Pengunjung Everse 2026 bakal disajikan dengan pengalaman berbeza apabila Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel, Trademark Collection by Wyndham, membawa suasana eksklusif Genting Highlands ke Hextar World, Empire City. Penyertaan oleh NCT Group of Companies (NCT Group) itu dijangka menjadi antara tarikan utama sepanjang acara yang berlangsung pada 18 hingga 19 Julai ini, sekali gus memperkenalkan destinasi percutian tanah tinggi kepada generasi muda dan pencinta gaya hidup.

Dianjurkan bersama SEGi University College, Everse 2026 menghimpunkan pelbagai elemen yang menjadi kegemaran anak muda masa kini seperti e-sukan, persembahan K-pop, cosplay, keusahawanan serta dunia pencipta kandungan digital. Acara selama dua hari itu bukan sahaja menawarkan hiburan, malah menjadi platform kepada pelbagai jenama untuk mendekati pengunjung melalui pengalaman yang lebih interaktif.

Bagi Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel, penyertaan kali ini memberi peluang untuk memperkenalkan kemudahan serta tarikan yang tersedia di Grand Ion Majestic, Genting Highlands. Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai hotel, menikmati pameran visual yang menarik serta mengenali kemudahan ikonik seperti bilik bertema, dek pemerhatian, Hoverland Edge Skywalk dan Hard Rock Cafe Genting Highlands.

Suasana di booth turut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang direka khas untuk menghiburkan pengunjung. Antaranya termasuk sesi bergambar dengan latar belakang Genting Highlands, cabaran “Guess the Destination” yang menguji pengetahuan mengenai destinasi pelancongan serta permainan Mystery Box yang menampilkan pelbagai barangan berkaitan hotel. Setiap aktiviti menawarkan pengalaman santai sambil memberi peluang kepada pengunjung mengenali jenama hotel dengan lebih dekat.

Lebih menarik, Everse 2026 turut menjadi platform pelancaran tawaran eksklusif Rockstar Stay Package. Dengan harga RM488, pengunjung boleh menikmati penginapan satu malam di 1001 Nights Hotel berserta sarapan pagi untuk dua orang, set hidangan di Hard Rock Cafe Genting Highlands dan hadiah eksklusif daripada Hard Rock Cafe. Tawaran ini hanya tersedia sepanjang acara berlangsung, sekali gus menjadikannya peluang terbaik untuk merancang percutian di Genting Highlands.

Pengunjung juga boleh menyertai Everse Lucky Draw menerusi kad cop yang diberikan sebaik sahaja memasuki acara. Dengan melengkapkan tiga aktiviti di booth Wyndham Ion Majestic Hotel, mereka akan menerima cop khas sebelum layak menebus hadiah percuma yang disediakan. Inisiatif ini dijangka menggalakkan lebih ramai pengunjung meneroka setiap sudut booth sambil menikmati pengalaman yang menyeronokkan.

Naib Presiden Eksekutif Ion Majestic Hospitality Sdn Bhd merangkap Ketua Strategi Korporat dan Pembangunan Perniagaan NCT Group, Tee Yih Fung berkata, penyertaan di Everse 2026 merupakan satu pendekatan untuk memperkenalkan pengalaman hospitaliti yang menggabungkan keselesaan, gaya hidup dan tarikan pelancongan dalam satu destinasi. Menurut beliau, pihaknya berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengenali keistimewaan Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel serta menjadikannya pilihan utama untuk percutian di tanah tinggi.

Terletak kira-kira 6,000 kaki dari aras laut di Grand Ion Majestic, Genting Highlands, Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel menawarkan panorama pergunungan yang memukau serta pelbagai kemudahan bertaraf premium. Antaranya termasuk rooftop sky pyramid tertinggi di Malaysia, kolam renang air panas, jambatan kaca berlantai lutsinar dan ruang acara moden yang menjadikan kedua-dua hotel ini destinasi ideal untuk percutian keluarga, pasangan mahupun pelancong yang mencari pengalaman berbeza di Genting Highlands.