Selepas sekian lama memberi tumpuan kepada tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi kawasan Lembah Jaya, Altimet kembali mencuri perhatian peminat muzik menerusi karya terbaharunya berjudul “Pegang Tangan”. Lagu tersebut menampilkan kerjasama bersama penyanyi muda Adam Nuqris dan menjadi satu kemunculan istimewa buat figura hip hop tempatan itu. Diterbitkan di bawah Altimet Holdings Sdn. Bhd. serta diuruskan oleh SVLTAN Management, “Pegang Tangan” hadir bukan sebagai sebuah projek besar yang dirancang awal, sebaliknya tercetus daripada satu karya lama yang disimpan Altimet sebelum diberikan nafas baharu bersama Adam Nuqris. Menariknya, lagu ini terlebih dahulu menjadi perhatian apabila Adam Nuqris secara tidak sengaja berkongsi mengenai karya tersebut ketika sesi temu bual bersama sebuah stesen radio tempatan pada 8 Mei 2026. Perkara itu kemudiannya mengundang tanda tanya peminat sebelum disahkan sebagai kemunculan semula Altimet dalam dunia muzik. Bagi Altimet, “Pegang Tangan” bukan sekadar lagu baharu, tetapi sebuah karya yang lahir daripada pengalaman dan perasaan sebenar. Lagu ini mengisahkan hubungan antara ibu dan anak yang berubah mengikut perjalanan hidup, daripada zaman kecil yang penuh bergantung kepada fasa dewasa apabila seseorang mula mengambil peranan menjaga insan tersayang. Menurut Altimet, lagu tersebut hadir pada waktu yang cukup bermakna dalam hidupnya. Beliau menyifatkan karya itu sebagai sesuatu yang sederhana tetapi dekat dengan hati kerana ia lahir daripada momen sebenar tanpa terlalu memikirkan soal pasaran atau strategi komersial. Dari sudut muzik, “Pegang Tangan” membawa pendekatan hip hop yang lebih tenang dengan susunan muzik yang ringkas tetapi penuh emosi. Lagu ini ditulis oleh Altimet dan digubah oleh Mas Dewangga, memberi ruang kepada kekuatan lirik serta penyampaian vokal kedua-dua artis untuk lebih menyerlah. Bagi Adam Nuqris, peluang bekerjasama dengan Altimet menjadi pengalaman berharga dalam perjalanan awal kerjayanya. Beliau melihat kolaborasi tersebut sebagai ruang untuk belajar daripada seorang artis yang banyak menyumbang kepada perkembangan hip hop tempatan. Walaupun sebelum ini Altimet pernah menyatakan hasrat untuk berundur daripada dunia rap, “Pegang Tangan” membuktikan bahawa muzik masih mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform digital utama, manakala visualiser rasmi akan dilancarkan pada 14 Julai 2026 menerusi saluran YouTube rasmi Altimet. Post navigation Butterfingers Imbau Akar Muzik Alternatif Dalam Showcase Ulang Tahun Ke-30 1.2 Milligrams Kuala Lumpur Jadi Tumpuan Peminat Rock Menerusi Festival Rock dan Rockestra 5.0