Fajar Noor mempersembahkan karya terbaharunya menerusi album sulung Sementara, Selamanya, sebuah album yang menghimpunkan kisah cinta, kehilangan dan harapan dalam bentuk muzik yang penuh emosi. Menerusi album ini, Fajar membawa pendengar menyelami perjalanan sebuah hubungan yang melalui pelbagai fasa, bermula dengan kebahagiaan, berdepan konflik, kehilangan insan tersayang, sehinggalah kepada rasa yang masih belum selesai walaupun hubungan sudah berakhir. Setiap lagu dibina berdasarkan pengalaman serta luahan perasaan sebenar penyanyi itu, menjadikan album ini antara karya paling jujur yang pernah dihasilkannya. Bagi menghasilkan bunyi yang segar, Fajar bekerjasama dengan Arsy Widianto dan Iqbal Siregar yang menyuntik elemen pop balada moden menerusi susunan muzik yang sederhana tetapi penuh penghayatan. Menurut Fajar, beliau berharap setiap lagu mampu menjadi teman kepada mereka yang pernah melalui pengalaman kehilangan, penyesalan dan kerinduan dalam kehidupan. Dalam perkembangan sama, Fajar turut mengesahkan beliau bakal hadir ke Malaysia untuk mempromosikan album sulungnya, selain mengadakan persembahan khas bagi bertemu para peminat tempatan. Tarikh dan lokasi persembahan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat melalui media sosial rasmi Fajar Noor serta Universal Music Malaysia. Album Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform digital. Post navigation Mus Bersama Wings Hidupkan Semula Album Ikonik Biru Mata Hitamku