CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) membuka permohonan bagi pengambilan kedua Young Talent Programme (YTP), sebuah program pecutan kerjaya berstruktur selama dua tahun yang direka khusus untuk melahirkan bakat muda Malaysia berpotensi tinggi sebagai pemimpin digital generasi akan datang. Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan CelcomDigi dalam memperkasa aspirasi digital negara melalui pembangunan bakat yang memiliki kemahiran teknikal kukuh, pemahaman perniagaan yang mendalam serta keupayaan kepimpinan yang tinggi.

YTP disasarkan kepada individu yang bersedia untuk berkembang dalam persekitaran kerja yang dinamik, dipacu data dan berteraskan pelanggan, selain berupaya menyumbang kepada pembangunan penyelesaian serta hasil perniagaan yang memberi impak bermakna. Program ini turut menyediakan platform kepada peserta untuk memperluaskan pengetahuan, memperkukuh kepakaran profesional dan memperoleh pengalaman dalam landskap teknologi digital yang sentiasa berkembang.

Ketua Pegawai Sumber Manusia CelcomDigi, Azmi Ujang berkata, kepesatan transformasi digital hari ini memerlukan generasi bakat yang mempunyai asas teknikal yang kukuh, memahami keperluan perniagaan, mampu menyesuaikan diri serta sentiasa bersedia untuk belajar dan berkembang dalam persekitaran yang pantas berubah. Menurut beliau, menerusi CelcomDigi YTP, syarikat itu membangunkan barisan bakat digital yang mampu membantu membentuk bagaimana teknologi dapat memberi impak bermakna kepada pelanggan, perniagaan dan negara. Beliau berkata, berbeza daripada program graduan konvensional, YTP direka sebagai platform pecutan pembangunan kerjaya bagi membolehkan bakat muda membina kepakaran mendalam, memperoleh pendedahan kepada cabaran sebenar perniagaan serta berkembang bersama pasukan yang menerajui agenda transformasi utama CelcomDigi.

Susulan sambutan memberangsangkan bagi pengambilan sulung yang menerima hampir 3,600 permohonan untuk mengisi 20 tempat yang ditawarkan, CelcomDigi sekali lagi mencari bakat muda Malaysia yang cemerlang dan bersedia untuk berkembang dalam persekitaran kerja pantas serta menyumbang kepada impak sebenar perniagaan. Permohonan dibuka mulai 13 Mei hingga 3 Julai 2026 kepada graduan Malaysia dan profesional muda yang mempunyai pengalaman kerja kurang daripada dua tahun.

Calon yang berjaya akan mengikuti penempatan berstruktur dalam salah satu daripada lima bidang kepakaran utama iaitu Cloud Engineering, Cybersecurity, Data & Business Analytics, Digital Product Development serta AI & Automation. Sepanjang tempoh dua tahun program, peserta akan bekerjasama dengan pasukan dan pemimpin berpengalaman dalam menangani cabaran sebenar perniagaan selain membangunkan penyelesaian teknologi yang menyokong transformasi berterusan CelcomDigi sebagai syarikat yang dipacu teknologi 5G dan AI.

CelcomDigi YTP turut menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan bakat syarikat di bawah CD:NXT, iaitu inisiatif strategik jangka panjang CelcomDigi bagi membangunkan tenaga kerja digital masa hadapan Malaysia. Melalui pelaburan berterusan dalam memperkasa bakat muda berpotensi tinggi, CelcomDigi komited untuk memperkukuh keupayaan negara dalam bidang utama seperti AI, teknologi, data dan analitik, di samping menyokong pertumbuhan digital serta meningkatkan daya saing negara untuk jangka panjang.

Maklumat lanjut dan permohonan boleh dibuat menerusi laman rasmi Young Talent Programme CelcomDigi