MN Holdings Berhad mencatatkan pertumbuhan kewangan yang kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (S3 TK2026), apabila keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 28% kepada RM21.33 juta berbanding RM16.69 juta pada suku sama tahun lalu. Kumpulan turut merekodkan peningkatan hasil sebanyak 57% tahun ke tahun kepada RM200.07 juta daripada RM127.42 juta, didorong terutamanya oleh pertumbuhan berterusan segmen kejuruteraan pencawang.

Segmen tersebut menyumbang RM176.91 juta atau 88% daripada jumlah hasil keseluruhan suku berkenaan, meningkat 82% berbanding RM97.09 juta pada S3 TK2025. Segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah pula menyumbang RM23.17 juta kepada hasil Kumpulan.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 41% kepada RM31.94 juta daripada RM22.62 juta yang dicatatkan sebelum ini. Namun begitu, prestasi semasa turut dipengaruhi oleh kerugian rosot nilai bersih aset kewangan dan aset kontrak sebanyak RM5.24 juta, berbanding pembalikan bersih kerugian rosot nilai RM1.20 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Selepas pelarasan dibuat, PBT dinormalisasikan MN Holdings meningkat 74% tahun ke tahun kepada RM37.18 juta. Prestasi ini mencerminkan kemajuan projek utama yang semakin dipercepatkan selain peningkatan kecekapan operasi dan pengukuhan kapasiti kejuruteraan Kumpulan.

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 (9B TK2026), hasil kumulatif Kumpulan meningkat 85% kepada RM657.72 juta berbanding RM356.01 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. PBT kumulatif melonjak 92% kepada RM95.52 juta daripada RM49.83 juta, manakala PAT meningkat 87% kepada RM68.10 juta berbanding RM36.42 juta. Segmen kejuruteraan pencawang kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai RM586.24 juta atau 89% daripada keseluruhan hasil sepanjang tempoh tersebut.

Dalam tempoh sama, MN Holdings turut merekodkan perbelanjaan pampasan berasaskan saham sebanyak RM1.37 juta serta kerugian rosot nilai bersih aset kewangan dan aset kontrak sebanyak RM11.51 juta. Bagi 9B TK2025, angka tersebut masing-masing berjumlah RM1.22 juta dan RM2.12 juta. Selepas pelarasan, PBT dinormalisasikan meningkat 104% kepada RM108.40 juta daripada RM53.17 juta sebelumnya.

Dato’ Clement Toh, Managing Director of MN Holdings

Pengarah Urusan MN Holdings, Dato’ Clement Toh berkata permintaan terhadap infrastruktur kuasa dijangka terus berkembang susulan peningkatan pelaburan dalam pusat data, pembangunan grid elektrik, elektrifikasi dan inisiatif tenaga mampan. Beliau menambah, dengan buku pesanan sekitar RM1.75 bilion, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek yang efisien sambil meneroka peluang baharu untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang. Setakat 31 Mac 2026, kedudukan kewangan Kumpulan kekal stabil dengan jumlah ekuiti RM357.85 juta serta tunai dan setara tunai sebanyak RM280.34 juta.