Gelombang nostalgia bakal kembali menggegarkan Malaysia menerusi konsert “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena pada 11 Julai 2026. Konsert yang menghimpunkan semula legasi muzik Peterpan itu bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya menjadi sebuah perjalanan emosi yang menghubungkan kenangan lama dengan generasi peminat hari ini. Bagi jutaan peminat di Malaysia dan Indonesia, lagu-lagu Peterpan seperti Semua Tentang Kita, Mimpi Yang Sempurna, Yang Terdalam dan Ada Apa Denganmu bukan sekadar karya muzik, tetapi sebahagian daripada memori kehidupan yang pernah menemani zaman persekolahan, kisah cinta pertama, perjalanan malam dan pelbagai momen yang masih segar dalam ingatan hingga kini. Konsert ini bakal tampil dengan nafas baharu menerusi gabungan artis hebat serantau yang akan menghidupkan kembali lagu-lagu legenda tersebut. Antara yang paling dinanti ialah kemunculan Marcello Tahitoe atau Ello, vokalis kumpulan Dewa 19 yang terkenal dengan vokal penuh jiwa dan penghayatan emosi mendalam. Turut menyertai barisan persembahan ialah Tantri Syalindri dari kumpulan Kotak, Rony Parulian, Arda Hatna serta penyanyi Malaysia, Hael Husaini yang bakal membawa sentuhan emosinya tersendiri ke atas pentas. Apa yang lebih mengujakan peminat setia ialah kemunculan semula anggota pengasas Peterpan sendiri iaitu Ilsyah Ryan Reza, Loekman Hakim, Andika Naliputra dan Indra. Kehadiran mereka dijangka menjadi momen paling emosional buat peminat yang membesar bersama era kegemilangan band tersebut. Sejak pengumuman rasmi dibuat pada penghujung April lalu, sambutan terhadap konsert ini terus mencetuskan fenomena di media sosial dan komuniti peminat. Pihak penganjur turut mengesahkan bahawa tiket kategori CAT 3 serta semua pakej Royal Box telah habis dijual dalam tempoh singkat selepas jualan dibuka pada 8 Mei 2026. Malah, beberapa kategori premium lain juga kini semakin pantas dijual susulan permintaan luar biasa daripada peminat di Malaysia dan Indonesia. Menurut wakil penganjur, kekuatan sebenar Peterpan bukan hanya terletak pada lagu-lagunya, tetapi pada memori yang melekat bersama setiap karya tersebut. Ramai peminat dilihat bukan sekadar membeli tiket untuk menonton persembahan, sebaliknya mahu merasai kembali emosi dan kenangan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka. Dengan keterujaan yang terus meningkat menjelang Julai nanti, konsert “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” dijangka menjadi antara acara nostalgia terbesar dan paling emosional tahun ini buat pencinta muzik Nusantara. “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” akan berlangsung pada 11 Julai 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya. Tiket boleh didapati menerusi rakan ticketing rasmi Ticket2U dan Fantopia. Post navigation Tarung: Unforgiven Raih RM10.5 Juta, Sambutan Penonton Cetus Fenomena