TARUNG: UNFORGIVEN CATAT RM20.3 JUTA, JADI FENOMENA FILEM AKSI TEMPATAN PALING PANAS TAHUN INI

Kuala Lumpur, 26 Mei 2026 – Filem aksi tempatan TARUNG: Unforgiven terus mencipta fenomena di pawagam seluruh negara apabila berjaya meraih kutipan terkini sebanyak RM20.3 juta sejak mula ditayangkan pada 7 Mei tahun ini. Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara filem aksi tempatan paling berjaya dan paling banyak diperkatakan, sekali gus membuktikan sambutan luar biasa daripada penonton di seluruh Malaysia.

Pengarah, penulis skrip dan penerbit eksekutif filem ini, Razaisyam Rashid, menyatakan bahawa kejayaan TARUNG: Unforgiven bukan sekadar diukur melalui angka kutipan, tetapi juga melalui sambutan serta maklum balas penonton yang ditemui sepanjang siri jelajah filem. Beliau turut menghargai peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan peminat, yang menurutnya memberikan pengalaman bermakna dan membuka ruang untuk perkembangan lebih besar buat filem aksi tempatan pada masa akan datang.

Sejak tayangan bermula, filem ini terus mencuri perhatian di media sosial dengan perbincangan hangat yang melibatkan penonton serta peminat genre aksi. Antara faktor utama kejayaan ini ialah pendekatan aktif barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Azira Shafinaz, Amir Ahnaf dan ramai lagi yang turun padang melalui siri jelajah di beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, yang mendapat sambutan luar biasa daripada ribuan peminat.

Kredit Gambar :faezizzuddin

Keterlibatan pelakon di platform digital seperti Threads dan TikTok turut memperkukuhkan hubungan antara filem dan penonton apabila mereka aktif membalas komen, berkongsi reaksi dan menghargai sokongan peminat. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pengalaman menonton lebih interaktif, malah mewujudkan hubungan emosi yang lebih dekat antara penonton dan karya tersebut.

Pelakon dan penerbit, Aedy Ashraf, turut meluahkan penghargaan terhadap sokongan yang diterima sepanjang perjalanan filem ini, terutama ketika sesi jelajah dan interaksi bersama peminat. Menurutnya, reaksi penonton secara langsung memberikan pengalaman yang sangat bermakna dan menjadi motivasi untuk terus menghasilkan karya berkualiti. Beliau turut mengajak penonton yang belum menonton untuk merasai sendiri pengalaman TARUNG: Unforgiven di pawagam.

Dengan barisan pelakon hebat termasuk Bront Palarae, Zul Ariffin, Sharifah Sakinah dan ramai lagi, TARUNG: Unforgiven terus mengukuhkan statusnya sebagai salah satu filem aksi tempatan paling dominan tahun ini, sambil mengekalkan momentum sebagai fenomena yang masih hangat diperkatakan di seluruh negara.