Kejayaan single sulung “Korban Rindu” yang mencatat lebih sejuta tontonan di saluran YouTube rasmi Nova Music Malaysia membuktikan kehadiran Putera Bobo sebagai bakat baharu yang semakin mendapat tempat di hati peminat. Melihat sambutan luar biasa itu, penyanyi muda berusia 14 tahun ini kembali dengan single kedua berjudul “Kisah Hidupku”, sebuah karya ciptaan ibunya, Elyani Queen bersama komposer terkenal, Eddie Hamid.
Menurut Elyani, lagu “Kisah Hidupku” telah dicipta sejak sekian lama, termasuk rangkap pertama lirik yang pernah dikongsikan kepada umum di media sosial lima bulan lalu. Antara bait lirik tersebut menyentuh kisah kehidupan serba kekurangan seperti “Kisah hidupku, anak orang kampung… Hinanya diriku, nasib tak beruntung… Ayah dan ibu, bukan asal senang… Nak tanggung diriku, nak boleh makan… Hinanya aku…”. Elyani menjelaskan bahawa karya tersebut pada awalnya hanya separuh siap sebelum Eddie Hamid menyarankan agar lagu itu disempurnakan sepenuhnya kerana ia memiliki kekuatan melodi dan mesej yang menyentuh hati.
Elyani turut berkongsi bahawa proses penulisan lirik akhir turut dibantu oleh Zaza dan Rumie bagi memastikan penyampaian lagu lebih lengkap dan bermakna. Beliau memilih untuk menghasilkan lagu dalam dialek Kelantan kerana merasakan ia lebih dekat dengan realiti kehidupan masyarakat yang sering berdepan cabaran hidup. Menurutnya, lagu ini mencerminkan kisah ramai individu yang pernah melalui kesusahan sebelum mencapai kesenangan, sekali gus menjadikan Putera sebagai suara yang mewakili golongan tersebut.

Lagu “Kisah Hidupku” diterbitkan oleh Kijang Music dan diedarkan Nova Music Malaysia. Proses rakaman dijalankan pada pertengahan Oktober di Studio SSR dan Putera tidak mengambil masa lama untuk menyelesaikannya kerana sudah familiar dengan melodi serta lirik lagu itu. Proses pembikinan video muzik turut berlangsung dengan mudah dan telah dirakam di kawasan kampung tempat tinggal keluarga mereka di Jerteh, Terengganu.
Komposer dan penerbit lagu, Eddie Hamid, mendedahkan bahawa beliau tertarik dengan lagu tersebut sejak pertama kali mendengarnya walaupun ketika itu hanya satu rangkap sahaja siap. Beliau yakin dengan kekuatan melodi dan mesejnya yang mampu menyentuh pendengar, selain berpendapat penggunaan dialek Kelantan bukanlah satu kekangan kerana banyak lagu dialek sebelum ini berjaya mendapat sambutan hangat.
“Kisah Hidupku”, nyanyian Putera Bobo ciptaan Elyani Queen dan Eddie Hamid bersama lirik oleh Elyani, Zaza dan Rumie kini boleh didengarkan di semua pelantar penstriman digital utama. Video muzik rasmi lagu tersebut turut boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.