Kabar gembira buat seluruh warga kerja Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) apabila sebuah projek pembangunan perumahan khas untuk kakitangan bakal dimulakan tidak lama lagi. Langkah proaktif ini direalisasikan susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara FELDA dan kumpulan pembangunan hartanah serta pembinaan terkemuka, Encorp Berhad (ENCORP) yang berlangsung di Menara FELDA, baru-baru ini. Melalui kerjasama strategik tersebut, ENCORP bakal menggalas tanggungjawab sebagai kontraktor utama untuk mereka bentuk dan membina fasa perumahan berkenaan, tertakluk kepada kelulusan serta perjanjian muktamad kedua-dua pihak. Inisiatif terbaharu ini mencerminkan komitmen jitu pengurusan tertinggi FELDA yang sentiasa meletakkan kebajikan warga kerjanya sebagai keutamaan. Penyediaan kediaman yang selesa, praktikal, dan kondusif ini bukan sahaja dijangka dapat meningkatkan kesejahteraan hidup dan produktiviti harian kakitangan, malah bakal memperkukuh infrastruktur sosial di dalam ekosistem agensi tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, Encik Ahmad Harzimi bin Mohd Taib menyatakan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan oleh FELDA dan menegaskan komitmen penuh syarikatnya untuk membina kediaman yang moden, terancang, serta berkualiti tinggi demi keselesaan warga kerja agensi itu. Sebelum ini, ENCORP menerusi anak syarikatnya, Encorp Development Sdn Bhd, telah pun mempunyai rekod prestasi yang cemerlang bersama FELDA apabila berjaya menyiapkan Fasa 1 Lamanda Chuping pada tahun 2024, yang menyediakan 224 unit kediaman kos rendah dan sederhana untuk warga peneroka serta generasi FELDA. Berbekalkan portfolio kukuh sedia ada seperti projek Tilia Shah Alam dan perancangan fasa seterusnya bagi Lamanda Chuping, ENCORP sedia membawa standard dan kepakaran yang sama untuk memastikan projek perumahan khas kakitangan ini berjalan dengan jayanya. Majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan oleh Pengarah Besar FELDA, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati binti Osman dan Encik Ahmad Harzimi, dengan disaksikan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek serta Pengerusi ENCORP, Encik Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff. Post navigation AI Success Depends on Governance, Infrastructure and Data Control, New Research Finds BYD Sime Motors Supercharges Asia-Pacific EV Market with Malaysia Launch of 2026 ATTO 3