SUBANG JAYA, 13 Julai 2026 – Sukan pickleball terus mencuri perhatian apabila Blossom Rally Pickleball 2026 berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta dalam lima kategori pertandingan yang berlangsung di Tomaz Pickleball Club baru-baru ini.

Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM50,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan penaja itu mendapat sambutan hangat, terutama daripada golongan wanita yang tampil dengan penyertaan lebih 70 peserta. Kategori Berpasukan dan Suami Isteri turut menjadi tarikan apabila ramai pasangan mengambil peluang untuk beraksi bersama di gelanggang.

Blossom Rally Pickleball 2026 bukan sekadar pertandingan sukan biasa, malah menjadi platform yang menggabungkan atlet profesional, selebriti dan peminat sukan daripada pelbagai latar belakang. Acara ini membuktikan bahawa pickleball kini semakin berkembang dan menjadi pilihan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Dianjurkan oleh Akademi Sang Putra (ASP) dengan tema “Platform Sukan Untuk Komuniti”, acara ini mendapat sokongan daripada Penaung ASP, Datuk Mirnawan Nawawi, bekas kapten hoki negara yang kini turut aktif dalam sukan pickleball.

Selain kategori Berpasukan dan Suami Isteri, tiga lagi kategori yang dipertandingkan ialah Beregu Lelaki, Beregu Wanita serta kategori Selebriti dan Penaja. Hadiah menarik yang ditawarkan menjadi pembakar semangat buat para peserta untuk memberikan aksi terbaik sepanjang pertandingan.

Antara selebriti dan atlet yang turut hadir memeriahkan acara termasuk Elfira Loy, Datuk AC Mizal, Cik Manggis, Zahril Adzim, Harris Annuar, Dayah Bakar, Dahlia Rizal, Ayie Floor88, Fify Azmi, Imran Aqil, Atita Haris, Dr. Ahmad Idham, Sharif Zero, Aishah Azman dan Safiq Rahim.

Pengarah Program Blossom Rally Pickleball 2026, Ahmad Zaim Ahmad Taufek berkata, penganjuran pertama acara tersebut menerima sambutan yang sangat positif dengan kehadiran lebih 40 selebriti serta penyertaan ramai pemain baharu.

Menurutnya, kategori Suami Isteri menjadi antara tarikan utama dengan penyertaan 40 pasangan atau 80 pemain, manakala kategori Berpasukan pula memperlihatkan penglibatan aktif golongan wanita dalam sukan pickleball.

Beliau turut berkongsi bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan penganjuran Blossom Rally Pickleball 2.0 berikutan sambutan menggalakkan yang diterima. Katanya, pickleball yang mula berkembang di Sarawak sejak 2023 kini semakin mendapat tempat di seluruh negara.

Zaim percaya sukan ini mempunyai potensi besar untuk berkembang sehingga ke peringkat MSSM dan Sukma berdasarkan peningkatan sokongan daripada sekolah serta minat generasi muda terhadap pickleball.

Keputusan Juara Blossom Rally Pickleball 2026:
Beregu Wanita: Pickle Pulse (Jaymaine/Sammi Yap)
Selebriti & Penaja (Beregu Campuran): Rahimie-Maisarah (Rahimie Affandie Roslan/Nur Maisarah Mazlan)
Suami & Isteri (Beregu): Dinkasaurs (Lim Xin Yu/Jason Wee Kim Teong)