DI GELANGGANG PAWAGAM BERMULA 7 MEI 2026!
Gerbang ke pertarungan epik bakal dibuka di layar perak menerusi filem aksi paling dinantikan 2026, TARUNG: Unforgiven. Filem terbaru ini adalah hasil kolaborasi Alpha47 dengan Icon Pictures dan Astro Shaw, diarah oleh Razaisyam Rashid yang terkenal dengan gaya visual dan sinematografi memukau.
Hari ini, bertempat di MITEC, barisan pelakon utama TARUNG: Unforgiven diperkenalkan secara rasmi kepada umum, menandakan permulaan perjalanan filem ini menuju tayangan di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei 2026. Sebuah video berdurasi satu minit turut dilancarkan dan bakal ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh negara.
Filem ini menghimpunkan pelakon hebat tanah air seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.
Menurut Razaisyam Rashid, pengarah dan penulis skrip yang juga bertindak sebagai penerbit eksekutif, filem ini berdiri atas kekuatan ensemble cast yang membawa tenaga dan lapisan emosi saling melengkapi. Tema utama filem ini sangat peribadi, “you vs you”, menekankan bahawa pertarungan paling sukar bukan melawan musuh luar, tetapi menentang kelemahan, ego dan ketakutan dalam diri sendiri. Dari segi produksi, projek ini adalah yang terbesar pernah dilaksanakan, namun Razaisyam membawa pendekatan baharu dari gaya visual, koreografi aksi hingga cara penceritaan. TARUNG: Unforgiven merupakan evolusi kerja beliau sebagai pembikin filem.
Filem ini juga menandakan langkah baharu Aedy Ashraf sebagai penerbit eksekutif. Beliau berkata TARUNG: Unforgiven bermakna kerana menandakan evolusi kerjayanya, bukan sahaja sebagai pelakon utama tetapi juga penerbit. Pada usia 33 tahun, mengambil keputusan menerbitkan filem blockbuster sendiri adalah risiko besar, namun beliau melihatnya sebagai peluang untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan projek, proses produksi dan hala tuju kreatif filem. Kerjasama dengan Razaisyam Rashid memberi pengalaman yang sangat mengujakan kerana mereka berkongsi visi untuk menghasilkan karya yang kompetitif dan mampu menarik penonton arus perdana. TARUNG: Unforgiven menjadi permulaan aspirasi jangka panjang untuk membina produksi tempatan yang lebih kuat dan berdaya saing.
Filem ini mengisahkan seorang bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti adalah orang yang pernah rapat dengannya suatu ketika dahulu.
Ikuti perkembangan terbaru dan klip menarik filem ini di semua platform digital Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw. Gunakan #TarungUnforgiven untuk berkongsi keterujaan dan mengikuti berita terkini mengenai filem ini.