangat besar. Selepas melihat sambutan yang diterima kumpulan ini di pelbagai lokasi, kami merasakan sudah tiba masanya untuk merealisasikan sebuah konsert eksklusif buat mereka.

“Kami juga menjangkakan kehadiran peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei kerana sokongan terhadap muzik rock di negeri-negeri tersebut masih sangat kuat,” katanya.

Konsert tersebut turut tampil lebih istimewa apabila tiga figura berpengaruh dalam arena rock tanah air diumumkan sebagai tetamu khas, iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali daripada Black Dog Bone serta Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael.

Kehadiran ketiga-tiga figura tersebut bakal menambahkan lagi kemeriahan konsert menerusi tiga segmen khas yang diberi nama Metal, Tribute dan Metal 60-an. Segmen berkenaan bakal membawa peminat menikmati perjalanan muzik merentasi beberapa era kegemilangan rock tempatan.

Menurut Mozylir, pihak penganjur turut memberi perhatian terhadap aspek audio dan visual bagi memastikan konsert tersebut menawarkan pengalaman yang setimpal dengan harga tiket kepada setiap peminat yang hadir.

Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar berkata, persembahan secara bertiket memerlukan persiapan yang lebih teliti berbanding persembahan di festival terbuka.

“Apabila mengadakan konsert berbayar, peminat hadir dengan jangkaan yang lebih tinggi. Jadi, kami memberikan perhatian terhadap setiap perkara termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan dan keseluruhan produksi.

“Kami mahu setiap peminat yang datang pulang dengan kepuasan dan merasakan mereka telah menikmati sebuah pengalaman yang benar-benar istimewa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Mohd. Yazid Selamat turut optimis konsert berkenaan mampu menarik kehadiran peminat dalam jumlah yang besar berdasarkan rekod persembahan kumpulan tersebut sebelum ini.

“Kami akan menyajikan sebuah malam yang penuh tenaga dengan deretan lagu hit yang selama ini menjadi kegemaran peminat. XPDC Kita Peng Yu mempunyai kredibiliti dan pengalaman untuk memberikan persembahan yang mantap serta menghiburkan.

“Lebih menarik, peminat juga berpeluang menyaksikan sesi uji bunyi dan latihan, selain berkesempatan bertemu dengan semua anggota XPDC Kita Peng Yu pada petang hari konsert di Odeon KL,” katanya.