Selepas 25 tahun mewarnai industri muzik tempatan dan antarabangsa, penyanyi bertaraf antarabangsa Shila Amzah bakal meraikan perjalanan seni beliau menerusi sebuah konsert istimewa berjudul “KITA – 25 Tahun Bersama”. Konsert yang dianjurkan oleh Pink Asia itu bakal berlangsung pada 15 Ogos 2026, jam 7.30 malam bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting, sekali gus menjadi pentas penghargaan buat seorang artis yang telah membina nama menerusi pelbagai karya ikonik sepanjang kerjayanya. Bersempena kempen Visit Malaysia 2026, konsert ini turut dijangka menjadi antara acara hiburan utama yang bakal menarik kehadiran peminat dari Malaysia dan rantau Asia termasuk Singapura, Indonesia, Brunei serta China. Dengan sasaran kehadiran lebih 5,000 penonton, “KITA – 25 Tahun Bersama” bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah perjalanan nostalgia yang mengimbau kembali detik penting dalam karier Shila Amzah. Menampilkan konsep produksi bertaraf antarabangsa, susunan muzik eksklusif serta elemen visual yang mengagumkan, konsert ini bakal membawa penonton menyelami pelbagai fasa perjalanan seni Shila sejak kemunculannya sehingga kini. Menurut Shila Amzah, konsert tersebut mempunyai nilai sentimental yang besar kerana ia bukan hanya meraikan kejayaan peribadi, tetapi turut menghargai insan-insan yang sentiasa menyokongnya sepanjang perjalanan muzik. “Konsert ‘KITA – 25 Tahun Bersama’ bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 saya dalam industri muzik, tetapi ia adalah tanda penghargaan kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Setiap lagu mempunyai cerita tersendiri dan saya mahu berkongsi kembali kenangan itu bersama para peminat,” katanya. Sepanjang malam bersejarah itu, Shila bakal mempersembahkan 40 buah lagu merangkumi karya Melayu, Mandarin dan Inggeris termasuk lagu popular seperti “Ada Saja”, “Tragik”, “Kita Berdansa”, “Patah Seribu Hatiku”, “Oscar Winning Tears”, “Forever Love”, “Masih Aku Cinta”, “Memori Tercipta” dan “Temberang”. Selain persembahan solo, peminat turut bakal disajikan dengan segmen istimewa seperti Tribut Sudirman, Tribut Michael Jackson dan Fish Leong Medley yang dirangka khas untuk memberikan pengalaman muzik yang berbeza. Konsert ini turut menampilkan barisan artis jemputan seperti DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimy Fly dan Hael Husaini selain beberapa kejutan khas yang bakal diumumkan kelak. Pengarah Syarikat Pink Asia, Mr. Ravivarman Vicraman berkata, pihaknya berbesar hati dapat merealisasikan sebuah produksi yang meraikan pencapaian luar biasa seorang artis Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia. “Shila Amzah merupakan simbol dedikasi dan kecemerlangan industri muzik Malaysia. ‘KITA – 25 Tahun Bersama’ dirancang sebagai sebuah pengalaman premium yang menggabungkan muzik, visual dan penceritaan bagi menghargai perjalanan seni beliau selama 25 tahun,” katanya. Konsert “KITA – 25 Tahun Bersama” dianjurkan oleh Pink Asia dengan sokongan The Coffee Bean & Tea Leaf sebagai Rakan Rasmi, manakala Resorts World Genting dan Visit Malaysia 2026 tampil sebagai Rakan Strategik. Tiket rasmi boleh didapati menerusi Ticket2U.com.my dan rwgenting.com. Post navigation “ONE ON ONE” Jadi Langkah Pertama Ismail Izzani Ke Arah Album Baharu