Penyanyi pop Melayu dari Riau, Indonesia, Andrigo kembali menghangatkan industri muzik serantau menerusi karya terbaharunya, “Pacar Selingan 2”. Single ini hadir sebagai kesinambungan kepada lagu “Pacar Selingan” yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun 2014 dan mengukuhkan nama Andrigo dalam kalangan peminat muzik Melayu di Indonesia serta beberapa negara lain. Istilah “pacar selingan” dalam masyarakat Indonesia merujuk kepada pasangan kedua atau hubungan di luar hubungan utama, yang turut dikenali sebagai hubungan sulit atau kekasih gelap. Penggunaan istilah tersebut sebagai judul lagu menjadi antara elemen yang membuatkan karya berkenaan mudah diingati, selain kisah dan emosi yang diketengahkan begitu dekat dengan realiti kehidupan serta pengalaman pendengar. Kini aktif dalam industri muzik selama lebih 16 tahun, Andrigo mula mendapat perhatian menerusi kemunculannya dalam program televisyen Dahsyat di RCTI dengan membawakan lagu seperti “Pacar Selingan” dan “Demi Cinta”. Sepanjang perjalanan seninya, beliau turut menghasilkan pelbagai karya dan pernah bernaung di bawah beberapa label muzik utama di Indonesia, termasuk NAGASWARA, sebelum menjalinkan kerjasama bersama label muzik Malaysia, Luncai Emas. “Pacar Selingan 2” merupakan karya ciptaan Adi Virso dengan lirik yang dihasilkan bersama Andrigo. Single ini meneruskan kerjasama antara penyanyi tersebut dan Luncai Emas selepas penghasilan “Rasa Sakit Rasa Rindu”, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha memperluaskan muzik Melayu Pop ke pasaran serantau dan antarabangsa. Menampilkan identiti muzik Melayu Pop yang sinonim dengan Andrigo menerusi konsep “Melayunya Andrigo”, lagu terbaharu ini hadir dengan susunan muzik yang lebih segar dan moden, namun masih mengekalkan elemen asli yang menjadi kekuatan penyanyi berkenaan. Pendekatan tersebut diharap dapat menarik perhatian pendengar generasi baharu, di samping mengembalikan nostalgia peminat lama yang pernah mengikuti perjalanan fenomena “Pacar Selingan”. Menurut Andrigo, kejayaan “Pacar Selingan” yang mendapat sambutan bukan sahaja di Indonesia, malah turut diterima peminat di Malaysia, Singapura, Taiwan dan beberapa negara lain menjadi inspirasi untuk beliau menghasilkan karya susulan yang lebih berkualiti. Beliau berharap “Pacar Selingan 2” mampu memberikan pengalaman emosi yang lebih mendalam kepada pendengar serta mencipta impak yang setanding atau lebih besar berbanding lagu terdahulu. “Saya amat bersyukur kerana ‘Pacar Selingan’ terus mendapat sambutan sehingga hari ini dan diterima oleh pelbagai lapisan pendengar. Sokongan itu memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan ‘Pacar Selingan 2’ dengan jalan cerita yang lebih mendalam, emosi yang lebih kuat serta kualiti produksi yang lebih baik. Saya berharap lagu ini dapat diterima dan memberi impak yang sama, malah lebih besar daripada karya terdahulu,” kata Andrigo. Dengan kemunculan “Pacar Selingan 2”, Andrigo berharap dapat meneruskan kesinambungan legasi muziknya sambil memperkukuh hubungan antara industri muzik Indonesia dan Malaysia. Single ini dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai 2026 dan boleh didengarkan menerusi pelbagai platform penstriman muzik digital serta saluran YouTube rasmi Luncai Emas. Post navigation Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur Tawar Promosi Eksklusif Penginapan, Sajian dan Bufet Julai